Friday 29 November 2013

Makyung "Raja Tangkai Hati'

Makyung RAJA TANGKAI HATI
       Teringat akan saya teater Makyung arahan Norzizi Zulkafli. Peringkat awal kami sama-sama membuat pilihan pelakon. Ternyata sukar juga hendak mencari pemegang watak Pakyongnya. Sepatutnya watak ini dilakonkan oleh penyanyi Aishah. Kami bertemu janji dengan Kak Aishah di sebuah restoran di Ampang. Tak ingat namanya. Saya, Zizi dan Toemoe. Saya  kenal dengan Kak Aishah hanya menerusi telefon saja, tapi mesranya macam dah berkawan lama. Hehhe saya belajar untuk berkomunikasi dan memikat untuk produksi. Masa nak berjumpa, Zizi paksa saya temankan sekali sebab malu katanya. Kali pertama berjumpa Kak Aishah kami dah rasakan aura yang kuat, maklumlah ni penyanyi peringkat antarabangsa. Rasa kerdil je duduk semeja.

           Kak Aishah teruja hendak melakonkan watak ini. Walaupun hakikatnya beliau bukanlah orang Kelantan. Bagi kami pengalaman beliau dalam nyanyian akan memudahkan proses latihan terutamanya nyanyian. Kak Aishah tiada masalah dalam lakonan, dan memang teruji dia boleh berlakon. Terbayang lagi sukarnya Kak Aishah hendak bertenggong semasa menari Mengadap Rebab tetapi beliau amat positif.  Namun atas sebab peribadi beliau terpaksa menarik diri walaupun telah melalui proses latihan, lalu digantikan dengan  Zuliana Zainal artis budaya Petronas yang telah termaktub keupayaanya. Maka tiadalah rezeki kami dengan kak  Aishah. 

              Bila dikenang semula seolah-olah ini adalah gabungan pegawai dan graduan ASK, Juhara Ayob, Che kem, Mardiana Ismail, Yuniey Nur Leitey, Shariful Akma juga artis Istana Budaya. Manakala Norzizi bertindak selaku pengarah dibantu oleh Syarul Azlina. Manakala  Toemoe menjadi PENYELAMAT menyelesaikan kerja separuh jalan Jalil Ngah (al fatihah untuk arwah) dan dipertanggunjawabkan untuk membantu dari sudut pencahayaan. Idea Jalil Ngah dari sudut pencahayaan sangat bagus, mungkin masalah bertindak kerja menjadi punca kekalutan. Saya selaku Pengurus Pentas. Mulanya Zizi meminta saya menjadi penolong pengarah, tetapi saya tidak berkeyakinan kerana Makyung terlalu jauh bagi saya. Lain kalilah kot. Zizi selaku pengarah sangat terbuka untuk menerima pendapat dari rakan-rakannya. Kadang-kadang kami luahkan idea yang gila-gila, untuk melihat sejauh mana ianya boleh dicapai. Proses kreativiti ini tidak boleh disekat, buat dulu dan kita akan tahu keputusannya. Maknanya perlu ada plan A, B, C dan sebagainya.

                Kelebihan pentas Istana Budaya dieksploit secara total oleh Zizi. Ketika tarian mengadap rebab,  pentas (stage lif) dinaik dan diturunkan untuk memberi kepelbagaian perspektif visual. Di belakang terpapar skrin besar yang menayangkan visual secara live, kelembutan dan keindahan gerakan jari-jemari si penari. Zizi dengan sengaja ingin penonton turut menjiwai  keunikan gemalai tari klasik ini. Malah imej muka peran turun ditayangkan di atas kain layar kapal, semasa pakyung berinteraksi dengan peran untuk datang mengadapnya di atas kapal. Zizi sangat teruja bermain dengan skrin apatah lagi ketika itu beliau sedang mengikuti pengajian filem di UITM.

SEKITAR PERSEMBAHAN 

              Selaku pengurus pentas banyak cabaran dalam mengendalikan produksi. Sebagai kawan rapat, saya memahami kehendak Zizi, ketidakpuasan hatinya akan beberapa pekara bila berkait dengan artistik.  Adakalanya bila ada pekara yang mencuitkan hati semasa berlangsungnya mesyuarat produksi, kami hanya akan bermain mata. Adalah beberapa pekara, biarlah menjadi rahsia.....hmmm OK..Ok ...kalau Zizi baca ni mesti dia tergelak besar..... "...kami akan gunakan kapas atau polisterin untuk buat awan". Idea yang tak masuk akal.... ni sekolah tadika ke apa.... hello Istana Budaya ok!!

