Sunday, 7 July 2013

..kisah LEMBU dan POLITIK kotor

LEMBU...bukan politik biasa,

Menangani naskah LEMBU nukilan ikhlas dari Namron membawa khalayak memasuki dunia politik kotor, murah, tukang sorak, si buta yang maha tuli, tukang gampu, tukang lobi, tukang umpat, kisah cinta terlarang, kafir mengkafir hingga kepada isu penceraian sepasang suami isteri yang berlainan fahaman politik. Plot cerita ini bergerak dari hilangnya seekor lembu yang diberi nama DARA. DARA harus dikorbankan demi menyambut kedatangan seorang menteri ke kampung. Acara sambutan dilakukan secara besar-besaran sehingga terpaksa menggunakan duit peruntukan untuk golongan miskin. Pekara ini ditentang sekeras-kerasnya oleh mereka yang berhaluan sayap kiri. Makanya, keluar fatwa-fatwa bagi merenyahkan keadaan dan memecah belah penduduk kampung. Isu sembahyang dua imam. Kehilangan dara menimbulkan drama tuduh menuduh antara kedua pihak. Akhirnya DARA ditemui di dalam semak, bersama Hadi dan Maznah (anak kedua pemimpin) yang sedang 'merendek' di dalam hutan. Bermula dengan kehilangan DARA dan diakhirinya juga dengan kehilangan DARA. 

Nama Dara memberi makna yang besar. Ianya membawa simbol kesucian, bersih dan murni sifatnya. Tidak ternoda oleh keraksuan nafsu manusia Setiap manusia baik lelaki mahupun perempuan ada dara dan terunanya. Namun akibat hanyut oleh kebendaan maka sifat itu boleh hancur sekelip mata. Itu yang cuba digambarkan.'Metafora' lembu itu kepada manusia itu amat kena, seperti manusia yang tidak punya akidah dan tujuan hidup, ibarat seperti lembu yang dicucuk hidungnya. Lembu itu adalah manusia dan dara itu adalah jiwa kerohanian. Ini hanyalah intrepetasi saya selaku pemainnya. Mata orang mungkin lain pandangannya. Semua pekara boleh diterjemahkan mengikut pendangan sendiri.

Membawa naskah Lembu ke pentas memenuhi cabaran saya selaku pemain, Dihadapkan dengan 9-12 watak, memerlukan ketajaman minda bagi membezakan setiap permainan watak. Ramai yang bertanya bagaiman saya bermain dengan kepelbagaian watak? Entah, sukar untuk menjelaskannya. Selaku pemain saya cuba membawa imej-imej tertentu bagi setiap watak. Lalu diterjemahkan menerusi lakuan fizikal, pengerjaan suara, 'rythmn' dan 'mannerisme' untuk menjelmakan watak tersebut. Proses penghafalan tidaklah sukar kerana setiap pemain harus memahami kata-kata ucapan dialog. Saya membayangkan dan meletakkan imej sahabat rapat saya Tomoe, ketika membawa watak pemimpin haluan kanan. Setiap hari saya peerhatikan gaya Tomoe berjalan, bernafas dan bercakap. Perhatikan muka, bibir, pipi ketika dia berkata-kata. Gaya duduk dengan perutnya yang 'gendut' amat kena dengan watak yang akan saya jelmakan.

Manakala bagi watak pemimpin berhaluan kiri, arwah SAMOZA memberi gambaran yang tepat akan watak yang saya inginkan. Arwah seorang yang amat bersemangat bila berkata-kata. Kata-katanya penuh nada-nada manis tapi amat berbisa. Seorang yang amat berjujur dan berterus terang. Laras vokalnya yang tinggi dan 'husky'. Saya perlukan tenaga yang amat tinggi ketika berdepan dengan watak ini. Watak Maznah saya umpamakan Fauziah Latif dari album pertama. Saya lebih suka spesifikkannya kerana kualti suara beliau amat rapat dengan kehendak saya. Setiap hari saya perdengarkan lagunya sehingga saya sebati dengan nada-nada suaranya. Kelembutan tutur katanya, manis dalam bicara serta keayuannya terjelma melalui perlakuannya. Untuk watak Hady, gambaran itu saya ambil dari anak murid saya yang bernama Hadi Tahir dan untuk watak Joyah saya terbayangkan Norlia Ghani kerana nama Joyah amat sinonim dengan pelakon itu. Watak ini pernah dimunculkan dalam drama "Opah' yang amat popular sekitar tahun 80 an. Adalagi beberapa watak yang saya lakukan, tetapi saya memberi tumpuan kepada watak-watak ini kerana mereka yang menggerakkan cerita.

