Tuesday 3 December 2013

di mana SAKTi anak Raja Gondang


Hari yang meletihkan bagi saya, tuntuan kerja membawa yang ke sana sini dan situ. Demi sebutir berlian...kata orang sekarang. Dalam hujan renyai-renyai bergegaslah saya mahu menonton makyung bersama 2 sahabat Adieka Zainal dan Azie. Kebetulan mereka telefon dan tersangkut dalam hujan. Mako, baiklah sini tempa aku nak ambik saing aku puloknyo...SAAaaaa!!!!! Maka memandulah saya dengan laju tapi tidak terlalu laju...tapi laju jugaklah. Maka, kami bertiga  menyusuri jalan Bukit Tunku menghala ke Istana Budaya.

Tepat jam 8 sampailah kami di serambi istana, bersualah kami dengan Meera dan Naz saing lamo. Berborak sambil menghilangkan keletihan. Ramai juga yang menonton. Bersedia kami untuk mengembara bersama kesaktian anak rajagondang.....
SAaaaaa!!!!!

Bila dapat seat kami duduk kemas-kemas. Pengacara memulakan tugas, nampak lengkap dan comel dengan kostum pakyong. Persembahan bermula, gesekan rebab memang memanggil-manggil. Tirai utama dinaikkan. Pakyong Rosnan mula menyanyi, serentak dengan itu okestra pit dinaikkan berserta dengan stage lif 1(pentas). Dalam pertengahan tarian mengadap rebab, stage lif 2 & 3 pun turut naik. Macam gempak je..macam gempak je. Saya suka visual di atas pentas. Kelihatan gah. Tapi malangnya saya terlindung oleh pemain rebab. Al maklumlah dapat tempat duduk di bahagian rakyat jelata yang paling murah. Sesuai kau eijat! Tak ada masalah bagi saya. Mata mula semakin sayu. Betullah, dalam keadaan penat, sebaiknya balik dan tidur, mental akan terganggu kalau badan lesu. Saya gagahkan juga menonton. Nak tengok orang terbang-terbang, jakun saya mula datang. Bukan tidak pernah tengok, tapi saja nak lihat rakan beraksi. Terbayang mereka berterbangan dan bergomol berlawan di udara.


Persembahan makyung tidak mendukacitakan, menarik. Ada beberpa bahagian yang melelapkan saya, bukan salah persembahan. Salah saya, saya kepenatan. Permainan lakon antara pakyong dan 2 perannya menghiburkan. Cuma saya berpendapat abang Sabri Yunos (PERAN TUA) pelakon yang punya idea, mungkin malam tu dia cuba mengawal supaya tidak menjadi panjang, tapi bagi saya itu pun dah terlalu panjang. Kebiasaanya semasa bahagian nilah yang akan meleret kalau dapat pelakon yang tidak punch dalam lontaran dialognya. Mereka akan improvisasi dan mengaitkannya dengan isu-isu semasa.

Cerita berjalan dengan kemas, pertukaran  set bersilih ganti walaupun adakalanya adegan dah berjalan set baru masuk. Timing tak betullah tu. Mata sedikit terganggu. Set yang chantek, mewah dan gah untuk memenuhi ruang pentas yang lebar dan panjang. Adakalanya ianya menenggelamkan pelakon. Terutama adegan yang melibat dua atau tiga pelakon. Seharusnya tatacahaya harus mengecilkan kawasan lakonan. Itu hanyalah pandangan saya.  Kostum yang berkilauan, penuh warna-warni. 

Lakonan tidak mengecewakan. Datin Sofea Jane selaku Puteri Sulong amat bersungguh dengan wataknya, Seorang kakak yang tegas dengan adiknya Puteri Bongsu. Kadang-kala terasa yang datin ni masih lagi anak dara. Keletahnya dan gediknya memperlihatkan seorang kakak yang kasar dan cemburu. Vanida Imran sebagai Puteri Bongsu sangat tertib perlakuannya. Lenggok dan tutur katanya sopan, langkahnya teratur dan gemalai. Vanida bertutur dalam dialek Kelantan walaupun adakalanya nampak pelik. Bagi saya mencuba itu pun sudah tahap cemerlang. Bukan semua orang boleh buat, apatah lagi yang baru berlatih dua tiga bulan. Memanglah, mahu dapatkan 'air dan lenggok' dalam pertuturan tu memang susah. Sedangkan mereka yang setahun belajar pun adakalnya terkucil.

Ismadian sebagai Raja Besar sangat gagah. Caranya berdiri, lontaran suaranya, pembawakan wataknya cemerlang. Saya seringkali teruja melihat Ismadian atau Yan beraksi di atas pentas. Setiap perlakuannya, ketegasannya, 'posture' badannya teguh menawan di mata saya. Yan benar-benar meletakkan dirinya sebagai Raja Besar. Cuma kelihatan pelik kerna dari raut wajah, nampak anak lebih tua dari bapa. Well....no komen. Pilihan pelakon haruslah tepat, bukan saja kerana tarikan tetapi perletakan wataknya haruslah sejajar.

Rosnan sebagai pakyong (RAJA GONDANG) tidak boleh dinafikan kredibiliti, kesungguhannya dan kebagusannya dalam teater tradisi ini. Alunan suaranya ketika mengalunkan suara dalam nyanyian Mengadap Rebab mengetarkan. Butir bicaranya jelas.

Ada pendapat mengatakan watak pakyong asalnya dibawa oleh lelaki, tetapi apabila seni ini dibawa ke istana, mulanya berlaku perubahan. Watak ini dibawa oleh perempuan. Saya teringin melihat Nan di sisi yang lain. Mencuba yang baru. Aura yang baru dan permainan yang baru

Pendapat saya, lebih chantek kalau sisi 'manly' ditonjolkan lebih sedikit supaya kami tidak terkeliru di antara pakyong dan puteri. Mungkin Rosnan boleh buat, saya percaya, rosnan banyak yang kelebihannya. I cabar u Nan hehehhe....Rosnan boleh!!!! (Jangan marah Nan, kita berkongi-kongsi fat chai)




Asrulfaizal sebagai PERAN TUA bijak mengawal rakan lakonnya Isey Fazlisham yang suka meraban. Ad lib yang adakalanya disengajakan (maklum malam terakhir, pelakon akan merapu meraban) Asrul matang dan tidak terbawa atau terpengaruh dengan peran muda. Asrul sedar akan wataknya, bijak mengawal situasi dan tidak berlebih-lebih. Dia sentiasa membawa cerita kembali pada 'track' dan  berjaga-jaga. (supaya tidak melerat)
 
Che Kem selaku MAK RIMAU BESAR. Permulaan Che Kem sangat bagus, pergerakannya, vokalnya. Saya terganggu dengan visual harimau di skrin. Saya tidak pasti mahu lihat yang mana harimau di pentas atau di skrin. Visual tersebut sudah membunuh kemuculan watak ini di pentas. Che Kem terpaksa berlawan dengan dirinya di belakang (skrin). Membunuh kepercayaan penonton untuk melihat 'nyata'nya harimau di pentas. Aksi dan vokal sudah menjelaskan keberadaan watak tersebut, seolah-olah cuba mengajar penonton..

." ini adalah harimau. cuba tengok harimau di belakang dan di pentas. Samakan adik-adik. Ya.....tepuk tangan. Mari!"

Stamina Che kem adakalanya surut. Macam berat je...macam berat je. Lebih-lebih lagi di saat beliau menghempaskan badan ke pentas setelah terbang. Takut pulak saya. Timbul juga rasa hairan..wah berat ...berapa orang yang tarik Che Kem tu?  Saya tahu dia keletihan tu. Watak-watak supernatural sebegini memerlukan kekuatan badan, kelincahan dan pernafasan yang bagus. Silap haribulan boleh pancit di tengah pentas, lebih-lebih lagi bila dah masuk 4 series ni.  Berat tau....hehhehehhe

Babak 'berhuda' atau berlawan sekiranya dikoreografer, mungkin akan dapat kesan yang lebih bagus. Saya tidak pasti sejauh mana boleh dieksplorasikan. Kalau boleh...lain kali lah. Masalah utama bagi saya ialah naskhah. Cerita dan konflik watak seperti tidak selesai. Mungkin ada bahagian yang sudah dikompres agaknya. Ceritanya bergerak tapi konflik watak hanya di dasar sahaja. Walaubagaimana pun saya terhibur dengan persembahan dan aspek teaterikal di pentas. Usaha yang cukup murni mengangkat karya-karya tradisi di pentas. 

Terimakasih
Salam... salam.. salam..



Friday 29 November 2013

Makyung "Raja Tangkai Hati'

Makyung RAJA TANGKAI HATI
       Teringat akan saya teater Makyung arahan Norzizi Zulkafli. Peringkat awal kami sama-sama membuat pilihan pelakon. Ternyata sukar juga hendak mencari pemegang watak Pakyongnya. Sepatutnya watak ini dilakonkan oleh penyanyi Aishah. Kami bertemu janji dengan Kak Aishah di sebuah restoran di Ampang. Tak ingat namanya. Saya, Zizi dan Toemoe. Saya  kenal dengan Kak Aishah hanya menerusi telefon saja, tapi mesranya macam dah berkawan lama. Hehhe saya belajar untuk berkomunikasi dan memikat untuk produksi. Masa nak berjumpa, Zizi paksa saya temankan sekali sebab malu katanya. Kali pertama berjumpa Kak Aishah kami dah rasakan aura yang kuat, maklumlah ni penyanyi peringkat antarabangsa. Rasa kerdil je duduk semeja.