                Pernah juga kami bergaduh di dalam studio latihan, meninggi suara kemudian kami tidak bertegur dan bermasam muka. Dua tiga hari kemudian bila bertentang mata, dua-dua senyum dan gelak. Begitu indahnya persahabatan. Tak boleh nak gaduh lama-lama, rasa pelik.  Berbalik kepada persembahan, saya tak ingat malam ke berapa. Dalam satu babak Malim Bisnun (Mardiana Ismail) dan Malim Bongsu (Yunie) telah dicampak ke laut oleh ayahandanya sebab hasutan Puteri Bota (Norsiah Yatim) yang telah menyamar menjadi Puteri Cempaka Emas. Maka beria-ia lah si Pakyong (Zuliana) membuat gerakan dan tercampaklah Malim Bisnun dan Malim Bongsu ke laut yang ditandakan di area stage lif 1. Maka turunlah stage lif 1, ke  level paling bawah menandakan tenggelamnya mereka ke dasar laut. 

              Muncul Dewa Betara Guru, maka kesianlah dewa melihat nasib anak raja  tersebut, diserunya naik ke permukaan laut SAAAAA......maka stage lif  1 pun naiklah dan terus naik dan terus.............dan naiklah ia......WHATTTTTTTTTTTTTTT TAK NAIK.....rupanya stage lif ada masalah teknikal. Saya perhatikan Che Kem dah beria-ia membuat gerak-gerak kontemporarinya......menokok nambah dialog.....sampaikan terkeluar dari mulut dia..." aloh penatnyo ambo...tok naik2. Penonton gelak terhibur.   Inilah untungnya dapat pelakon yang bijak menguasi keadaan. Saya dan Zizi dah bagi que, ada masalah berlaku. Mardiana dan Yunie masih lagi di bawah. Saya ikhtiarkan untuk turunkan stage lif 2, pun sama sangkut di bawah dan last stage lif 3.....subhanallah, pun sama. Apalah MALAPETAKA untuk hari itu. Saya tidak terfikir pun hendak memberhentikan persembahan kerana ianya cuma masalah kecil, dan rupanya ianya semakin merebak. PENYELESAIAN terakhir saya arahkan kedua pelakon untuk naik mengikut tangga....dan mereka terus ke stage lif 4 untuk meneruskan aksi. Memang berpeluh malam tu.... 

                Budak-budak teknikal dah berpeluh peluh untuk selesaikan masalah teknikal....masalah program la. Tapi kalau benda dah nak jadi...memang akan jadi, walaupun kita dah buat teknikal run ke....teko run ke...atau apa-apa run la..... atau buka panggung ke buka punggung ke. Mungkin pekara yang terbaik adalah BERHENTIKAN SHOW. Tapi al maklum, saya ni bukannya belajar pengurusan pentas BERGURU dengan sesiapa. Bezalah mereka yang terdedah dengan  GURU OBERSEA. Cuma saya banggalah sebab dengan tak tahu apa-apa dan tanpa mendapat pendidikan secara formal berkaitan PENGURUSAN PENTAS saya mampu melakukannya ketika produksi teater TUN PERAK. Memang saya terkuntang kanting, cuma semangat saja yang menguatkan saya. Diam tak diam, dah 10 produksi saya uruskan. Tak ada pulak kemalangan, insyallah kalau kita tenang. Tak usahlah nak megah-megah. Allah uruskan cakrawala...tak sombong pun kan!

                  Jadinya malam tu memanglah saya pucat habis. Zizi dari bilik solek terus berjumpa saya bertanyalan masalah. Ini lagilah membuat saya panik, banyak pulak soal, tapi saya tahu dia risau. Tapi dia tenangkan saya yang panik....dia mahu membantu. Saya mula rasional dan membuat tindakan. Memang seeloknya pengarah tak dibenarkan ke belakang kerana pentas sudah jadi kepunyaan pengurus pentas. Pengurus pentaslah pengarah sepanjang persembahan. Pengarah cuma boleh bagi breifing dan kemudian harus ke hadapan panggung atau ke mana saja lah dia nak pergi.....tapi bukan di belakang pentas. Tapi terimakasih Zizi kerana menenangkan saya. MAKANYA SM TAK BOLEH PANIK. CEPAT BERTINDAK BILA MASALAH DATANG.  Proses pembelajaran bagi saya. Setiap kali persembahan teater, saya akan belajar sesuatu dan inilah BUKU saya. Makanya bagi anda yang memang tak belajar secara formal, jangan khuatir....gunakan akal yang waras dan bertindak dengan sebaiknya. 

