Thursday, 3 July 2014

PROJEK KAHWIN & LEPAT PISANG KOPI O

Secara kebetulan sahaja terlibat dengan PROJEK KAHWIN. Terjumpa dengan pengarahnya, seorang nak muda yang bersemangat Muhammad Azri Ali (Ali). Mulanya ringan mulut, saja bertanya tak ada watak ke? Dah rezeki...akhirnya dia panggil. Awalnya gurau-gurau manja, masih ingat lagi berjumpa di Istana Budaya semasa sedang latihan DBLK. Seronok  juga berkerja dengan anak-anak muda. Kemudian jumpa di Sani Char Kuey Tiow ......bincang mas kahwin. Tidak la mewah..tapi bole la...cari duit raya katanya. Minta 'up' .. adalah sedikit naiknya. Tidak  akan dapat banyak pun melainkan....????? Cikgu saya pesan; "kalau bayar harga lakon 300 buat la kerja 3 ratus. Itu saja cara nak ajar".  Yang menghargai saja yang tahun menilaikan sesuatu. Tapi saya ok. Saya lakukan kerana AJI.
Dua performer yang meningkat naik. Sherry Alhadad (Puan Katimah) dan Mak Long (Ketum)
PROJEK KAHWIN mengingatkan saya dengan projek akhir PETA 1998 semasa di ASK. di mana saat itu saya telah mengangkat sebuah karya drama radio LEPAT PISANG KOPI O sebagai naskah pengarahan. Dari drama radio saya kembangkan menjadi naskah pentas dan telah melalui 3 proses preview. Sukar juga. Asalnya memang saya mencari drama yang ringan tapi isunya biasa. Preview pertama hanya untuk 15 minit, menariknya ketika itu adalah konsep yang saya gunakan. Pertembungan budaya Hindu dan Melayu. Pertemuan antara dua budaya ini saya jadikan isu, pertembungan budaya terutamanya dalam pekara yang melibatkan perkahwinan. Watak ibu (Syarul Azlina) memakai Sari, manakala si ayah hanya berseluar dan t shirt dan di sekeliling platform saya gantungkan bunga-bunga malai putih orange sebagai simbol keraian masyarakat India. Saya bayangkan watak ini adalah India-Muslim. Tidak terfikir pada awalnya, namun setelah mendiang Krishen Jit menonton hasil preview pertama, beliau mencadangkan agar saya mengembangkan naskah tersebut menjadi 'full play'. Saya mengalami
masalah besar, apabila pelakon watak mak menarik diri, kerana  ingin meneruskan projek lakonnya dengan pengarah yang lain. Pekara ini meresahkan saya. Alhamdulilah penganti yang hadir telah memunculkan konsep yang berbeza. Wana seorang pelajar penulisan, boleh berlakon dan saya menggunakan kelebihan dialek Kelantannya untuk disuntik ke dalam watak, di sini diperlihatkan pertembungan dialek antara Kelantan dan Perak (Jamal/ayah). Untuk preview ke dua saya munculkan watak anak dan dua jiran Kiah (dialek Kedah) dan Che Som (Negeri Sembilan). Babak tersebut dikembangkan dengan memunculkan watak Kiah, seorang mak andam/perunding imej. Untuk preview ketiga saya tambah monolog mak dan babak perkahwinan. Saya meminjam budaya perkahwinan Johor, upacara tol di pelamin dan sedikit adat istiadat merenjis dan menepung tawar. Setiap preview mempunyai durasi berbeza sehinggalah preview ketiga mencapai kepada 45-60 minit. . LPKO percubaan terakhir saya setelah gagal mencuba drama-drama serius. Kematangan saya belum mencapai untuk mengangkat karya yang berat yang sarat dengan pemikiran.

Kilafairy sebagai Nisa
LPKO dan PK tidak ada bezanya dari sudut cerita. LPKO memberi latar di sebuah desa, lewat tahun 80 an, sebuah kawasan perumahan kampung yang menghimpunkan pelbagai budaya. Sesuatu yang menyeronokkan saya mencampurkan kepelbagaian dialek dalam persembahan. Maka terlihatlah dialek Kelantan, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan di pentas. 