           Kak Aishah teruja hendak melakonkan watak ini. Walaupun hakikatnya beliau bukanlah orang Kelantan. Bagi kami pengalaman beliau dalam nyanyian akan memudahkan proses latihan terutamanya nyanyian. Kak Aishah tiada masalah dalam lakonan, dan memang teruji dia boleh berlakon. Terbayang lagi sukarnya Kak Aishah hendak bertenggong semasa menari Mengadap Rebab tetapi beliau amat positif.  Namun atas sebab peribadi beliau terpaksa menarik diri walaupun telah melalui proses latihan, lalu digantikan dengan  Zuliana Zainal artis budaya Petronas yang telah termaktub keupayaanya. Maka tiadalah rezeki kami dengan kak  Aishah. 

              Bila dikenang semula seolah-olah ini adalah gabungan pegawai dan graduan ASK, Juhara Ayob, Che kem, Mardiana Ismail, Yuniey Nur Leitey, Shariful Akma juga artis Istana Budaya. Manakala Norzizi bertindak selaku pengarah dibantu oleh Syarul Azlina. Manakala  Toemoe menjadi PENYELAMAT menyelesaikan kerja separuh jalan Jalil Ngah (al fatihah untuk arwah) dan dipertanggunjawabkan untuk membantu dari sudut pencahayaan. Idea Jalil Ngah dari sudut pencahayaan sangat bagus, mungkin masalah bertindak kerja menjadi punca kekalutan. Saya selaku Pengurus Pentas. Mulanya Zizi meminta saya menjadi penolong pengarah, tetapi saya tidak berkeyakinan kerana Makyung terlalu jauh bagi saya. Lain kalilah kot. Zizi selaku pengarah sangat terbuka untuk menerima pendapat dari rakan-rakannya. Kadang-kadang kami luahkan idea yang gila-gila, untuk melihat sejauh mana ianya boleh dicapai. Proses kreativiti ini tidak boleh disekat, buat dulu dan kita akan tahu keputusannya. Maknanya perlu ada plan A, B, C dan sebagainya.

                Kelebihan pentas Istana Budaya dieksploit secara total oleh Zizi. Ketika tarian mengadap rebab,  pentas (stage lif) dinaik dan diturunkan untuk memberi kepelbagaian perspektif visual. Di belakang terpapar skrin besar yang menayangkan visual secara live, kelembutan dan keindahan gerakan jari-jemari si penari. Zizi dengan sengaja ingin penonton turut menjiwai  keunikan gemalai tari klasik ini. Malah imej muka peran turun ditayangkan di atas kain layar kapal, semasa pakyung berinteraksi dengan peran untuk datang mengadapnya di atas kapal. Zizi sangat teruja bermain dengan skrin apatah lagi ketika itu beliau sedang mengikuti pengajian filem di UITM.

SEKITAR PERSEMBAHAN 

              Selaku pengurus pentas banyak cabaran dalam mengendalikan produksi. Sebagai kawan rapat, saya memahami kehendak Zizi, ketidakpuasan hatinya akan beberapa pekara bila berkait dengan artistik.  Adakalanya bila ada pekara yang mencuitkan hati semasa berlangsungnya mesyuarat produksi, kami hanya akan bermain mata. Adalah beberapa pekara, biarlah menjadi rahsia.....hmmm OK..Ok ...kalau Zizi baca ni mesti dia tergelak besar..... "...kami akan gunakan kapas atau polisterin untuk buat awan". Idea yang tak masuk akal.... ni sekolah tadika ke apa.... hello Istana Budaya ok!!

                Pernah juga kami bergaduh di dalam studio latihan, meninggi suara kemudian kami tidak bertegur dan bermasam muka. Dua tiga hari kemudian bila bertentang mata, dua-dua senyum dan gelak. Begitu indahnya persahabatan. Tak boleh nak gaduh lama-lama, rasa pelik.  Berbalik kepada persembahan, saya tak ingat malam ke berapa. Dalam satu babak Malim Bisnun (Mardiana Ismail) dan Malim Bongsu (Yunie) telah dicampak ke laut oleh ayahandanya sebab hasutan Puteri Bota (Norsiah Yatim) yang telah menyamar menjadi Puteri Cempaka Emas. Maka beria-ia lah si Pakyong (Zuliana) membuat gerakan dan tercampaklah Malim Bisnun dan Malim Bongsu ke laut yang ditandakan di area stage lif 1. Maka turunlah stage lif 1, ke  level paling bawah menandakan tenggelamnya mereka ke dasar laut. 

              Muncul Dewa Betara Guru, maka kesianlah dewa melihat nasib anak raja  tersebut, diserunya naik ke permukaan laut SAAAAA......maka stage lif  1 pun naiklah dan terus naik dan terus.............dan naiklah ia......WHATTTTTTTTTTTTTTT TAK NAIK.....rupanya stage lif ada masalah teknikal. Saya perhatikan Che Kem dah beria-ia membuat gerak-gerak kontemporarinya......menokok nambah dialog.....sampaikan terkeluar dari mulut dia..." aloh penatnyo ambo...tok naik2. Penonton gelak terhibur.   Inilah untungnya dapat pelakon yang bijak menguasi keadaan. Saya dan Zizi dah bagi que, ada masalah berlaku. Mardiana dan Yunie masih lagi di bawah. Saya ikhtiarkan untuk turunkan stage lif 2, pun sama sangkut di bawah dan last stage lif 3.....subhanallah, pun sama. Apalah MALAPETAKA untuk hari itu. Saya tidak terfikir pun hendak memberhentikan persembahan kerana ianya cuma masalah kecil, dan rupanya ianya semakin merebak. PENYELESAIAN terakhir saya arahkan kedua pelakon untuk naik mengikut tangga....dan mereka terus ke stage lif 4 untuk meneruskan aksi. Memang berpeluh malam tu.... 

                Budak-budak teknikal dah berpeluh peluh untuk selesaikan masalah teknikal....masalah program la. Tapi kalau benda dah nak jadi...memang akan jadi, walaupun kita dah buat teknikal run ke....teko run ke...atau apa-apa run la..... atau buka panggung ke buka punggung ke. Mungkin pekara yang terbaik adalah BERHENTIKAN SHOW. Tapi al maklum, saya ni bukannya belajar pengurusan pentas BERGURU dengan sesiapa. Bezalah mereka yang terdedah dengan  GURU OBERSEA. Cuma saya banggalah sebab dengan tak tahu apa-apa dan tanpa mendapat pendidikan secara formal berkaitan PENGURUSAN PENTAS saya mampu melakukannya ketika produksi teater TUN PERAK. Memang saya terkuntang kanting, cuma semangat saja yang menguatkan saya. Diam tak diam, dah 10 produksi saya uruskan. Tak ada pulak kemalangan, insyallah kalau kita tenang. Tak usahlah nak megah-megah. Allah uruskan cakrawala...tak sombong pun kan!

                  Jadinya malam tu memanglah saya pucat habis. Zizi dari bilik solek terus berjumpa saya bertanyalan masalah. Ini lagilah membuat saya panik, banyak pulak soal, tapi saya tahu dia risau. Tapi dia tenangkan saya yang panik....dia mahu membantu. Saya mula rasional dan membuat tindakan. Memang seeloknya pengarah tak dibenarkan ke belakang kerana pentas sudah jadi kepunyaan pengurus pentas. Pengurus pentaslah pengarah sepanjang persembahan. Pengarah cuma boleh bagi breifing dan kemudian harus ke hadapan panggung atau ke mana saja lah dia nak pergi.....tapi bukan di belakang pentas. Tapi terimakasih Zizi kerana menenangkan saya. MAKANYA SM TAK BOLEH PANIK. CEPAT BERTINDAK BILA MASALAH DATANG.  Proses pembelajaran bagi saya. Setiap kali persembahan teater, saya akan belajar sesuatu dan inilah BUKU saya. Makanya bagi anda yang memang tak belajar secara formal, jangan khuatir....gunakan akal yang waras dan bertindak dengan sebaiknya. 

Salam TEATER







Monday 4 November 2013

BANGSAWAN 'RAJA MUDA HAMLET'

Bangsawan
RAJA MUDA HAMLET
Selesai sudah pengerjaan naskah ini dan sudah berjaya dipentaskan. Awalnya naskah ini untuk pelajar kelas bangsawan, namun terdapat perubahan penjadualan semester dan akhirnya jatuh ke tangan pelajar graduan. Rezeki mereka. Idea untuk mementaskan naskah ini datangnya dari dua orang utama dalam fakulti, Encik Reza Zainal Abidin selaku dekan dan Cik Rosminah Tahir selaku mantan dekan. Merekalah pengerak utama sehingga berjaya dipersembahkan kepada khalayak.

Banyak jugalah komen yang saya dengar. Bak kata Marlenny sahabat rapat yang sering saya ajukan soalan jika ada kekalutan.