Salam TEATER







Monday 4 November 2013

BANGSAWAN 'RAJA MUDA HAMLET'

Bangsawan
RAJA MUDA HAMLET
Selesai sudah pengerjaan naskah ini dan sudah berjaya dipentaskan. Awalnya naskah ini untuk pelajar kelas bangsawan, namun terdapat perubahan penjadualan semester dan akhirnya jatuh ke tangan pelajar graduan. Rezeki mereka. Idea untuk mementaskan naskah ini datangnya dari dua orang utama dalam fakulti, Encik Reza Zainal Abidin selaku dekan dan Cik Rosminah Tahir selaku mantan dekan. Merekalah pengerak utama sehingga berjaya dipersembahkan kepada khalayak.

Banyak jugalah komen yang saya dengar. Bak kata Marlenny sahabat rapat yang sering saya ajukan soalan jika ada kekalutan.

"Best tapi something missing" katanya.

Ada juga pendapat lain:

"Best, tak bosan. Tempo laju, fokus pada cerita"
Malahan ada yang kata:

"Set bagus, lakonan bagus. Tapi HANCUR!

Saya tidak tahu apa yang hancur??? Sebab tidak ada lakunan bangsawan atau bait dialognya bukan bangsawan. Tapi saya boleh menerimanya. Sesekali saya harus berpegang pada kata azimat Marlenny Erwan:

" Ada aku kisah!!

Ya, saya mula belajar itu.

Saya faham. Saya akui. Saya sengajakan. Bila terlalu lama dalam membuat pekara rutin, saya juga rimas. Malah ada berdetik dalam hati,...

"dahlah tak payah buat bangsawan. Banyak benda lain yang boleh dikerjakan".

 Saya merasakan ini proses kematangan dalam diri untuk keluar dari 'zon selesa'.  

Sedari awal saya telah terlihat, masalah utama adalah kata-kata ucapan dalam naskah shakespeare ini dan saya amat TERUJA untuk mengekalkan bait-bait ucapan dialognya yang puitis tambahan pula ianya merupakan terjemahan AHMAD YATIM, Sayang kalau diubah, itulah konflik terdalam yang saya alami. Hasilnya memang saya mengekalkannya dan saya bertanggungjawab dengan pilihan itu.

Memecahkan naskah ini menjadi babak-babak amatlah sukar, sementelah banyak adegan menarik dan sekali lagi rasa SAYANG menguasai diri. Hampir setahun proses pengerjaan ini berlaku dan akhirnya terdapat 7 babak penting dan 3 adegan street scene -lakonan kumpulan opera (extra turn), 1 street scene adegan Hamlet bertemu roh bapanya dan 1 nyanyian (extra turn lagu Biarlah Rahsia. Dicadangkan oleh Encik Reza, Lagu ini cuba memberi intrepetasi kepada luahan jiwa antara watak Ophelia dan Gertrudge). 

Kemunculan kumpulan pelakon Opera menjadi pengikat kepada babak tertentu, penggunaan bahasa yang lebih kolokial. Saya cuba menjadikan kata azimat Hamlet "Bertindak atau Tidak" sebagai lagu yang membawa pergerakan kumpulan ini sehinggalah kepada kemunculan terakhir dan mereka menyanyikannya dengan mood yang berbeza. Liriknya digubah dan adegan tersebut dilakukan secara improvisasi menerusi latihan dalam studio. Seperti kata dekan saya...

" Itulah konsep u! Apa kata u explore dari situ".

Malahan ketika babak lakonan dalam istana, saya cuba menerapkan lakonan bangsawan menerusi lenggok dialog bangsawan  melayu yang stylized, namun didramatarikan. Awalnya pelakon melafazkan kata-kata tersebut tetapi setelah berbincang dengan penolong pengarah Sharful Akma, kami membuat pilihan untuk mengekalkannya dengan lakonan mime sekadar untuk memberi variasi agar idea penceritaan lebih menonjol. Cuma fokus utama ketika adegan racun sahaja. Makanya saya pisahkan antara gerak dan dialog, dan dilakukan oleh orang yang berbeza.

Gurindam telah digantikan dengan prolog, disampaikan merusi lirik lagu dan muzik. Pergerakan penari lebih membawa kepada gelodak jiwa Hamlet, pergerakan yang bersifat kontemporari dan kejiwaan. Hazra Ghazali amat memahami kehendak saya selaku pengarah.