LPKO membawa khalayak melihat keseronokan seorang ibu menerima menantunya seorang Pegawai Kerajaan. Impian seorang ibu punya menantu kerja tetap. Sekitar tahun 1980 kerja kerajaan itu sudah dikira besar. Bermula angan-angan si ibu untuk mengadakan majlis perkahwinan yang gemilang. Orang dari kehidupan yang sederhana tetapi impiannya besar. Berbeza dengan anaknya Wati dan menantu yang lebih suka kerjakan pekara yang afdal saja. Ayah Wati hanya kerja kampung dan bersederhana dalam segala pekara. Tipikal watak orang kampung. Akhirnya, ketika majlis gemilang sedang berlangsung, hujan ribut memusnahkan semuanya. Pelamin, pengantin, keluarga berserta tetamu yang di bawah khemah, rebah ditimpa khemah yang roboh angkara ribut. Pengakhiran yang trajek.


Azhar Zainal (Tukang Urut) bersama Shah Iskandar (Radhi), Mail dan Rizal.


Hanez Suraya sebagai Nisa
Berbalik kepada PK, Nisa (Hanez Suraya/ Kilafairy) dari keluarga sederhana. Ibunya Puan Katimah Binti Kulup (sherry alhadad) menggelarkan diri mereka ' we are from rich family', kerana sering dicucuk hidungnya oleh Mak Long (Zulin Aziz). Tipikal orang melayu berangan dan berlagak kaya padahal sekadar menumpang kekayaan orang lain. Rizal, teman lelaki Nisa setakat kerja sebagai co ordinator di Lost World Of Tambun. Rizal bekerja keras mengumpul duit demi memuaskan hati keluarga Nisa. Di samping itu, kawan-kawan Rizal iaitu Radhi (Shah Iskandar), Umi (Kaka Azraff, Ayu (Fazleena Hishamuddin dan Mail (Syaiful Bahri) berusaha untuk membantu demi merealisasikan impian perkahwinan Nisan dan Rizal. Hinggakan sampai memberi tips untuk orang yang akan berumah tangga. Mail mencadangkan Rizal berjumpa dengan tukang urut Punjabi/Cina/Jawa (Azhar Zainal), manakala Ayu mendesak Nisa untuk membersihkan diri di SPA kecantikan.

Di akhir cerita, perkahwinan tersebut tetap berlangsung setelah menerima bantuan 'kewangan' ayah Nisa yang memahami dan terharu melihat kesungguhan Rizal untuk bersatu dengan Nisa. Sikap Puan Katimah mencabar keegoan seorang lelaki (Encik Harun). Tindakan isterinya yang sering menghina dan merendah-rendahkan pekerjaan dan latar hidup Rizal, membuatkan dirinya hilang sabar. Hakikatnya, dia sendiri pernah melalui situasi yang sama ketika berkahwin dengan isterinya.

Saya diberitahu, awalnya naskah ringan ini untuk  pentas Lambang Sari namun diangkat ke Panggung Sari. Cerita yang longgar plotnya semestinya akan ada 'kelompongan' apabila diangkat dan cuba disesuaikan di ruang yang lebih besar. 'Kelompongan' inilah yang mempengaruhi latar cerita, latar peristiwa dan transisi babak ke babak.

Mewah atau tidak sesuatu produksi tidak akan dapat membantu sekiranya eksplorasi dan kesatuan pelakon dan penari mahupun set tidak digunakan secara total. Masalah kos yang tinggi dan masa yang suntuk menjadi penyebab utama. Dari segi lakonan, tidak dinafikan mereka semuanya sudah teruji di layar TV dan boleh digilap lagi. Yang penting mereka suka berkongsi, bertanya dan mendengar pendapat. Sesungguhnya, mereka semua amat fokus setelah masuk ke pentas dan amat komited.