"Best tapi something missing" katanya.

Ada juga pendapat lain:

"Best, tak bosan. Tempo laju, fokus pada cerita"
Malahan ada yang kata:

"Set bagus, lakonan bagus. Tapi HANCUR!

Saya tidak tahu apa yang hancur??? Sebab tidak ada lakunan bangsawan atau bait dialognya bukan bangsawan. Tapi saya boleh menerimanya. Sesekali saya harus berpegang pada kata azimat Marlenny Erwan:

" Ada aku kisah!!

Ya, saya mula belajar itu.

Saya faham. Saya akui. Saya sengajakan. Bila terlalu lama dalam membuat pekara rutin, saya juga rimas. Malah ada berdetik dalam hati,...

"dahlah tak payah buat bangsawan. Banyak benda lain yang boleh dikerjakan".

 Saya merasakan ini proses kematangan dalam diri untuk keluar dari 'zon selesa'.  

Sedari awal saya telah terlihat, masalah utama adalah kata-kata ucapan dalam naskah shakespeare ini dan saya amat TERUJA untuk mengekalkan bait-bait ucapan dialognya yang puitis tambahan pula ianya merupakan terjemahan AHMAD YATIM, Sayang kalau diubah, itulah konflik terdalam yang saya alami. Hasilnya memang saya mengekalkannya dan saya bertanggungjawab dengan pilihan itu.

Memecahkan naskah ini menjadi babak-babak amatlah sukar, sementelah banyak adegan menarik dan sekali lagi rasa SAYANG menguasai diri. Hampir setahun proses pengerjaan ini berlaku dan akhirnya terdapat 7 babak penting dan 3 adegan street scene -lakonan kumpulan opera (extra turn), 1 street scene adegan Hamlet bertemu roh bapanya dan 1 nyanyian (extra turn lagu Biarlah Rahsia. Dicadangkan oleh Encik Reza, Lagu ini cuba memberi intrepetasi kepada luahan jiwa antara watak Ophelia dan Gertrudge). 

Kemunculan kumpulan pelakon Opera menjadi pengikat kepada babak tertentu, penggunaan bahasa yang lebih kolokial. Saya cuba menjadikan kata azimat Hamlet "Bertindak atau Tidak" sebagai lagu yang membawa pergerakan kumpulan ini sehinggalah kepada kemunculan terakhir dan mereka menyanyikannya dengan mood yang berbeza. Liriknya digubah dan adegan tersebut dilakukan secara improvisasi menerusi latihan dalam studio. Seperti kata dekan saya...

" Itulah konsep u! Apa kata u explore dari situ".

Malahan ketika babak lakonan dalam istana, saya cuba menerapkan lakonan bangsawan menerusi lenggok dialog bangsawan  melayu yang stylized, namun didramatarikan. Awalnya pelakon melafazkan kata-kata tersebut tetapi setelah berbincang dengan penolong pengarah Sharful Akma, kami membuat pilihan untuk mengekalkannya dengan lakonan mime sekadar untuk memberi variasi agar idea penceritaan lebih menonjol. Cuma fokus utama ketika adegan racun sahaja. Makanya saya pisahkan antara gerak dan dialog, dan dilakukan oleh orang yang berbeza.

Gurindam telah digantikan dengan prolog, disampaikan merusi lirik lagu dan muzik. Pergerakan penari lebih membawa kepada gelodak jiwa Hamlet, pergerakan yang bersifat kontemporari dan kejiwaan. Hazra Ghazali amat memahami kehendak saya selaku pengarah.

Pergerakan dicipta dahulu dan barulah pengarah muzik iaitu Encik Faizal Fauzi  menghasilkan iramanya mengikut kehendak dan sifat tarian. Faizal hakikatnya memberi mood yang cemerlang sepanjang persembahan. Puas hati mendengar muziknya! Tahniah Faizal walaupun dalam keadaan kalut dia mampu menyempurnakan kerjanya. Adakalanya dalam keadaan terdesak, inspirasi tu mencurah-curah. Saya juga pun adakalanya begitu.

Sememangnya kami produksi cuba untuk lari dari suasana naskah asal dan melahirkan dunia yang lain. Cuba untuk mengelak perulangan dan mencipta dunia yang lebih segar. Maka kami seboleh-bolehnya mengelak dari berpegang pada latar yang asal. Seandainya ada yang mempertikaikan ke bangsawanan kami, kami terima dengan seadanya. Namun bukankah drama  aliran shakespeare itu bersifat Opera dan di situlah klasiknya, dan bangsawan juga adalah opera melayu. Mungkin hanya kerana kami mengekalkan teks tersebut, maka tidak terlihat nada-nada melayunya lalu ianya dikira bukan bangsawan? 

Bagi saya tiada salahnya saya menggabungkan form bangsawan dengan klasik barat. Ini satu eksperimentasi kami. Tambahan pula telah berulang kali kami mementaskan cerita Melayu, Arab, Jawa dan masih berpegang pada paksi yang asal. Jadi, KALI ini kami cuba untuk bereksplorasi. Saya pernah mementaskan Bunga Sakti Cinta Malam ( A Mid Summer Night's Dream adaptasi oleh Marlenny Erwan). Sekali lagi saya jelaskan, saya memang SENGAJA mengekalkannya begitu. Hasilnya satu garapan yang lebih segar di mata saya tanpa adanya extra turn nyanyian yang terasing dari cerita. Namun begitu sedikit sebanyak saya cuba juga menerapkan gaya bangsawan ketika berdialog supaya lebih seimbang.

Malahan adiguru saya PAK RAHMAN sendiri menjelaskan extra turn nyanyian dan tarian hanya ada di pembukaan bangsawan dan sebelum babak terakhir. Selebihnya adalah street scene. Sekitar tahun 60 an barulah penyanyi-penyanyi pop ketika zaman itu diundang untuk menarik khalayak menonton persembahan bangsawan. Ada beberpa pekara yang beliau tegur dan saya terima dengan fikiran yang terbuka.

"Masa zaman cikgu, kami memang pakai baju jubah-jubah, gaun. Mungkin sekarang ni lain caranya" Luahan hatinya. Saya tahu dalam diam cikgu marah, tapi dia tidak kata tidak boleh!

Pilihan pelakon peringkat awalnya sudah terlintas dalam kepala, malahan saya meminta pandangan Ahmad Yatim yang sememangnya orang yang amat dekat dengan teks klasik Shakespearce. Macam kata Profesor Dr Rohani Yousoff..

"Shakespearce teks cik Mat. I tak boleh kacau" Dalam nada gelak dia bergurau.

"Berapa dia bayar kau? 10k? tanya cik Mat.

Saya faham soalan cik mat tu. Saya diam dan tersengeh. Kalau setiap kali buat bangsawan dapat 10K memang dah kaya saya. Yelah, selama dua tiga bulan kita fokuskan diri untuk produksi, orang tak akan faham penat lelah kita, balik tidur pun otak masih berfikir-fikir. Tapi alhamdulilah saya dikelilingi mereka yang amat membantu.


Pelakon yang dipilih memang teruji lakonannya. Kalau ada sedikit kekurangan mohon maaflah. Kalau tidak ada bangsawannya, mohon maaf sekali lagi. Memegang kata azimat Hamlet...




"BERTINDAK ATAU TIDAK, ITULAH SOALNYA"

Saya sudah bertindak, dan itu tidak menjadi SOAL bagi saya.





Sunday 3 November 2013

Monodrama 'Menunggu Lampu Hijau'

Monodrama
MENUNGGU LAMPU HIJAU

"Eijat, rektor cari awak" kedengaran suara Amy di corong telefon. Saya punyalah ketar tak tahu apa yang prof kehendaki dari saya. Saya ada buat salah ke? Atau ada kena mengena dengan bangsawan? Prestasi saya tidak bagus ke? Adakah saya curi tulang? Risau, punyalah risau!!

"Ada apa Amy? Saya cutilah! jawap saya.

"Entah" balas Amy

Esoknya dengan penuh debaran di dada, saya terus ke opis rektor. Dengan muka yang sembam terus berjalan menuju ke jambatan yang menyambung dua dunia ( Jambatan depan Panggung Eksperimen). Umpama menyeberangi jambatan siratul mustakim. Saya terimbas kembali semasa mula-mula saya dimaklumkan mendiang Krishen Jit mencari saya ketika saya berjumpa mantan dekan Cik Rosminah Tahir, orang yang sangat saya respect, orang yang pernah menangis kerana saya, orang yang pernah menghempas skrip di hadapan mata saya. Indahnya pengalaman itu.

"Asalamualaikum Prof.
"Hah, eijat! Duduklah. Profesor Dr Hatta mengarahkan saya yang masih lagi terkebil-kebil dengan perasaan yang tidak selesa.

"Ke mana awak menghilang ni. Saya dulu tengok kamu ni aktif dengan gang-gang kamu, dengan Tomoe dan Namron. Masa kamu terlibat dengan Alternative Stage. Saya pernah tengok persembahan kamu di DBP. Kenapa kamu dah tidak berlakon? Kamu pelakon yang bagus". Sebenarnya saya tidak berapa ingat dialog Profesor ni, tapi lebih kurang macam inilah.