Pergerakan dicipta dahulu dan barulah pengarah muzik iaitu Encik Faizal Fauzi  menghasilkan iramanya mengikut kehendak dan sifat tarian. Faizal hakikatnya memberi mood yang cemerlang sepanjang persembahan. Puas hati mendengar muziknya! Tahniah Faizal walaupun dalam keadaan kalut dia mampu menyempurnakan kerjanya. Adakalanya dalam keadaan terdesak, inspirasi tu mencurah-curah. Saya juga pun adakalanya begitu.

Sememangnya kami produksi cuba untuk lari dari suasana naskah asal dan melahirkan dunia yang lain. Cuba untuk mengelak perulangan dan mencipta dunia yang lebih segar. Maka kami seboleh-bolehnya mengelak dari berpegang pada latar yang asal. Seandainya ada yang mempertikaikan ke bangsawanan kami, kami terima dengan seadanya. Namun bukankah drama  aliran shakespeare itu bersifat Opera dan di situlah klasiknya, dan bangsawan juga adalah opera melayu. Mungkin hanya kerana kami mengekalkan teks tersebut, maka tidak terlihat nada-nada melayunya lalu ianya dikira bukan bangsawan? 

Bagi saya tiada salahnya saya menggabungkan form bangsawan dengan klasik barat. Ini satu eksperimentasi kami. Tambahan pula telah berulang kali kami mementaskan cerita Melayu, Arab, Jawa dan masih berpegang pada paksi yang asal. Jadi, KALI ini kami cuba untuk bereksplorasi. Saya pernah mementaskan Bunga Sakti Cinta Malam ( A Mid Summer Night's Dream adaptasi oleh Marlenny Erwan). Sekali lagi saya jelaskan, saya memang SENGAJA mengekalkannya begitu. Hasilnya satu garapan yang lebih segar di mata saya tanpa adanya extra turn nyanyian yang terasing dari cerita. Namun begitu sedikit sebanyak saya cuba juga menerapkan gaya bangsawan ketika berdialog supaya lebih seimbang.

Malahan adiguru saya PAK RAHMAN sendiri menjelaskan extra turn nyanyian dan tarian hanya ada di pembukaan bangsawan dan sebelum babak terakhir. Selebihnya adalah street scene. Sekitar tahun 60 an barulah penyanyi-penyanyi pop ketika zaman itu diundang untuk menarik khalayak menonton persembahan bangsawan. Ada beberpa pekara yang beliau tegur dan saya terima dengan fikiran yang terbuka.

"Masa zaman cikgu, kami memang pakai baju jubah-jubah, gaun. Mungkin sekarang ni lain caranya" Luahan hatinya. Saya tahu dalam diam cikgu marah, tapi dia tidak kata tidak boleh!

Pilihan pelakon peringkat awalnya sudah terlintas dalam kepala, malahan saya meminta pandangan Ahmad Yatim yang sememangnya orang yang amat dekat dengan teks klasik Shakespearce. Macam kata Profesor Dr Rohani Yousoff..

"Shakespearce teks cik Mat. I tak boleh kacau" Dalam nada gelak dia bergurau.

"Berapa dia bayar kau? 10k? tanya cik Mat.

Saya faham soalan cik mat tu. Saya diam dan tersengeh. Kalau setiap kali buat bangsawan dapat 10K memang dah kaya saya. Yelah, selama dua tiga bulan kita fokuskan diri untuk produksi, orang tak akan faham penat lelah kita, balik tidur pun otak masih berfikir-fikir. Tapi alhamdulilah saya dikelilingi mereka yang amat membantu.


Pelakon yang dipilih memang teruji lakonannya. Kalau ada sedikit kekurangan mohon maaflah. Kalau tidak ada bangsawannya, mohon maaf sekali lagi. Memegang kata azimat Hamlet...




"BERTINDAK ATAU TIDAK, ITULAH SOALNYA"

Saya sudah bertindak, dan itu tidak menjadi SOAL bagi saya.





Sunday 3 November 2013

Monodrama 'Menunggu Lampu Hijau'

Monodrama
MENUNGGU LAMPU HIJAU

"Eijat, rektor cari awak" kedengaran suara Amy di corong telefon. Saya punyalah ketar tak tahu apa yang prof kehendaki dari saya. Saya ada buat salah ke? Atau ada kena mengena dengan bangsawan? Prestasi saya tidak bagus ke? Adakah saya curi tulang? Risau, punyalah risau!!

