Pementasan ini bersempena Projek Pengijazahan Seni Persembahan Drama 2010 di bawah projek SATU (Satu Antologi Teater UM). Projek SATU menampilkan sebuah produksi pelajar Jabatan Drama tahun akhir selepas tiga tahun pengajian berdasarkan pilihan dan jurusan. Pelajar diberi pilihan samada untuk melaksanakan penulisan ilmiah atau menjurus kepada bentuk persembahan pentas yang dinilai menerusi bidang pengarahan, lakonan, sinografi dan pengurusan. Ini adalah peluang bagi pelajar untuk meneroka apa yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian.
Gabungan kelima-lima pelajar diharap dapat memperlihatkan kemahiran serta kreativiti mereka dalam berkarya. RIBUT terbitan Universiti Malaya dan Alternative Stage dengan kerjasama ASWARA ini menampilkan lima pelajar yang dinilai iaitu Eliza Mustafa, Juhara Ayob, Rosman Ishak, Nur Syiqah Aghniya dan Mohd Shahrul Mizad (Eijat) dan dibantu oleh Iefiez (rambut kepok masa tu), Aman Nassim (pelajar teater tahun 1), Mohammad Yusmar dan Hamdan Hamidon
SINOPSIS
RIBUT merupakan sebuah drama tragedi mengungkap permasalahan keluarga, dengki khianat, penindasan golongan kapitalis terhadap golongan bawahan, sumbang mahram, penyelewengan, cinta terlarang, kasih sayang di dalam keluarga tuan Chou Yu Puan. Selama 18tahun Fan Yi tidak menemui kebahagian di sisi suaminya tuan Chou walaupun sudah memperolehi anak lelaki iaitu Chou Cung. Sehinggalah dia mendapat 'kenikmatan' yang baru. Kehadiran Shih Ping merungkai kembali sejarah cinta Chou Yu Yuan yang terpisah atas desakan keluarga dan akhirnya mencetuskan ribut dalam keluarga itu.
RIBUT vs RIBUT
3 & 4hb April 2010 tarikh berlangsungnya pementasan, hampir tujuh tahun berlalu. Selepas 7 tahun baru terfikir untuk menulisnya dalam blog. Selagi otak ini tidak tumpul, selagi daya ingatan kuat eloklah dikarang.
Ribut arahan Rohani Yousoff ini penuh dengan ribut. Bukan di atas pentas sahaja malah di belakang pentas lagi penuh cerita. Penuh rasa, masin, kelat, payau, masam dan manis. Manisnya adalah selepas tamat persembahan. Sehingga sekarang apabila diingatkan kembali, kami sendiri pun tergelak. Tidak perlulah saya ceritakan. Biar kami simpan di lubuk hati kenangan bersama beliau.
LETAK CERITA
Proses awal bermula dengan pembentangan naskhah berserta beberapa naskhah pilihan. Bila sudah lama tidak merasa belajar di bilik kuliah, jadi kecut jugak. Mampukah kami datang kelas seawal jam 9 pagi? Mampukah aku ulang-alik dari UM ke Rawang? 3 tahun akan melalui rutin yang sama! Mana tidaknya, kami belajar Diploma dari tahun 1994-1998. Hampir 10 tahun mengajar secara sambilan dan pada masa yang sama jadi freelance, baru terdetik hendak sambung Ijazah. Kiranya keputusan ini adalah satu anjakan paradgima macam tu. Entahlah, banyak pekara yang mendesak kami untuk sambung. Dengan Janji-Janji Manis ditabur bak bintang-bintang bertaburan di awan! (opss jangan emosi tuan) Keputusan yang tepat! Untuk diri!
Ok! Kita berbalik kepada latar ekonomi....ehhh...latar bagaimana naskah ini menjadi pilihan. Awal dahulu naskhah ini pernah diarahkan oleh Bob pelajar ASK (generasi kedua) di Actor's Studio (bawah Dataran Merdeka). Faridah Merican, Adlin Aman Ramli, Khir Rahman, Juhara Ayob antara yang berlakon. Sempat menonton persembahan tersebut. Kemudian ianya diangkat kembali untuk PeTA ASK pelajar teater Fauzly Hamdan di Panggung Eksperimen. Dua gaya dan ruang pementasan yang berbeza. Persembahan di Actor's Studio sangat minimal, panggung kecil bersaiz sederhana (studio blackbox).





SESI LATIHAN
Latihan bermula sejak awal Januari 2010. Berkerja di bawah Rohani yousoff perlu kekentalan jiwa. Telinga kena tebal, mata kena berdialog. Otak perlu kerja kuat. Seorang pengarah yang serius tetapi masih boleh bertolak ansur. Ada yang kata beliau seorang diktaktor, terlalu mengawal pelakon. Tidak sama sekali! Seorang yang suka membebel...hahhah. Itu betul! Kalau dia tidak membebel bermakna dia sudah tidak peduli. Itu lagi bahaya! Kami anggap macam mak-mak membebel pada anaknya. Biasalah.


Namun kali ini berbeza kerana kami disuruh mengawal gerak dengan mengunci tangan ke belakang. Agak sukar!! Orang kata tangan jangan bersepah tanpa arah tujuan. Lagi pula, kami mengangkat budaya china, maka gesture dan bahasa tubuh perlu dijaga. Pelakon Melayu, watak China, kang pelik kalau tidak dijaga. Hishh tangan tetap hendak bergerak ketika berdialog. Sudah menjadi kebiasaan. Kebiasaan itulah yang sukar untuk dibuang. Itulah cabarannya pada kami.

Beliau sering mengingatkan untuk....Stillness!!! Berdiri tegak dan relax. Fokus pada dialog, kurangkan gerak, Ucapkan dialog dengan penuh makna. Rasakan tenaga dialog yang lahir dari keseluruhan badan. Biar badan berdialog. Kalau mahu bergerak, bergerak dengan badan ikut keperluan tetapi masih dalam kawalan. Bila berkali-kali berlatih, feel dia lain sikit. Bebanan pada badan luarbiasa. Macam ada batu sebesar Tugu Negara. Tension tetapi penuh kawalan. Hinggakan kami rasa nafas itu hidup (over tak).




Dalam benak aku satu perkara sahaja yang terlintas 'reverse psychology' dan ianya berjaya membentuk jiwa kami untuk masuk dalam dunia RIBUT.
AL FATIHAH
untuk Sebutir Bintang yang bernama ROHANI YOUSOFF
No comments:
Post a Comment