" Entahlah Prof mungkin saya rasa kehilangan. Lagi pun mungkin juga tidak ada naskah yang bagus" Alasan yang tidak masuk akal saya berikan. Sebenarnya tidak ada idea sebab masih lagi diselubungi rasa ketidak selesaan. Terkedu saya macam muka mak Ahmad Bukhari menerima kedatangan 4 menantu dan 11 cucunya ketika berhari raya.

"Kamu ada apa projek sekarang ni? tanya beliau lagi

"Tak ada prof. Hanya kelas saja". Sebenarnya saya mengarah untuk program semarak bangsawan Raja Muda Hamlet. Bagi saya tidaklah merisaukan sangat kerana sudah pun menyusun jadual latihan, malahan skrip sudah siap. Cuma menunggu untuk sesi baca skrip.

"Nah, kamu ambik skrip ni! Kamu baca dulu. Kalau kamu suka, minggu depan jumpa saya" Profesor Dr Hatta menyerahkan saya senaskah skrip monodrama  yang bertajuk  MENUNGGU LAMPU HIJAU.

Saya berfikir-fikir, bertimbang-timbang. Memang saya menunggu. Apa yang saya tunggu sudah di hadapan mata. Perlu tunggu apa lagi? Lampu hijau sudah menyala dan inilah saatnya kata hati saya. Usai membaca naskah ini saya terus jatuh cinta dan membalasnya dengan kata...

YA! SAYA AKAN BUAT. SAYA SUKA!

Inilah detiknya, seingat saya peristiwa ini berlaku di bulan puasa. Makanya sepanjang bercuti raya saya mengambil masa untuk memahami dan menghafal 3 babak terawal. Masih ingat lagi, hari raya kedua saya sudah duduk di Pacific Mall di Batu Pahat. Orang lain sibuk beraya saya hanya beristirehat, al maklum single father hahha.  Lokasi saya di kedai nasi ayam penyek. Tiga hari berturut saya duduk di situ sehingga pekerjanya sudah mengenali saya. Kiranya macam feeling-feeling artislah, duduk di restaurant menelaah skrip. Tapi ada untungnya kerana saya dapat melihat gelagat manusia yang keluar masuk di restoran tersebut. Bermulalah kerja saya selaku pelakon iaitu menelaah telatah manusia. Ada hasilnya juga saya melepak.

Menghadapi lakonan monodrama agak memenat dan mengujakan saya. Saya sangat cintakan lakonan monodrama kerana menguji stamina, daya mengingati dialog, tumpuan yang jitu pada perubahan watak, kepantasan otak berfikir secara spontan. Malah saya pernah terkedu seketika di atas pentas kerana kehilangan dialog ketika beraksi. Hidup mati saya sendirian. SM tidak dapat membantu, prompter juga tidak boleh membantu. Saya berlegar seketika di belakang kerusi (ala-ala nak ambik moment kononnya, padahal lupa). Alhamdulilah tuhan buka jalan. Sebenarnya setiap blocking yang saya buat, akan mengingatkan kembali setiap aksi dan dialog. Maka dapatlah saya kembali ke track yang hilang tadi. Saya bukan yang bagus dan terbaik tetapi kemampuan seorang pelakon memang akan teruji bila mereka bermonodrama. Selama satu jam setengah beraksi di atas pentas. Hanya ada 5 saat untuk keluar minum dan melihat sekali imbas skrip, dan terus ke pentas semula untuk beraksi. 

Memang adakalanya saya terlupa dialog. Benar! Saya buntu! Saya menangis dalam hati! Saya hilang keyakinan seketika! Tapi penonton tidak mahu tahu, saya harus PANDAI di atas pentas. Peringkat awalnya Profesor Dr Hatta mahu membantu saya dengan meletakkan skrin di hadapan pentas. Skrin ini akan memaparkan 'keywords' bagi membantu saya mengingati dialog. Hari pertama run thru, saya cuba utnuk tidak melihat skrin, saya berjaya. Atas dasar itu, pendekatan tersebut diketepikan. Lagi pun saya akan lebih terganggu andainya ada skrin, nampak pulak ketidak profesionalisma saya sebagai pemain. Nanti jadi isu pulak. 

 Berhadapan dengan  13 watak adakalanya tidak ter 'laku' oleh kudrat saya. Tetapi harus diingatkan, daripada 13 watak itu mana yang utama dan perlu diberi fokus lebih. Ada pendapat juga bahawa saya hanya berjaya watak pompuan, lelaki kurang berkesan. Ada benar juga kerana tidaklah terkejar saya untuk pergi lebih detail. Hanya saya mampu membuat sekadar mungkin kerana banyak benda lain saya perlu fikirkan sepanjang 90 beraksi. Saya utamakan TENAGA saya di atas pentas. Tenaga ini yang akan memacu kudrat saya untuk bertahan. Memang saya ada habis nafas dan pancit, tapi saya cuba cari tempat yang bersesuaian untuk saya bertenang dan tidak terlalu gopoh.

Pengalaman mengarah memberi saya kelebihan untuk melihat pergerakan graf lakonan saya. Jalinan babak ke babak perlu ada peningkatan dalam penceritaan. Saya umpama seorang Tok Dalang yang mengerakkan aksi-aksi tersebut. Saya perlu sedar sekiranya ada penonton yang bosan. Seandainya itu berlaku, saya katakan saya gagal. Beraksi dalam LEMBU tidaklah sukar kerana setiap babak adalah monolog yang berdiri sendiri. Malahan saya hanya beraksi dan duduk dalam situasi, penonton hanya memerhati perlakuan saya. MENUNGGU LAMPU HIJAU amat menakutkan saya kerana perlu adanya interaksi dengan penonton, berbicara terus dengan penonton. Saya tidak KUAT. Dalam realiti saya seorang yang sangat 'introvert'.  Ahmad Bukhari ini bukan saya. Tapi saya perlu menjadi Ahmad Bukhari B Yatim, atau Ahamad B. Yatim atau AHMAD YATIM!

Profesor Hatta selaku pengarah amat mementingkan kebersahajaan di atas pentas. Watak itu benar-benar ada dan jujur bercerita. Beliau tidak mahu pelakon terlalu nampak untuk BERLAKON. Perlu lakonan yang relax dan bersahaja. Namun ianya akan berubah apabila ada penegasan pada babak yang ingin disampaikan. Sukar untuk mendapat kebersahajaan yang dikehendaki. Tetapi bukanlah membawa lakonan TV di pentas, tiada impak yang bagus. Jangan berlebihan dan jangan berkurangan itu yang Ahmad Yatim katakan. Kita selaku pelakon kena sukat sendiri. Saya hanya mampu cuba yang terbaik.

Watak Kak Normah, Habibah, Ruzita, Rugayah, saya benar-benar jatuh cinta dengan keletah mereka. Kak Rugayah paling berbisa mulutnya, lantang, tegas tetapi ada kebenaran dalam ucapannya. Kak Habibah seorang yang halus budi pekerti, penenang dalam apa situasi dan sentiasa merendah diri. Kak Ruzita sangat menjaga ketrampilannya apatah lagi dia tuan punya syarikat produk kecantikan ubat-ubatan tradisional. Sentiasa duduk dalam keadaan tegak, maklumlah pakai korset. Ini pun saya jadikan inspirasi daripada Syafinaz Selamat dan Kak Ton. Hehehhe kombinasi dua wanita hebat. Kak Norma, bini pertama yang paling simple, walaupun usianya 26 tetapi pengalaman hidup membuatkan dia sentiasa terbuka dengan perangai madu-madunya.

Ahmad Bukhari, saya umpamakan perakam masa, memerhatikan gelagat keluarganya. Dari segi usia dan fizikal ini tidaklah jauh beza dengan saya. Latar usia dan pekerjaan pun tiada beza. Inilah tunjang utama dalam persembahan. Watak yang sangat fleksible, terbuka dan mudah meresap dengan segala kejadian yang berlaku di sekeklilingnya. Inilah Tok Dalang utama disebalik MENUNGGU LAMPU HIJAU. Profesor Syed Mahfuz, rakan baik Ahmad Bukhari, dianggap sebagai mentor dan abangnya. Tiada rahsia antara mereka, masing-masing saling mengkagumi. Mula saya membaca watak ini sudah tergambar figura watak itu dan siapa bayangan di mata saya. Biarlah rahsia saya dengan pengarahnya. Untuk mengelak fitnah hahahha.

Tidaklah perlu sayang mengupas isu cerita ini kerana MENUNGGU LAMPU HIJAU boleh dilihat dari pelbagai sudut. LAMPU HIJAU itu sahaja boleh diintrepetasikan dengan apa sahaja mengikut situasi orang yang MENUNGGU. Apa yang DITUNGGU? Apa yang MENUNGGU? Siapa yang MENUNGGU? Semuanya terletak kepada situasi anda sendiri. Adakalanya kita sakit hati menunggu akan sesuatu yang tidak pasti sehingga kita penat menunggu. Tetapi kita wajib menunggu atau kita redah aja LAMPU MERAH. Pilihan di atas tangan anda. Seperti saya yang menunggu, dan apa yang ada di hadapan mata adalah senaskah MENUNGGU LAMPU HIJAU. SAYA TIDAK MAHU MENUNGGU. 