"Ada apa Amy? Saya cutilah! jawap saya.

"Entah" balas Amy

Esoknya dengan penuh debaran di dada, saya terus ke opis rektor. Dengan muka yang sembam terus berjalan menuju ke jambatan yang menyambung dua dunia ( Jambatan depan Panggung Eksperimen). Umpama menyeberangi jambatan siratul mustakim. Saya terimbas kembali semasa mula-mula saya dimaklumkan mendiang Krishen Jit mencari saya ketika saya berjumpa mantan dekan Cik Rosminah Tahir, orang yang sangat saya respect, orang yang pernah menangis kerana saya, orang yang pernah menghempas skrip di hadapan mata saya. Indahnya pengalaman itu.

"Asalamualaikum Prof.
"Hah, eijat! Duduklah. Profesor Dr Hatta mengarahkan saya yang masih lagi terkebil-kebil dengan perasaan yang tidak selesa.

"Ke mana awak menghilang ni. Saya dulu tengok kamu ni aktif dengan gang-gang kamu, dengan Tomoe dan Namron. Masa kamu terlibat dengan Alternative Stage. Saya pernah tengok persembahan kamu di DBP. Kenapa kamu dah tidak berlakon? Kamu pelakon yang bagus". Sebenarnya saya tidak berapa ingat dialog Profesor ni, tapi lebih kurang macam inilah.

" Entahlah Prof mungkin saya rasa kehilangan. Lagi pun mungkin juga tidak ada naskah yang bagus" Alasan yang tidak masuk akal saya berikan. Sebenarnya tidak ada idea sebab masih lagi diselubungi rasa ketidak selesaan. Terkedu saya macam muka mak Ahmad Bukhari menerima kedatangan 4 menantu dan 11 cucunya ketika berhari raya.

"Kamu ada apa projek sekarang ni? tanya beliau lagi

"Tak ada prof. Hanya kelas saja". Sebenarnya saya mengarah untuk program semarak bangsawan Raja Muda Hamlet. Bagi saya tidaklah merisaukan sangat kerana sudah pun menyusun jadual latihan, malahan skrip sudah siap. Cuma menunggu untuk sesi baca skrip.

"Nah, kamu ambik skrip ni! Kamu baca dulu. Kalau kamu suka, minggu depan jumpa saya" Profesor Dr Hatta menyerahkan saya senaskah skrip monodrama  yang bertajuk  MENUNGGU LAMPU HIJAU.

Saya berfikir-fikir, bertimbang-timbang. Memang saya menunggu. Apa yang saya tunggu sudah di hadapan mata. Perlu tunggu apa lagi? Lampu hijau sudah menyala dan inilah saatnya kata hati saya. Usai membaca naskah ini saya terus jatuh cinta dan membalasnya dengan kata...

YA! SAYA AKAN BUAT. SAYA SUKA!

Inilah detiknya, seingat saya peristiwa ini berlaku di bulan puasa. Makanya sepanjang bercuti raya saya mengambil masa untuk memahami dan menghafal 3 babak terawal. Masih ingat lagi, hari raya kedua saya sudah duduk di Pacific Mall di Batu Pahat. Orang lain sibuk beraya saya hanya beristirehat, al maklum single father hahha.  Lokasi saya di kedai nasi ayam penyek. Tiga hari berturut saya duduk di situ sehingga pekerjanya sudah mengenali saya. Kiranya macam feeling-feeling artislah, duduk di restaurant menelaah skrip. Tapi ada untungnya kerana saya dapat melihat gelagat manusia yang keluar masuk di restoran tersebut. Bermulalah kerja saya selaku pelakon iaitu menelaah telatah manusia. Ada hasilnya juga saya melepak.

Menghadapi lakonan monodrama agak memenat dan mengujakan saya. Saya sangat cintakan lakonan monodrama kerana menguji stamina, daya mengingati dialog, tumpuan yang jitu pada perubahan watak, kepantasan otak berfikir secara spontan. Malah saya pernah terkedu seketika di atas pentas kerana kehilangan dialog ketika beraksi. Hidup mati saya sendirian. SM tidak dapat membantu, prompter juga tidak boleh membantu. Saya berlegar seketika di belakang kerusi (ala-ala nak ambik moment kononnya, padahal lupa). Alhamdulilah tuhan buka jalan. Sebenarnya setiap blocking yang saya buat, akan mengingatkan kembali setiap aksi dan dialog. Maka dapatlah saya kembali ke track yang hilang tadi. Saya bukan yang bagus dan terbaik tetapi kemampuan seorang pelakon memang akan teruji bila mereka bermonodrama. Selama satu jam setengah beraksi di atas pentas. Hanya ada 5 saat untuk keluar minum dan melihat sekali imbas skrip, dan terus ke pentas semula untuk beraksi. 