Sepanjang latihan, Namron amat perihatin dengan perubahan dan susun atur pergerakan setiap watak. Namron gemar bermain dengan tempo yang laju, perubahan watak yang 'smooth' tetapi tepat. Makanya saya harus programkan minda saya pada setiap susun atur itu. Secara tidak langsung saya secara otomatik senang mengingati dialog. Watak harus hidup di atas pentas, wajib memberi gambaran akan rakan lakon yang tidak wujud di mata penonton. Mata saya perlu tajam bergerak seiring dengan pergerakan badan saya. Aras mata perlu tepat dan dikuncikan pada rakan lakon mahupun ketika rakan lakon itu bergerak. Ini akan memberi khalayak rasa 'make believe' dengan situasi yang berlangsung. Ini semua ada permainan imaginasi saya yang perlu saya disiplinkan. Saya perlu meletakkan 100% kepercayaan saya agar kelihatan betul di mata khalayak. Namron tidak gemar mengganggu atau memperbetulkan dialog pemainnya. Dia akan membiarkan proses itu matang seiring dengan latihan berlangsung. Seorang yang menghormati pemainnya. Maknanya proses latihan itu akan berulang banyak kali sehinggalah  kehendaknya tercapai.

Selama sejam lebih beraksi sendirian di atas pentas, amat meletihkan. Otak sentiasa pantas bergerak dan cuba untuk fokus pada setiap permainan. Pertukaran setiap watak pekara yang menakutkan saya, ditakuti tersasar dari landasan watak itu sendiri. Kerana itu, saya perlu peka, jangan terlalu dikawal oleh rasa takut. Seringkali saya ingatkan diri saya " eijat jangan berlakon, u just play than u can fly". Inilah yang mendiang Krishen Jit ingatkan pada saya, di masa saya membawa monodrama ' 3Lives' bersama Sofea Jane dan Faridah Merican ( Keduanya Datin ke??). Saya akan ceritakan kemudian tentang pengalaman saya bersama mereka. Pesan Krishen " Eijat, apa yang u takut, u sudah hafal, kita sudah buat latihan, u sudah faham watak..just do it. Kalau u percaya, saya percaya u boleh terbang ke mana-mana. Just play lah" Terima kasih kepada guru yang amat saya hormati.



Berbalik kepada lembu, ianya pertama kali dipertunjukkan sempena teater '4 monondrama' terbitan ASK di panggung Muzium Kuala Lumpur. Kemudiannya ianya diangkat sekali lagi di stor DBP dan digabungkan dengan monodrama Mat Deris Kuala Perlis juga karya Namron. Tahun 2008, saya diundang untuk memenuhi slot monolog sempena Festival Teater. Walaupun begitu, saya perlu memendekkanya menjadi setengah jam.Kali ini, saya lakukannya sendirian tanpa pengarah. Saya harus kembali setiap watak itu dan sekadar mengambil intipati dan momen yang penting dengan tidak meninggalkan cerita. Ada rakan yang menyuruh untuk kembali mementaskannya. Mungkinkah? Hmm......Insyallah..

Salam teater.

4 comments:

  1. saya suka catatan ini. ia macam proses aktor

    ReplyDelete
  2. yup...lately saya cuba nalisa kembali apa proses yang saya buat...bukan sekadar nak imbau..tapi proses memahami kerja kerja seorang pelakon. Biar mereka tahu...kerja pelakon ni bukan sekadar hafal dialog....BUKAN SENAM KAN CHE KEM....hehhehe

    ReplyDelete
  3. Oh ko pun ade blogger,, cm x caya sahabat juga penulis cm kita belajar dulu,, all d bes ejat

    ReplyDelete