Salam.

THE MiracE seeD...Impian, Khalayan dan HARAPAN

THE MIRACLE SEED

Masih ingat lagi, tahun 1994/95 kalau saya tidak silap, ketika kelas tinjauan teater dunia. Ketika tu masih mentah dengan dunia teater mahupun naskah teater. Setiap pelajar dikehendaki memilih salah satu skrip yang dibawa oleh pensyarah Dr Ghulam Sarwar dan membuat kajian berkaitan naskah tersebut. Pembentangan asas mengenai tema yang dibawa? Persoalan? Perwatakan? Hubungan antara watak? Apakah konflik yang dibawa? Perjalanan plot. 

Rupanya plot perjalanan naskah ini membawa hingga ke tahun 2013. Setelah hampir 17 tahun naskah ini terperap dia dalam kotak, akhirnya tergerak untuk saya mementaskannya bagi Penilaian Tahun Akhir (PETA). Sebenarnya idea untuk mengangkat naskah ini ke pentas tidak mengambil masa yang lama. Bak kata saya, ikut kata hati. Apabila seorang pengarah pernah membaca sesebuah naskah, mereka akan terkesan walaupun ianya mengambil tempoh yang agak lama untuk dipentaskan. Hanya menunggu ruang dan peluang. Ketika menonton 'preview' pelajar untuk melayakkan mereka dinilai untuk PETA, saya telah DIARAHKAN untuk mengambil sekumpulan pelajar dan mengarah mereka. Sebenarnya tujuan saya hadir sekadar untuk menyokong mereka, dan tidak menyangka hingga terjebak untuk mengarah. Terasa seperti bebanan pula! Bukannya menolak, cuma kengkangan masa menyebabkan saya takut tidak terarah mereka. Tapi saya ambil pendekatan positif, cuba untuk membuang perasaan TERBEBAN itu.
Ahmad Aizat(kiri) sebagai Ram memberi penghayatan yang amat bagus. Manakala Tengku Hamzi (kanan) mempelrihatkan kesungguhannya dalam menjiwai watak

Langkah pertama mencari naskah, dan terus terlintas naskah ini. Seperti tuhan permudahkan jalan saya untuk menolong anak-anak ini. Saya ikhlas membantu walaupun adakalanya saya 'stress' dalam diam. Apabila saya ajukan skrip ini, dekan teater Cik Rosminah Tahir terima tanpa banyak bicara. Saya yakinkan naskah ini amat kuat untuk dinilai dari aspek lakonan. Sekali lagi jalan saya terbuka luas, apabila Ahmad Yatim, pensyarah teater dengan bersungguh ingin terjemahkan naskah ini ke bahasa melayu. Alhamdulilah.

Minggu seterusnya, sebelum memasuki proses latihan, pelajar mula membentuk dan merangka kerja-kerja ke arah produksi. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu mereka terganggu dengan perihal produksi kerana fokus utama mereka adalah lakonan. Ini tidak bermakna mereka tidak perlu ambil tahu langsung, cuma kalau boleh jangan dicampur adukkan. Saya amat mementingkan pekara-pekara artisitik kerana kekuatan artistik akan menyokong naskah yang akan dibawa. Sepanjang preview pertama hingga ke akhir banyak perubahan yang dibuat berdasarkan komen-komen dari penilai. Sesungguhnya memang sukar membawa naskah yang asing dengan latar masyarakat. Sepekara lagi memang sukar jikalau kita yang mengarah dan kita juga yang berlakon. Saya terdesak untuk berlakon memandangkan sukar untuk mencari calon yang bersesuaian untuk watak Atuk dan mungkin juga saya sudah jatuh cinta dengan kesemua watak di dalam naskah ini. Memang saya terimpi untuk berlakon tetapi ini adalah keputusan yang paling akhir. Sebelum membuat keputusan, saya ajukan kepada Ahmad Yatim, dan dia bersetuju untuk memantau lakonan sekiranya memang saya yang berlakon. Keputusan ini diambil setelah preview yang ketiga dan mendengar pandangan dari beberapa rakan.

Ram dan Malti dalam babak 2
The Miracle Seed menggambarkan masyarakat kampung di kawasan pertengahan negeri Mahastra India. Akibat dari bencana kemarau yang dialami selama 2 tahun, india menghadapi krisis kemanusiaan yang sangat kritikal. Ekonomi merudum jatuh sehingga masalah kemisikinan menjadi bebanan pihak kerajaan. Hasil tanaman tidak menjadi malahan binatang ternakan mati disebabkan kekurangan air. Sumber air utama yang diperolehi dari perigi juga semakin berkurangan. Suara-suara rakyat memberontak, mendesak kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian. Walaupun langkah telah diambil, kelihatannya permasalahan lain muncul di mana adanya tangan-tangan kotor yang secara mudah mengambil kesempatan di atas kemelaratan manusia lain. Setiap apa yang dibuat, nampaknya wajib ada keuntungan bagi pihak lain. Kritikan sosial ini amat ketara dalam naskah The Miracle Seed.




Naskah karya Asif Currimbhoy ditulis pada tahun 1972, dan apabila dikaji latar masyarakat ketika itu, negara India sebenarnya telah melalui rentetan sejarah kemarau yang amat lama. Sukar juga hendak menjelmakan kepayahan ini dan merasai kedaifan hidup ketika kemarau. Al maklum kita belum merasai kegetiran hidup sebegitu.

Kembali kita kepada produksi ini, tahniah kepada para pemainnya yang giat bekerja untuk memahami naskah dan mementaskannya. Saya perhatikan Jatt seorang pelakon yang sering mencabar dirinya dalam apa keadaan. Sering tidak berpuas hati dan sering mencari warna watak. Serius dalam kerjanya dan saya amat teruja dengan tenaga lakonnya. Watak RAM (suami Malti) di tangannya amat dekat sehinggakan beliau sanggup berdiet dan terlihat hasilnya ketika pementasan. Adik selaku watak Lakshmi seorang pelajar yang sering berusaha tanpa mengenal penat. Begitu berusaha untuk menguruskan badannya kerana dia sedar itu keperluan watak. Sanggup catu makan untuk kelihatan daif dan sering mencuba untuk menjadi gagap kerana itu tuntutan watak beliau. Bong yang membawa watak Laksman (anak saudara) seorang pelajar yang tidak berhenti-henti mencari sehinggakan tak terbawa dia dengan watak tersebut. Tetapi yang bagusnya dia tidak pernah mengalah dan sangat berkeyakinan dalam apa sahaja. Itu lagi penting, keyakinan itu WAJIB ada walaupun di pandangan mata orang kita tidak berjaya. Peduli apa, sekurangnya saya melihat dia mata bersusah payah dan berusaha. Bong adalah penyeri di dalam produksi ini dengan lawak-lawaknya. Nisha membawa watak Malti mempunyai auranya tersendiri, namun beliau agak sukar untuk keluar dari zon selesanya. Namun begitu beliau seorang pelajar yang bertelinga tebal.....hehheheh.

Saya doakan adik-adik ini berjaya dalam apa lapangan kerja yang akan ditempohi. Saya doakan rezeki anda melimpah ruah dan semoga kalian berjaya dalam mencapai cita-cita

Sunday 7 July 2013

..kisah LEMBU dan POLITIK kotor

LEMBU...bukan politik biasa,

Menangani naskah LEMBU nukilan ikhlas dari Namron membawa khalayak memasuki dunia politik kotor, murah, tukang sorak, si buta yang maha tuli, tukang gampu, tukang lobi, tukang umpat, kisah cinta terlarang, kafir mengkafir hingga kepada isu penceraian sepasang suami isteri yang berlainan fahaman politik. Plot cerita ini bergerak dari hilangnya seekor lembu yang diberi nama DARA. DARA harus dikorbankan demi menyambut kedatangan seorang menteri ke kampung. Acara sambutan dilakukan secara besar-besaran sehingga terpaksa menggunakan duit peruntukan untuk golongan miskin. Pekara ini ditentang sekeras-kerasnya oleh mereka yang berhaluan sayap kiri. Makanya, keluar fatwa-fatwa bagi merenyahkan keadaan dan memecah belah penduduk kampung. Isu sembahyang dua imam. Kehilangan dara menimbulkan drama tuduh menuduh antara kedua pihak. Akhirnya DARA ditemui di dalam semak, bersama Hadi dan Maznah (anak kedua pemimpin) yang sedang 'merendek' di dalam hutan. Bermula dengan kehilangan DARA dan diakhirinya juga dengan kehilangan DARA. 

Nama Dara memberi makna yang besar. Ianya membawa simbol kesucian, bersih dan murni sifatnya. Tidak ternoda oleh keraksuan nafsu manusia Setiap manusia baik lelaki mahupun perempuan ada dara dan terunanya. Namun akibat hanyut oleh kebendaan maka sifat itu boleh hancur sekelip mata. Itu yang cuba digambarkan.'Metafora' lembu itu kepada manusia itu amat kena, seperti manusia yang tidak punya akidah dan tujuan hidup, ibarat seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Lembu itu adalah manusia dan dara itu adalah jiwa kerohanian. Ini hanyalah intrepetasi saya selaku pemainnya. Mata orang mungkin lain pandangannya. Semua pekara boleh diterjemahkan mengikut pendangan sendiri.