Memang adakalanya saya terlupa dialog. Benar! Saya buntu! Saya menangis dalam hati! Saya hilang keyakinan seketika! Tapi penonton tidak mahu tahu, saya harus PANDAI di atas pentas. Peringkat awalnya Profesor Dr Hatta mahu membantu saya dengan meletakkan skrin di hadapan pentas. Skrin ini akan memaparkan 'keywords' bagi membantu saya mengingati dialog. Hari pertama run thru, saya cuba utnuk tidak melihat skrin, saya berjaya. Atas dasar itu, pendekatan tersebut diketepikan. Lagi pun saya akan lebih terganggu andainya ada skrin, nampak pulak ketidak profesionalisma saya sebagai pemain. Nanti jadi isu pulak. 

 Berhadapan dengan  13 watak adakalanya tidak ter 'laku' oleh kudrat saya. Tetapi harus diingatkan, daripada 13 watak itu mana yang utama dan perlu diberi fokus lebih. Ada pendapat juga bahawa saya hanya berjaya watak pompuan, lelaki kurang berkesan. Ada benar juga kerana tidaklah terkejar saya untuk pergi lebih detail. Hanya saya mampu membuat sekadar mungkin kerana banyak benda lain saya perlu fikirkan sepanjang 90 beraksi. Saya utamakan TENAGA saya di atas pentas. Tenaga ini yang akan memacu kudrat saya untuk bertahan. Memang saya ada habis nafas dan pancit, tapi saya cuba cari tempat yang bersesuaian untuk saya bertenang dan tidak terlalu gopoh.

Pengalaman mengarah memberi saya kelebihan untuk melihat pergerakan graf lakonan saya. Jalinan babak ke babak perlu ada peningkatan dalam penceritaan. Saya umpama seorang Tok Dalang yang mengerakkan aksi-aksi tersebut. Saya perlu sedar sekiranya ada penonton yang bosan. Seandainya itu berlaku, saya katakan saya gagal. Beraksi dalam LEMBU tidaklah sukar kerana setiap babak adalah monolog yang berdiri sendiri. Malahan saya hanya beraksi dan duduk dalam situasi, penonton hanya memerhati perlakuan saya. MENUNGGU LAMPU HIJAU amat menakutkan saya kerana perlu adanya interaksi dengan penonton, berbicara terus dengan penonton. Saya tidak KUAT. Dalam realiti saya seorang yang sangat 'introvert'.  Ahmad Bukhari ini bukan saya. Tapi saya perlu menjadi Ahmad Bukhari B Yatim, atau Ahamad B. Yatim atau AHMAD YATIM!

Profesor Hatta selaku pengarah amat mementingkan kebersahajaan di atas pentas. Watak itu benar-benar ada dan jujur bercerita. Beliau tidak mahu pelakon terlalu nampak untuk BERLAKON. Perlu lakonan yang relax dan bersahaja. Namun ianya akan berubah apabila ada penegasan pada babak yang ingin disampaikan. Sukar untuk mendapat kebersahajaan yang dikehendaki. Tetapi bukanlah membawa lakonan TV di pentas, tiada impak yang bagus. Jangan berlebihan dan jangan berkurangan itu yang Ahmad Yatim katakan. Kita selaku pelakon kena sukat sendiri. Saya hanya mampu cuba yang terbaik.

Watak Kak Normah, Habibah, Ruzita, Rugayah, saya benar-benar jatuh cinta dengan keletah mereka. Kak Rugayah paling berbisa mulutnya, lantang, tegas tetapi ada kebenaran dalam ucapannya. Kak Habibah seorang yang halus budi pekerti, penenang dalam apa situasi dan sentiasa merendah diri. Kak Ruzita sangat menjaga ketrampilannya apatah lagi dia tuan punya syarikat produk kecantikan ubat-ubatan tradisional. Sentiasa duduk dalam keadaan tegak, maklumlah pakai korset. Ini pun saya jadikan inspirasi daripada Syafinaz Selamat dan Kak Ton. Hehehhe kombinasi dua wanita hebat. Kak Norma, bini pertama yang paling simple, walaupun usianya 26 tetapi pengalaman hidup membuatkan dia sentiasa terbuka dengan perangai madu-madunya.