Saya terjumpa rakan lama yang menonton, seorang penerbit/pengarah/pelakon drama yang meluahkan pendapat semasa bertemu di Enjoy's Corner;

" Banyak part yang tak penting, dari awal aku dah rasa 'rengsa'. Macam nak minta suruh stop show tu. Buang ni, buang tu. Kau jangan buat ni, kurang ni sikit. Haa..tu tak payah buat. Cerita ni banyak sangat menjerit. Tak ada moment yang relax sedikit, berfikir, tenang. Scene rumah urut tu...fun la, aku boleh terima. Scene dalam rumah pun ok, release sikit.
"Babak pembukaan. dari awal aku tak tahu dia nyanyi apa, tak dengar apa yang budak tu sebut. Transisi babak pun macam tak best, slow." 

Dan dia pulang ketika interval!!!!!!!                                      
Mungkin tidak adil kritikan tersebut kerana menghukum setakat separuh tontonan. Namun itulah kuasa seorang penonton, seperti yang saya nyatakan minggu lepas, mereka bersusah payah membeli tiket dan mengharungi jem di Kuala Lumpur,  kalau tidak pun bersusah payah dapatkan pas percuma. Namun apa yang diperlihatkan tidak dapat memuaskan hatinya. Setiap penonton ada pendapat dan ragamnya. Ada penonton yang datang mahu melihat isinya. Ada yang hadir melihat artis kesayangannya. Ada yang hadir kerana terpaksa. Ada yang hadir kerana minat. Ada yang hadir dapat tiket percuma. Ada juga yang menonton untuk mencari salah orang DAN ada yang menonton kerana mereka memang seorang pembikin/penilai yang benar-benar memahami dan terpelajar.
Pengarah bersama pemain Izzue Islam (Rizal dan Syaiful Bahri (Mail)














Bagi saya sebagai pelakon dan pemerhati dalam teater Projek Kahwin, mereka telah berusaha dengan sebaik mungkin. Menggunakan kelebihan yang ada di Istana Budaya pentas bertaraf antarbangsa. Masalah masa dan budjet adalah pekara yang akan membelenggu produksi  Tapi budjet besar dan bermewahan juga, tidak dapat menjamin kesempurnaan sekiranya kematangan naskah belum diuji. Mungkin naskah tersebut hanya 'ngam' di tempat yang sederhana.

Namun demikian, tahniah dan syabas kerana produksi sanggup 'HARUNGGGGG' dan lakukan yang terbaik. Mungkin berdikit-dikit sebelum naik bukit dan bila sudah berani naik bukit barulah mendaki gunung. Sesekali terus mendaki, elok jugakan. Bak kata orang REDAH SAJA!!

Akhir kata

SALAM RAMADHAN ke 6

4 July 2014



Tuesday, 1 July 2014

JERebu

Sudah lama juga ASWARA tidak mementaskan teater eksperimen setelah ketiadaan NAM RON. Memang selama ini Nam Ron yang aktif dalam persembahan bersifat sebegitu. Malah seecara jujur saya pun terikut gayanya ........ saya PEMINAT dia. Dari zaman belajar lagi.. NAMRON suka bereksperiment. YA memang NAMRON mamat eksperimen.

Kali ini, atas DAYA USAHA pelajar, Ijazah Sarjana Muda Tahun 1 sambil dibantu oleh saya dan saudara Iefiz Putra kami cuba untuk mengembalikan rasa itu. 

Teater Eksperimen adalah subjek wajib dan juga merupakan penilaian akhir  pelajar Ijazah Sarjana Muda Fakulti Teater. Antaranya Shah Hassannul Manzar, Mohammad Faiz Malik, Wan Alia Yuhanis, Afiq Azhar Ali, Nurzaima Husain dan dibantu oleh pelajar Diploma Tahun 2 Mohd Hafizudin Ruslan, Mohd Raziq dan Ashikin Meor. Teater JEREBU tercetus dari pameran ABSURD(C)ITY di BALAI SENI VISUAL NEGARA dan pengamatan kami terhadap situasi sekeliling yang terlihat semuanya kabur....kelam dan merimaskan. Skrip tulisan Shah Hassanul ini adalah garapan idea antara para pelajar.