Membawa naskah Lembu ke pentas memenuhi cabaran saya selaku pemain, Dihadapkan dengan 9-12 watak, memerlukan ketajaman minda bagi membezakan setiap permainan watak. Ramai yang bertanya bagaiman saya bermain dengan kepelbagaian watak? Entah, sukar untuk menjelaskannya. Selaku pemain saya cuba membawa imej-imej tertentu bagi setiap watak. Lalu diterjemahkan menerusi lakuan fizikal, pengerjaan suara, 'rythmn' dan 'mannerisme' untuk menjelmakan watak tersebut. Proses penghafalan tidaklah sukar kerana setiap pemain harus memahami kata-kata ucapan dialog. Saya membayangkan dan meletakkan imej sahabat rapat saya Tomoe, ketika membawa watak pemimpin haluan kanan. Setiap hari saya peerhatikan gaya Tomoe berjalan, bernafas dan bercakap. Perhatikan muka, bibir, pipi ketika dia berkata-kata. Gaya duduk dengan perutnya yang 'gendut' amat kena dengan watak yang akan saya jelmakan.

Manakala bagi watak pemimpin berhaluan kiri, arwah SAMOZA memberi gambaran yang tepat akan watak yang saya inginkan. Arwah seorang yang amat bersemangat bila berkata-kata. Kata-katanya penuh nada-nada manis tapi amat berbisa. Seorang yang amat berjujur dan berterus terang. Laras vokalnya yang tinggi dan 'husky'. Saya perlukan tenaga yang amat tinggi ketika berdepan dengan watak ini. Watak Maznah saya umpamakan Fauziah Latif dari album pertama. Saya lebih suka spesifikkannya kerana kualti suara beliau amat rapat dengan kehendak saya. Setiap hari saya perdengarkan lagunya sehingga saya sebati dengan nada-nada suaranya. Kelembutan tutur katanya, manis dalam bicara serta keayuannya terjelma melalui perlakuannya. Untuk watak Hady, gambaran itu saya ambil dari anak murid saya yang bernama Hadi Tahir dan untuk watak Joyah saya terbayangkan Norlia Ghani kerana nama Joyah amat sinonim dengan pelakon itu. Watak ini pernah dimunculkan dalam drama "Opah' yang amat popular sekitar tahun 80 an. Adalagi beberapa watak yang saya lakukan, tetapi saya memberi tumpuan kepada watak-watak ini kerana mereka yang menggerakkan cerita.

Sepanjang latihan, Namron amat perihatin dengan perubahan dan susun atur pergerakan setiap watak. Namron gemar bermain dengan tempo yang laju, perubahan watak yang 'smooth' tetapi tepat. Makanya saya harus programkan minda saya pada setiap susun atur itu. Secara tidak langsung saya secara otomatik senang mengingati dialog. Watak harus hidup di atas pentas, wajib memberi gambaran akan rakan lakon yang tidak wujud di mata penonton. Mata saya perlu tajam bergerak seiring dengan pergerakan badan saya. Aras mata perlu tepat dan dikuncikan pada rakan lakon mahupun ketika rakan lakon itu bergerak. Ini akan memberi khalayak rasa 'make believe' dengan situasi yang berlangsung. Ini semua ada permainan imaginasi saya yang perlu saya disiplinkan. Saya perlu meletakkan 100% kepercayaan saya agar kelihatan betul di mata khalayak. Namron tidak gemar mengganggu atau memperbetulkan dialog pemainnya. Dia akan membiarkan proses itu matang seiring dengan latihan berlangsung. Seorang yang menghormati pemainnya. Maknanya proses latihan itu akan berulang banyak kali sehinggalah  kehendaknya tercapai.

Selama sejam lebih beraksi sendirian di atas pentas, amat meletihkan. Otak sentiasa pantas bergerak dan cuba untuk fokus pada setiap permainan. Pertukaran setiap watak pekara yang menakutkan saya, ditakuti tersasar dari landasan watak itu sendiri. Kerana itu, saya perlu peka, jangan terlalu dikawal oleh rasa takut. Seringkali saya ingatkan diri saya " eijat jangan berlakon, u just play than u can fly". Inilah yang mendiang Krishen Jit ingatkan pada saya, di masa saya membawa monodrama ' 3Lives' bersama Sofea Jane dan Faridah Merican ( Keduanya Datin ke??). Saya akan ceritakan kemudian tentang pengalaman saya bersama mereka. Pesan Krishen " Eijat, apa yang u takut, u sudah hafal, kita sudah buat latihan, u sudah faham watak..just do it. Kalau u percaya, saya percaya u boleh terbang ke mana-mana. Just play lah" Terima kasih kepada guru yang amat saya hormati.



Berbalik kepada lembu, ianya pertama kali dipertunjukkan sempena teater '4 monondrama' terbitan ASK di panggung Muzium Kuala Lumpur. Kemudiannya ianya diangkat sekali lagi di stor DBP dan digabungkan dengan monodrama Mat Deris Kuala Perlis juga karya Namron. Tahun 2008, saya diundang untuk memenuhi slot monolog sempena Festival Teater. Walaupun begitu, saya perlu memendekkanya menjadi setengah jam.Kali ini, saya lakukannya sendirian tanpa pengarah. Saya harus kembali setiap watak itu dan sekadar mengambil intipati dan momen yang penting dengan tidak meninggalkan cerita. Ada rakan yang menyuruh untuk kembali mementaskannya. Mungkinkah? Hmm......Insyallah..

Salam teater.

Thursday 4 July 2013

...kisah PROSES


Pertama kali naskah ini dipentaskan di Blackbox Actor's Studio (bawah dataran) dan kemudian dipersembahkan sekali lagi di Muzium Sultan Alam Shah pada 1 & 2 Januari 2002, anjuran Pejabat Kebudayaan Negeri Selangor dengan kerjasama Akademi Seni Kebangsaan (ASK), Alternative Stage Company (ASC) dan Muzium Sultan Alam Shah. Teater arahan NAMRON dan berkolaborasi dengan JUNE (isterinya) menuntut kreativiti pemainnya dalam menzahirkan kehendak naskah tersebut. Memang benar adakalanya latar seseorang pengkarya mempengaruhi naskah yang akan dihasilkan. PROSES lahir dari pengamatan Namron menerusi kisah hidupnya dan dikembangkan menjadi sebuah naskah. Tentunya ada sedikit tokok tambah dalam memperkuatkan cerita itu sendiri. Ibarat seorang chef yang menghidangkan masakannya dengan ramuan rempah ratus sehingga terbau aromanya. Di sinilah kelebihan Namron dalam berkarya. 
PROSES membawa perjalanan hidup watak Rohana yang mempunyai konflik dengan suaminya. Rohana sebolehnya mahu mengelak terjadinya penceraian  seperti yang dialami oleh ibunya Aisyah. Sejarah hitam ibunya benar-benar menjadikannya wanita yang kuat dalam mengharungi kehidupan. Ibunya Aisyah pernah dihalau sehelai sepinggang, hidup merempat dalam membesarkan lima anak-anaknya. Kepahitan hidup itu menjadikan Rohana tabah dan sabar dalam menangani masalah tersebut.





PROSES boleh dianggap sebagai teater fizikal di mana pergerakan dijalin kemas dengan babak. Hampir 1 jam 30 minit pemainnya melakukan gerakan tanpa berhenti diringi dialog. Setiap babak dijalinkan menerusi gerakan yang dikoreografkan. Setiap motif gerak memberi tafsiran kepada babak tersebut, dan setiap 'form' gerakan membawa cerita berserta perubahan watak yang hanya dimainkan oleh dua pelakon. Pelakon harus mempamerkan 'energy' yang tinggi. Ada ketikanya terlihat pemain berlari sambil memakai kostum, berpusing menghayun kerusi, duduk berjengkit sambil berjalan itik, gerakan melompat yang sungguh dramatik bentuknya, gerakan mengendong yang semestinya memerlukan daya ketahanan serta pernafasan. Ada masanya keseragaman gerakan diperlukan. Gerakan berubah seiring dengan pertukaran watak, dan penonton harus mengikat pancaindera mereka untuk mengetahui jalan cerita. Tiada masa untuk pemain melakukan kesalahan.

Berkerjasama dengan Namron dan June menuntut kesabaran yang tinggi. Kedua-duanya mementingkan kesempurnaan. Namron amat mengambil berat permainan watak, pengarah yang sentiasa mencabar pelakonnya untuk bereksperimentasi dengan badan. June yang juga merupakan seorang graduan tari ASK, seorang yang amat mementingkan kualiti gerakan yang dibuat. Malahan kami diarahkan untuk melakukan sesi 'warm up' fizikal selama 1 jam sebelum latihan untuk mengelak kecederaan. Sesekali terdengar jeritannya " Abg eijat, Kak Ara, jangan minum air banyak sangat, nanti badan makin berat. Basahkan tekak je. Cukup syarat". Saya kadang-kadang 'minta nyawa' kerana keletihan. Namun inilah cabaran bagi saya dan Juhara dalam menguji kredabiliti kami selaku pemain. Kepuasan kami sebagai pemain sukar untuk digambarkan kerana inilah yang kami mahu. Sentiasa tercabar dan dicabar!