Ahmad Bukhari, saya umpamakan perakam masa, memerhatikan gelagat keluarganya. Dari segi usia dan fizikal ini tidaklah jauh beza dengan saya. Latar usia dan pekerjaan pun tiada beza. Inilah tunjang utama dalam persembahan. Watak yang sangat fleksible, terbuka dan mudah meresap dengan segala kejadian yang berlaku di sekeklilingnya. Inilah Tok Dalang utama disebalik MENUNGGU LAMPU HIJAU. Profesor Syed Mahfuz, rakan baik Ahmad Bukhari, dianggap sebagai mentor dan abangnya. Tiada rahsia antara mereka, masing-masing saling mengkagumi. Mula saya membaca watak ini sudah tergambar figura watak itu dan siapa bayangan di mata saya. Biarlah rahsia saya dengan pengarahnya. Untuk mengelak fitnah hahahha.

Tidaklah perlu sayang mengupas isu cerita ini kerana MENUNGGU LAMPU HIJAU boleh dilihat dari pelbagai sudut. LAMPU HIJAU itu sahaja boleh diintrepetasikan dengan apa sahaja mengikut situasi orang yang MENUNGGU. Apa yang DITUNGGU? Apa yang MENUNGGU? Siapa yang MENUNGGU? Semuanya terletak kepada situasi anda sendiri. Adakalanya kita sakit hati menunggu akan sesuatu yang tidak pasti sehingga kita penat menunggu. Tetapi kita wajib menunggu atau kita redah aja LAMPU MERAH. Pilihan di atas tangan anda. Seperti saya yang menunggu, dan apa yang ada di hadapan mata adalah senaskah MENUNGGU LAMPU HIJAU. SAYA TIDAK MAHU MENUNGGU. 

Salam.

THE MiracE seeD...Impian, Khalayan dan HARAPAN

THE MIRACLE SEED

Masih ingat lagi, tahun 1994/95 kalau saya tidak silap, ketika kelas tinjauan teater dunia. Ketika tu masih mentah dengan dunia teater mahupun naskah teater. Setiap pelajar dikehendaki memilih salah satu skrip yang dibawa oleh pensyarah Dr Ghulam Sarwar dan membuat kajian berkaitan naskah tersebut. Pembentangan asas mengenai tema yang dibawa? Persoalan? Perwatakan? Hubungan antara watak? Apakah konflik yang dibawa? Perjalanan plot. 

Rupanya plot perjalanan naskah ini membawa hingga ke tahun 2013. Setelah hampir 17 tahun naskah ini terperap dia dalam kotak, akhirnya tergerak untuk saya mementaskannya bagi Penilaian Tahun Akhir (PETA). Sebenarnya idea untuk mengangkat naskah ini ke pentas tidak mengambil masa yang lama. Bak kata saya, ikut kata hati. Apabila seorang pengarah pernah membaca sesebuah naskah, mereka akan terkesan walaupun ianya mengambil tempoh yang agak lama untuk dipentaskan. Hanya menunggu ruang dan peluang. Ketika menonton 'preview' pelajar untuk melayakkan mereka dinilai untuk PETA, saya telah DIARAHKAN untuk mengambil sekumpulan pelajar dan mengarah mereka. Sebenarnya tujuan saya hadir sekadar untuk menyokong mereka, dan tidak menyangka hingga terjebak untuk mengarah. Terasa seperti bebanan pula! Bukannya menolak, cuma kengkangan masa menyebabkan saya takut tidak terarah mereka. Tapi saya ambil pendekatan positif, cuba untuk membuang perasaan TERBEBAN itu.
Ahmad Aizat(kiri) sebagai Ram memberi penghayatan yang amat bagus. Manakala Tengku Hamzi (kanan) mempelrihatkan kesungguhannya dalam menjiwai watak

Langkah pertama mencari naskah, dan terus terlintas naskah ini. Seperti tuhan permudahkan jalan saya untuk menolong anak-anak ini. Saya ikhlas membantu walaupun adakalanya saya 'stress' dalam diam. Apabila saya ajukan skrip ini, dekan teater Cik Rosminah Tahir terima tanpa banyak bicara. Saya yakinkan naskah ini amat kuat untuk dinilai dari aspek lakonan. Sekali lagi jalan saya terbuka luas, apabila Ahmad Yatim, pensyarah teater dengan bersungguh ingin terjemahkan naskah ini ke bahasa melayu. Alhamdulilah.