Dalam keluarga ada cerita jerebu. Kisah khianat, cemburu hingga sanggup menggunakan ilmu hitam angkara dendam yang akhirnya termakan diri sendiri. Isu MH370 yang masih lagi hilang, tiada jalan penyelesaian, semuanya buntu. Semakin banyak spekulasi diperkatakan hingga kita tidak pasti kebenarannya. Hingga kemunculan bomoh buaya...semuanya diparodikan dan bahan gelak di laman sesawang. 

Sangat menghairankan...saat keluarga mangsa masih bersedih, semakin galak mereka membuat andaian. Semakin pandai, semakin jerebu otak manusia.

Begitu juga kisah hubungan bebas remaja. Semakin canggih teknologi, semakin mudah remaja terjebak dalam genjala sosial, semakin terbuka pintu-pintu mencari kenikmatan. Dunia tanpa sempadan...tanpa halangan...tiada kawalan. Hidup yang bebas tanpa kongkongan.

Manusia mula bersifat individualistik, hanya buat hal sendiri. Komunikasi bukan lagi penting. Di mana-mana kita boleh lihat, kita hanya sibuk dengan gajet walaupun bertentang muka dan duduk semeja. Di rumah mungkin juga sebegini. Memang ada dan telah terjadi.

Kita semakin tidak suka bercakap...hanya terperosok dalam dunia dan akhirnya mati dan akan pulang ke arah yang satu juga. Namun dalam kita menuju ke alam mati, kita juga jerebu. Tidak tahu ke manakah arah kita. Itu semuanya urusan NYA. Kita manusia hanya mahu jadi yang terbaik, tetapi tidak semestinya yang terbaik akan dapat yang baik dan yang jahat dibalas jahat. Dalam baik ada jahatnya, dalam jahat ada baiknya.

JEREBU menampilkan 3 cerita yang mempunyai kisahnya tersendiri. Fragmen ini bergerak sendiri dan dijalinkan melalui gerak-gerak fizikal koreografi oleh saudara Iefiz. Pengerjaan produksi turut dibantu oleh pelajar Fakulti Teater tahun 1 & 2 dan pelajar filem. Persembahan berdurasi 1 jam ini diiringi muzik oleh Mohd Hanif dan Faisal Fauzi. Gabungan cerita, gerak fizikal, muzik, visual perlu difahami. Tiada cerita yang kronologi sifatnya. Tidak terlalu sukar untuk difahami. Semua yang digambarkan adalah pekara biasa yang kita lihat di dunia nyata.

Keseluruhan produksi adalah hasil usaha pelajar daripada aspek kostum, tatarias, bunyi,  tatacahaya hinggalah kepada konsep pameran di Front Of House (FOH). Tahniah diucapkan atas komitmen mereka dalam mementaskan JEREBU walaupun terdapat pelbagai kekangan.

Hakikatnya saya sendiri resah dan sering dalam JEREBU. Adakalanya lemah semangat, terkejar-kejar pelbagai pekara yang merimaskan....menjemukan..meyakitkan hati. Hilang punca. Apa yang ada di atas pentas..itulah apa yang terjadi dalam otak saya. OTAK JEREBU...JEREBU OTAK

Beruntungnya saya dapat pelajar yang sangat matang dalam memberi komitmen dan tidak terhingga kepada saudara Iefiz. Tanpa semangat dia mungkin JEREBU tidak akan terjadi. Terima kasih buat semua.