Juhara berpengalaman dalam tarian kerana beliau merupakan bekas penari Komplek Budaya Negara. Cuma sifat teater fizikal ini berbeza kerana gerakannya banyak dilakukan menerusi improvisasi gerakan dan gerakan tersebut tiada kesinambungan. Ekspressi June dalam gerakannya mempunyai turun naik dan sukar dijangka. Pemain harus sentiasa bersedia fizikal dan mental. Saya walaupun tiada asas yang kuat dalam tari, tidak menjadikan ini satu kelemahan atau halangan yang besar dalam menterjemahkan kehendak koreografer. June memahami kelebihan dan kekurangan pemainnya. Namun begitu, kami bernasib baik kerana pernah mengikuti kelas Jazz yang dibimbing oleh Joseph Gonzales. Sedikit sebanyak ini membantu dalam mempersiapkan diri. 

Namron suka benar dengan kejutan. Apa yang diterjemahkan ada kalanya tersasar dari pemikiran kami. Namron tidak gemarkan kebiasaan, benda yang meleret-leret dan pekara yang senang dijangka. Segala pekara di atas pentas harus ada momentum untuk menyedarkan khalayak yang sedang asyik menonton. Unsur-unsur 'alienation' seringkali digunakan dalam pementasannya. Inilah pengaruh Bertold Brecht dalam karya-karya beliau. Adakalanya perkara yang dilakukan tidak masuk akal. Tetapi, itulah Namron. Sedang khalayak asyik menonton PROSES, mereka disedarkan bahawa apa yang dilihat dari awal hanyalah PROSES 'WARM UP' seorang aktor untuk pementasan yang sebenar-benarnya. Cerita yang dibawa memberi tafsiran kepada babak terakhir iatu pementasan satu babak bangsawan yang cuma mengambil masa 10 minit. Cerita dalam cerita, pekara yang tidak dijangka. Kisah Tun Teja yang akan diceraikan oleh Sultan Mahmud. Boleh juga dianggap proses awal yang dipertontonkan adalah sedutan  'extra turn'. Ada penonton yang terpinga-pinga melihat bentuk pementasan sedemikian rupa.Itulah Namron!

Sudah lama juga tidak melihat Namron dan Tomoe bertaut kembali bagi merancakkan dunia teater. Akan tibakah amsanya? Tunggu, tunggu dan tunggu! Seandainya saya diajukan untuk melakukannya sekali lagi, insyalah boleh dilakukan. Dengan syarat saya harus mempersiapkan diri dan mengempiskan perut. Sudah lama rasanya tidak bermandi keringat dan berhujankan peluh.  Bak kata seniwati Zaiton dalam Layar Lara "..bolehlah Daud, sekali ni je!"

SALAM TEATER

Thursday 27 June 2013

..kisah NYONYA
















Sejarah pementasan naskah NYONYA amat lama, terlalu lama. Kata-kata dialognya masih berlegar-legar di dalam kepala saya. Berputar-putar hingga saat saya menulis terngiang-ngiang di telinga. Kalau tidak silap, pertama kali dipentaskan oleh arwah Pak Wisran sendiri ketika di ASK. Seingat saya saat itu ASK masih lagi di Empire Tower dan ketua jabatan teater ialah Encik Zakaria Ariffin. Naskah ini diangkat untuk penilaian tahun akhir (PETA) 2004 dan watak Nyonya dilakonkan oleh  Arbaiyah (abby nadzri) untuk penilaian dari aspek lakonan. Generasi pertama yang menjayakan naskah ini Abby, Along Eyzendy, Tania Zainal, Ku Yusri, Engku Norzalifah dan Farah Apandi. Merekalah yang membuka jalan sehingga naskah ini sudah berkali-kali dipentaskan.

Mengenali Pak Wisran, seorang guru yang lembut tutur katanya, senyuman dia sangat manis, lirik matanya berkata-kata. Sukar sekali melihat dia meninggikan suara. Tegasnya dalam kelembutan, lembutnya dalam senyuman, sinisnya dalam senda gurau.

Saat saya diajukan oleh Rohayah Atan tentang naskah ini, saya mengiakan kehebatannya, isunya yang sangat relevan dan yang penting kekaguman saya sendiri terhadap watak Nyonya, Tuan, Keponakan A, B, C dan juga isteri. Maka lahirlah Nyonya dipentas komersial dengan menampilkan Tania Zainal selaku Nyonya, Rosman (Keponakan A), Juhara dan Melisa Saila (Keponakan B & C) dan Ismaliza Ishak (Isteri) pada 7 - 10 Oktober 2004 bertempat di MATIC Kuala Lumpur.

Along Eyzendy masih lagi beraksi selaku tuan. Masih ingat lagi di saat kami berbincang untuk meletakkan posisi watak dan terpaksa pula mengundang Melisa Saila dan Juhara. Alhamdulilah mereka bersetuju walaupun kedua-duanya sedang sarat mengandung malahan terlihat sisi lain dalam mengintrepetasikan watak tersebut. Teringat kata-kata Lis " ara, kandungan kau dah berapa bulan?" tanya Lis. " 7 bulan" Ara beri jawapan yang amat yakin. " ..kau ni tak sudah-sudah 7 bulan, bulan lepas aku tanya 7 bulan juga!" Itulah gurauan dua sahabat yang sentiasa sokong menyokong. Rosman Ishak dilihat keponakan yang sedang mencari 'dana' untuk tujuan operasi. Jelas ketiga-tiga watak ada OPERASI rahsia untuk kepentingan hidup mereka. Melissa Saila pelakon yang sangat menghargai masa. Selalu tepat masanya. Tetapi kalau ada pekara yang tidak menyenangkan, dia akan berterus terang. "..nyah, kenapa kau kau dengan Ara gelak-gelak on stage tadi?. Sebelum ni kau tak ada buat pun!"jeling Lis kepada Rosman. " .taklah nyah, mak gelak in karektor tadi". Cuak juga Rosman. Melissa Saila seorang pelakon yang akan ikut apa yang tertera di teks, perkara di luar jangkauan dan lain dari masa latihan memang tidak digemarinya. Tapi inilah pengalaman manis kami bersama.

Sejujurnya saya senang melihat Eyzendy selaku TUAN, Tergambar kejelikan si pedagang barang antik yang secara mudah mengambil kesempatan. Begitu juga Ismaliza dengan suara kemiknya hehhehe. Seingat saya dia menjadi pembantu pengurus pentas kepada saya. Seperti biasa saya hanya seorang PENGURUS PENTAS yang berbakat dalam industri (kan TOEMOE). 


Tania Zainal  pelakon baru yang diangkat menerusi watak utama. Cuma anak gadis ini seorang yang amat pemalu. Tergambar sipu-sipu bibirnya di saat pengarah suruh dia menyanyi. " dah, kau pergi keluar. Menjerit kuat-kuat. Kau nak menangis, pergi menangis di luar" jerit Rohayah Atan selaku pengarah. Tania sememangnya berbakat, cuma adakalanya pekara-pekara peribadi terlalu mengganggu emosi dan mentalnya. Menjaga 5 pelakon amat senang, berbanding dengan Tania seorang. Seperti biasa, saya pendengar yang setia.


Pada 10 - 12 Disember 2004, teater Nyonya melalui fasanya yang kedua, masih lagi di bawah pengarahan Rohayah Atan. Kali ini dipersembahkan di Taman Budaya Seremban di Negeri Sembilan. Menampilkan Khatijah Tan (Keponakan A) dan Rozie Rashid (Keponakan B). Masih mengekalkan Tania Zainal, Ismaliza Ishak dan Along Eyzendy manakala Rosman bertukar kepada Keponakan C. Khatijah Tan 'superb' dan amat mengeletik khalayak dengan telatah 'Tok Ayah'nya. 
Ada satu peristiwa yang sangat lucu dan tidak masuk akal. Ketika persembahan berlangsung, ada seorang jaga tiba-tiba pergi ke tengah pentas dan meng'ARAH'kan Along Eyzendy dan Ismaliza untuk berdiri rapat. Di tangannya tergenggam camera. Maknanya dia nak ambik gambar la tu. Saya jadi panik " alamak, apa hal ni!" Saya mengarahkan arwah Rozaimi untuk menghalau jaga tu. " Bang, tak boleh ambik gambar, persembahan sedang berlangsung ni" tegur Mie. " La, ya ke, napa tak cakap!" dengan nada marah dan tidak puas hati dia menjawab. Eh kita pulak yang tidak nampak bijak. Tidak tahu saya, salah siapa. Salah kami ke atau salah dia yang tidak mendengar. Tepuk dahi, saya!


Untuk kali ketiga persembahan ini diangkat semula dan dipentaskan di Taman Budaya Pumpong Alor Star pada 25 - 27 Mei 2007. Buat pertama kali, Rohayah Atan menyerahkan tugas pengarahan kepada Cik Rosminah Tahir. Kali ini Juhara Ayob menerajui persembahan selaku Nyonya. Juhara  yang baru habis berpantang gigih menjalani latihan, Zaifri Husin sebagai tuan, Khatijah Tan (Keponakan A), Tania Zainal (Keponakan B), Vanidah Imran (Keponakan C) manakala Farah Adila sebagai isteri. Farah adalah pelakon asal teater Nyonya.