Minggu seterusnya, sebelum memasuki proses latihan, pelajar mula membentuk dan merangka kerja-kerja ke arah produksi. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mereka terganggu dengan perihal produksi kerana fokus utama mereka adalah lakonan. Ini tidak bermakna mereka tidak perlu ambil tahu langsung, cuma kalau boleh jangan dicampur adukkan. Saya amat mementingkan pekara-pekara artisitik kerana kekuatan artistik akan menyokong naskah yang akan dibawa. Sepanjang preview pertama hingga ke akhir banyak perubahan yang dibuat berdasarkan komen-komen dari penilai. Sesungguhnya memang sukar membawa naskah yang asing dengan latar masyarakat. Sepekara lagi memang sukar jikalau kita yang mengarah dan kita juga yang berlakon. Saya terdesak untuk berlakon memandangkan sukar untuk mencari calon yang bersesuaian untuk watak Atuk dan mungkin juga saya sudah jatuh cinta dengan kesemua watak di dalam naskah ini. Memang saya terimpi untuk berlakon tetapi ini adalah keputusan yang paling akhir. Sebelum membuat keputusan, saya ajukan kepada Ahmad Yatim, dan dia bersetuju untuk memantau lakonan sekiranya memang saya yang berlakon. Keputusan ini diambil setelah preview yang ketiga dan mendengar pandangan dari beberapa rakan.

Ram dan Malti dalam babak 2
The Miracle Seed menggambarkan masyarakat kampung di kawasan pertengahan negeri Mahastra India. Akibat dari bencana kemarau yang dialami selama 2 tahun, india menghadapi krisis kemanusiaan yang sangat kritikal. Ekonomi merudum jatuh sehingga masalah kemisikinan menjadi bebanan pihak kerajaan. Hasil tanaman tidak menjadi malahan binatang ternakan mati disebabkan kekurangan air. Sumber air utama yang diperolehi dari perigi juga semakin berkurangan. Suara-suara rakyat memberontak, mendesak kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian. Walaupun langkah telah diambil, kelihatannya permasalahan lain muncul di mana adanya tangan-tangan kotor yang secara mudah mengambil kesempatan di atas kemelaratan manusia lain. Setiap apa yang dibuat, nampaknya wajib ada keuntungan bagi pihak lain. Kritikan sosial ini amat ketara dalam naskah The Miracle Seed.




Naskah karya Asif Currimbhoy ditulis pada tahun 1972, dan apabila dikaji latar masyarakat ketika itu, negara India sebenarnya telah melalui rentetan sejarah kemarau yang amat lama. Sukar juga hendak menjelmakan kepayahan ini dan merasai kedaifan hidup ketika kemarau. Al maklum kita belum merasai kegetiran hidup sebegitu.

Kembali kita kepada produksi ini, tahniah kepada para pemainnya yang giat bekerja untuk memahami naskah dan mementaskannya. Saya perhatikan Jatt seorang pelakon yang sering mencabar dirinya dalam apa keadaan. Sering tidak berpuas hati dan sering mencari warna watak. Serius dalam kerjanya dan saya amat teruja dengan tenaga lakonnya. Watak RAM (suami Malti) di tangannya amat dekat sehinggakan beliau sanggup berdiet dan terlihat hasilnya ketika pementasan. Adik selaku watak Lakshmi seorang pelajar yang sering berusaha tanpa mengenal penat. Begitu berusaha untuk menguruskan badannya kerana dia sedar itu keperluan watak. Sanggup catu makan untuk kelihatan daif dan sering mencuba untuk menjadi gagap kerana itu tuntutan watak beliau. Bong yang membawa watak Laksman (anak saudara) seorang pelajar yang tidak berhenti-henti mencari sehinggakan tak terbawa dia dengan watak tersebut. Tetapi yang bagusnya dia tidak pernah mengalah dan sangat berkeyakinan dalam apa sahaja. Itu lagi penting, keyakinan itu WAJIB ada walaupun di pandangan mata orang kita tidak berjaya. Peduli apa, sekurangnya saya melihat dia mata bersusah payah dan berusaha. Bong adalah penyeri di dalam produksi ini dengan lawak-lawaknya. Nisha membawa watak Malti mempunyai auranya tersendiri, namun beliau agak sukar untuk keluar dari zon selesanya. Namun begitu beliau seorang pelajar yang bertelinga tebal.....hehheheh.

Saya doakan adik-adik ini berjaya dalam apa lapangan kerja yang akan ditempohi. Saya doakan rezeki anda melimpah ruah dan semoga kalian berjaya dalam mencapai cita-cita