HIDUPLAH tanpa JEREBU di IMAN dan di HATI


Monday, 30 June 2014

anTARA Syahdu, Sendu, Sebu DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH




Secara jujur keterlibatan saya bersama CTRA dianggap sebagai projek kroni. Ya, kroni! Itu juga yang diucapkan oleh PRODUsERnya di saat sidang media..." pelakon kroni". Tidak, bukan kroni! Saya lakukan kerana seronok. Pernah juga saya menolak projek teater kerana ' ANGIN tok MARI '. Awalnya saya seperti sukar hendak terima istilah KRONISME tetapi difikirkan dengan akal yang waras, dah berpuluh tahun dan berbelas atau puluh teater bersama produksi ini. Kalaulah boleh dibuat tesis, tajuk tesis saya yang paling sesuai adalah MEMBESAR BERSAMA CTRA atau ROHAYAH ATAN atau ROSMINAH TAHIR hahha..macam buku mendiang Krishen Jit..Membesar Bersama Teater.

Sepintas lalu, semasa tahun 3 Diploma ASK saya pernah buat praktikal (latihan industri) bersama CTRA untuk projek teater ASSYURA. Buat set dan bertukang ok! Dan kebetulan juga semasa tahun akhir ROSMINAH TAHIR adalah penyelia PETA. Adakah itu kroni? Bukan, itu bukanlah kroni...itu keselesaan. Kalau nak bercakap perihal kroni..semua tempat ada...TV station...dunia politik...institusi pendidikan...peniaga pasar malam..makcik cleaner.....cikgu sekolah....penduduk flat...artis dan wartawan. Mana-manalah.

Bukanlah saya mahu bercakap perihal kronisme. Hanya berkongsi pengalaman dan rasa peritnya bila lakukan beberapa pekara dalam satu-satu masa. Di Bawah Lindungan Kaabah telah berlangsung dari 9 -18 Mei 2014 yang lalu menggabungkan beberapa nama besar dalam industri. Antaranya Nasha Aziz /Elfira Loy(Zainab dewasa/remaja), Adi Putra, Taufiq Izmer (Hamid dewasa/remaja), Fizo Omar, Dafi Ismail (Salleh dewasa/remaja) , Liza Abdullah, Yasmin Hani/Dayana Roza (Rosnah dewasa/remaja) Alina Hassan,  Zahid AF berserta artis-artis Istana Budaya.

Karya hebat Allahyarham Profesor Dr Hamka adapasi dari novel Di Bawah Lindungan Kaabah ini pernah diangkat ke layar filem pada 1978 dan 2011 di Indonesia. Di Malaysia mungkin ini kali kedua ianya dipentaskan. Kali pertama berbentuk monodrama untuk projek akhir PETA ASK 1998, lakonan Azizi Mohd Said. DBLK di Istana Budaya membawa khalayak menyusuri hidup Hamid dari zaman kanak-kanak, remaja hinggalah beliau meninggal di tanah suci Mekah.

Monodrama DBLK arahan Datin Marlia Musa pula, berkongsi cerita menerusi warkah-warkah kiriman Hamid dan Zainab. Dua pekara yang berbeza bentuknya. Ikhlasnya saya masih terkesan dengan persembahan monodrama tersebut. Set yang sederhana, permainan lakon yang sederhana, pelakon yang naif/bersih/ikhlas adakalanya 'blur'  tetapi mengesankan juga konsep persembahannya. Azizi atau Ujang seorang pelakon yang blur di saat itu, sukar mencapai permainan rasa dan emosi, tidak matang, namun dalam ketidakmatangan itu dia berjaya membawa resah, gelora, sedih pilu Hamid. Sukar untuk membandingkan dengan persembahan berskala besar yang mempunyai pelbagai tuntutan memenuhi ruang yang besar. Namun, apa jua sekalipun ianya berbalik pada persembahan lakon. Saya faham sukar menangani teks yang sarat dengan rasa jiwa ini.