Menariknya, untuk kali ini Vanidah menampilkan lakonan yang jauh sekali dengan watak-watak yang sering dibawa. Saat diajukan soalan itu tegasnya, beliau sendiri berasa janggal pada awalnya. Malu untuk melakukan pekara yang jauh dari stail lakonan yang beliau selesa selama ini. Bagi Vanidah ini salah satu proses baginya untuk mencuba sesuatu yang baru dan kesungguhannya kelihatan melalui komitmen yang beliau berikan. Zaifri Husin memang tidak dapat disangkal kehebatannya. Namun sering terhambat dengan tugasan hakiki di pejabat. Kerana itu semasa persembahan kami terpaksa menyediakan 4 orang prompter di belakang katil, di tepi 'side wings'. Pengalaman yang amat menakutkan kalau pelakon 'blur' atau 'jump script' ketika persembahan. Di sinilah letaknya kebijaksanaan pelakon dan rakan lakon dalam mengatasi masalah 'kelupakan' daya ingatan. Hahhahaha kesian dia. Kami pulak yang berpeluh-peluh menyelak skrip. Nasib baik tidak selak kain. Hinggakan kami terpaksa 'kurung' Zaifri dan Juhara dan arahkan mereka 'menderas' dialog. Kasi lancor!!!
                                                                               

Nyonya semakin matang dan dewasa sehinggalah dipentaskan kali keempat di Lambang Sari, Istana Budaya pada 20 - 24 Februari 2008. Masih mengekalkan pelakon yang sama cuma watak isteri dilakonkan oleh Yani Mae, seorang aktivis teater kelahiran Bandung dan pensyarah di STSI bandung. Sepanjang saya membesar bersama teater ini segalanya masih molek, berbisa, kata-kata dialognya sangat bermakna, masih dipegang tiada unsur-unsur melampau yang perlu ditokok tambah.  Apa keperluan menokok nambah kalau sesuatu yang telah ada itu terlalu molek sifatnya. Terserah kepada pemain untuk bertalik tarik menerusi maksud dan lafasan kata-kata. Di situlah kebijaksanaan seornag pemain teater. Setiap persembahan semestinya ada peristiwa menarik yang berlaku. Semasa persembahan, saya tidak pasti hari ke berapa, Zaifri terlupa nak kancing zip seluarnya. apa  lagi tergelak besar penonton ketika itu. malangnya beliau masih tidak perasan sehinggalah diingatkan oleh isteri di atas pentas. Bu Yani pun tidak bisa menahan  gelaknya. Saya perhatikan kalangan penonton yang hadir sangat bijak menangkap maksud tersirat di sebalik kata-kata. Mereka mendengar dan memberi reaksi, dan pelakon juga tidak terlalu hendak memberi aksi berlebih lebihan walaupun penonton suka. PELAKON YANG BIJAK HARUS IKUT KEHENDAK SKRIP. Hormati naskah, itu yang diajar kepada kami. Seandainya dipotong, dicincai, dicanai lebih baik jangan buat langsung. Persembahan Nyonya kali ini saya perhatikan sangat dewasa permainannya.    

6 - 12 Julai 2011  Nyonya muncul semula di MATIC. Keseluruhan pelakon menampilkan tenaga baru seperti Norzizi Zulkafli, Sharifah Mariam, Misha Omar, Sarimah Ibrahim, Fara Fauzana. Namun begitu persembahan ini digabungkan dengan cerita Mak Dara, juga selaku sponsor utama. Lahirlah teater MAK DARA NYONYA. Kedua-dua cerita tersebut sememangnya tiada kaitan, tetapi isu yang cuba diketengahkan seolah-olah kita memandang sisi 2 kehidupan wanita yang terpaksa menangani masalah keluarga. Nyonya yang menjaga dari terkikisnya harta dengan kehadiran keponakannya dan Mak Dara yang gigih mencari harta dunia setelah dibuang suami. Mencari kekuatan diri hidup tanpa suami sehinggalah berjaya dalam perniagaan dan kehidupannya. Juhara berdiri teguh seorang diri menangani watak Mak Dara. Rentetan hidup Mak Dara ditampilkan dari usia muda sehinggalah dia berkahwin. Ketrampilan Juhara di pentas teater tidak perlu disangkal. Tidak tergugat. Cuma apabila berkerja dengan produksi kali ini, ada stress yang mengangggu di antara nak ikut kata pengarah ke atau nak ikut kat producer. Kiri harimau, kanan singa, kita cuma semut. Tak tahu nak ikutkan JUHARA AYOB.

Berbalik kepada Nyonya, Sharifah Mariam (Sherry) berada atas AURA yang istimewa. Aksi badannya, figuranya di pentas, lontaran dialognya.Sherry memberi tafsiran yang berbeza, perempuan 'bodoh-bodoh alang' tapi bijak menangani krisis hartanya. Keponakan A, B, C masih lagi menyengat. Zizi selaku Keponakan A. Selalu beliau menyatakan keresahannya, maklumlah watak ini dulu dibawa oleh Khatijah Tan. Makanya telah ada satu standard dan  inilah yang menjadi ketakutan bagi beliau. Selalu saja stress dan takut dengan Cik Ros sebelum masuk latihan. Hahahah berlakon di bawah arahan cikgu sendiri. lain rasanya walaupun pernah berlakon dalam Lantai T.Pinkie sebelum ini. 'Jat, mu rasa cik ros suka ke hem? " Jat aku dah tak ada idea nak buat apa lagi?" Jat mu tengok mana satu yang bagus hem buat?" Ijat tu...ijat ni...."Hei natang.....mu buat la dulu, biar kakak kau tu tengok" tegas saya dalam gelak. Misha rapat dengan Zizi, mereka mengagumi antara mereka, tidak hairan Misha banyak belajar dari Zizi sepanjang latihan. Rasanya ini mungkin kali pertama atau kedua Misha berteater. Pelakon yang senang diarah, diberitahu dan mengikut kata. Dia tak akan buat perkara yang bukan bukan di atas pentas. Tidak sama sekali. 

Sarimah hmm perempuan gym, bila disuruh excercise .." "alah i baru balik dari gym" Saya gelak sahaja. Kalau melihat bentuk tubuhnya memang benarlah dia pergi gym. Seorang yang amat 'firm' dengan jadualnya, al maklum dj radio katakan. Sarimah akan buat sesuatu yang 'unexpected' di atas pentas. Saya berpendapat, beliau sudah biasa menjadi pengacara, sendirian. Maka apabila ada babak yang melibatkan keseragaman dari segi gerak, dia akan terlihat sangat terasing dari yang lain. Namun beliau akan bertanya kalau dirasakan perkara yang disuruh buat itu macam tak kena. " hmmm tuan director, apa motivasi i nak pergi ke sini. "No, no i just want to know" hehheheh. Begitu juga Farah Fauzana, kali pertama beraksi di pentas teater. Amat fokus dengan kerjanya, seringkali bertanya sekiranya tidak faham. " suara tu bulatkan, jangan sengau sangat Fara. Lontarkan suara tu" laung sang pengarah. Tapi yang bagusnya team ni suka 'warm up' terutamanya Fara yang sering menunggu untuk sesi memanaskan badan. Teruja sebab pertama kali berlakon di  pentas teater.

Kali ini pengarah membuat sedikit kelainan dengan menampilkan sedikit aspek pergerakan untuk Keponakan A, B dan C. Pendekatan ini menjadi walaupun ada pendapat yang mengatakan ianya seperti ada unsur lucah. Bagi saya itu bergantung kepada pilihan pelakon, apa cara yang ingin ditampilkan. Jenis gerak yang bagaimana? Keselesaan itu penting tetapi sekiranya pelakon terlalu 'selesa' dan tidak bertimbang tara maka akan kelihatan jelik di atas pentas walaupun kedengaran gelak ketawa penonton.

Untuk terakhir kali ditampilkan sekali lagi dengan formula baru NYONYA & THE GANG. Selepas menonton terus terang saya migrain dan tidak tidur semalaman kesan 'depression' yang amat kuat. Hamdan kat saya over. Mungkin jugak, Tapi kalau dibaca tulisan saya dari awal, anda mungkin akan faham mengapa saya mengalami perasaan ini. Mungkin pengarah ketandusan idea? Adakah mungkin pengarah tidak ada mood nak buat pekara yang sama? Atau mungkin terlalu ingin menampilkan kelainan? Atau ruang Panggung Sari terlalu besar? Mungkin juga pengarah tidak ada kuasa? Tiada pilihan? Tidak diberi pilihan?  Terus terang persembahan amat membosankan. Saya tidak boleh memandang ke pentas, ingin berkongsi rasa seperti dahulu.  Sepanjang hadirnya NYONYA di pentas teater, sayalah pekerja di belakang tabir. Tapi yang penting poster kali ni memang sangat-sangat tidak boleh saya terima. Dah macam rojak lak. Teringat akan saya poster ANUGERAH menggunakkan konsep sebegini. Nampak sangat macam " jom main-main je" hahah. Moga selepas ini NYONYA muncul dalam liganya sendiri. Tak perlulah di kawan-kawan kan.