Selesai  DBLK menutup tirai banyak komen yang didengari. Kenapa perlu ada Hamid dewasa? Kenapa skripnya begitu? Tak puas lihat Hamid remaja! Mengapa macam lembab aje? Bosanlah, pacing slow. Tarian Sufi tu tak kena konseplah! Zainab dan Rosnah tak nampak macam kawan baik pun! Kenapa remaja Elfira Loy tapi dewasa jadi Nasha, mcam tak kena aja! Macam-macam. Mereka yang menonton ada hak melontarkan pendapat sebagai orang yang keluarkan duit beli tiket, tidak pun  berikhtiar penuh daya untuk dapatkan pas percuma. Tidak kiralah, hak bersuara ada di tangan mereka setelah 2 jam terperangkap punggungnya. Ya, benar, ada babak-babak yang menjerut emosi, meleret-leret, ada juga babak yang seronok ditonton. Ada juga terdengar sedu penonton menahan air mata dan hidung. Ada juga tepukan gembira penonton melihat pelakon kesayangan di saat berdiri di pentas. Ada juga kelihatan penonton terperosok badannya lena tidur di kerusi empuk. Pelbagai ragam. Jawapan selamat..sukar memenuhi kehendak penonton.

Jadinya saya ni sebagai apa? Watak nasi tambah? Watak ciput bak kata orang. Hahahhahah..kehadiran saya sekadar memeriahkan suasana di hari raya sahaja. Terkedu juga bila membaca skrip. Kata hati ..." eh, macam tak banyak aja dialog watak SHEIKH ni!".  "Tak mengapa, biar tak banyak dialog, tapi impaknya itu" pujuk hati saya lagi.  Saya hanya menjadi pendengar kepada watak TUAN (Zahid) si pencerita. Keluar setiap kali watak TUAN beraksi di pentas. Watak SHEIKH...tuan punya milik rumah sewa Hamid. Tapi tidak selalu bersama Hamid, oleh kerana itu Hamid sering luahkan perasaan kepada TUAN. Mungkin sebab SHEIKH sibuk sebab banyak rumah sewanya tu. Jarang jumpa la kot. Hmmm konpius sikit. Mungkin watak SHEIKH ni hanya pentingkan bisnes rumah sewanya, ada aku kisah kisah cinta kau....atau..." Hamid, duit sewanya segera lunasi ya. Jikalau tidak keluar saja dari ini rumah"

Seronok bermain watak sebegini, tidak terikat pada satu latar. Watak perintis masa, seperti korus dalam teater GREEK yang memberi komen pada apa yang berlaku. Rasa Bodoh? Adakalanya rasa juga, namun tanggungjawab dan yang penting anda dibayar untuk beraksi. Maka lakukan sebaiknya! Dalam kebodohan itu, pamirkan kebijaksanaan. Bermain seadanya. Jangan overshadow  la sebab kau tu watak pendamping, bagi warna sikit pada babak. Bersyukur dapat terlibat DBLK dengan babak yang tidak membebankan kerana di saat itu banyak tuntutan kerja yang lain, maka rasanya berbaloi dengan masa yang diperuntukkan. Kenapa tidak tolak saja? Boleh saja tapi dah janji dan sewa dirinya juga menarik. Bak kata FIZO, kerja mudah!!!! Kerja mudah??????? Hmmmmm...watak beginilah yang sukar, kerana tiada tercatat dalam skrip, kena korek otak dalam-dalam untuk cari watak. Terpaksa lakukan improvisasi untuk wujudkan suasananya. Lainlah kalau dalam skrip tu dah tertera segala pekara berkaitan watak pada tiap babak walaupun tidak dinyatakan secara jelas.

Jadi, untuk mereka yang rasa HANYA MENDAPAT WATAK KECIL...jangan KECILKAN KEBOLEHAN ANDA, ya!

SELAMAT BERPUAS......PUASA!!





Tuesday, 3 December 2013

di mana SAKTi anak Raja Gondang


Hari yang meletihkan bagi saya, tuntuan kerja membawa yang ke sana sini dan situ. Demi sebutir berlian...kata orang sekarang. Dalam hujan renyai-renyai bergegaslah saya mahu menonton makyung bersama 2 sahabat Adieka Zainal dan Azie. Kebetulan mereka telefon dan tersangkut dalam hujan. Mako, baiklah sini tempa aku nak ambik saing aku puloknyo...SAAaaaa!!!!! Maka memandulah saya dengan laju tapi tidak terlalu laju...tapi laju jugaklah. Maka, kami bertiga  menyusuri jalan Bukit Tunku menghala ke Istana Budaya.

Tepat jam 8 sampailah kami di serambi istana, bersualah kami dengan Meera dan Naz saing lamo. Berborak sambil menghilangkan keletihan. Ramai juga yang menonton. Bersedia kami untuk mengembara bersama kesaktian anak rajagondang.....
SAaaaaa!!!!!

Bila dapat seat kami duduk kemas-kemas. Pengacara memulakan tugas, nampak lengkap dan comel dengan kostum pakyong. Persembahan bermula, gesekan rebab memang memanggil-manggil. Tirai utama dinaikkan. Pakyong Rosnan mula menyanyi, serentak dengan itu okestra pit dinaikkan berserta dengan stage lif 1(pentas). Dalam pertengahan tarian mengadap rebab, stage lif 2 & 3 pun turut naik. Macam gempak je..macam gempak je. Saya suka visual di atas pentas. Kelihatan gah. Tapi malangnya saya terlindung oleh pemain rebab. Al maklumlah dapat tempat duduk di bahagian rakyat jelata yang paling murah. Sesuai kau eijat! Tak ada masalah bagi saya. Mata mula semakin sayu. Betullah, dalam keadaan penat, sebaiknya balik dan tidur, mental akan terganggu kalau badan lesu. Saya gagahkan juga menonton. Nak tengok orang terbang-terbang, jakun saya mula datang. Bukan tidak pernah tengok, tapi saja nak lihat rakan beraksi. Terbayang mereka berterbangan dan bergomol berlawan di udara.


Persembahan makyung tidak mendukacitakan, menarik. Ada beberpa bahagian yang melelapkan saya, bukan salah persembahan. Salah saya, saya kepenatan. Permainan lakon antara pakyong dan 2 perannya menghiburkan. Cuma saya berpendapat abang Sabri Yunos (PERAN TUA) pelakon yang punya idea, mungkin malam tu dia cuba mengawal supaya tidak menjadi panjang, tapi bagi saya itu pun dah terlalu panjang. Kebiasaanya semasa bahagian nilah yang akan meleret kalau dapat pelakon yang tidak punch dalam lontaran dialognya. Mereka akan improvisasi dan mengaitkannya dengan isu-isu semasa.

Cerita berjalan dengan kemas, pertukaran  set bersilih ganti walaupun adakalanya adegan dah berjalan set baru masuk. Timing tak betullah tu. Mata sedikit terganggu. Set yang chantek, mewah dan gah untuk memenuhi ruang pentas yang lebar dan panjang. Adakalanya ianya menenggelamkan pelakon. Terutama adegan yang melibat dua atau tiga pelakon. Seharusnya tatacahaya harus mengecilkan kawasan lakonan. Itu hanyalah pandangan saya.  Kostum yang berkilauan, penuh warna-warni. 

Lakonan tidak mengecewakan. Datin Sofea Jane selaku Puteri Sulong amat bersungguh dengan wataknya, Seorang kakak yang tegas dengan adiknya Puteri Bongsu. Kadang-kala terasa yang datin ni masih lagi anak dara. Keletahnya dan gediknya memperlihatkan seorang kakak yang kasar dan cemburu. Vanida Imran sebagai Puteri Bongsu sangat tertib perlakuannya. Lenggok dan tutur katanya sopan, langkahnya teratur dan gemalai. Vanida bertutur dalam dialek Kelantan walaupun adakalanya nampak pelik. Bagi saya mencuba itu pun sudah tahap cemerlang. Bukan semua orang boleh buat, apatah lagi yang baru berlatih dua tiga bulan. Memanglah, mahu dapatkan 'air dan lenggok' dalam pertuturan tu memang susah. Sedangkan mereka yang setahun belajar pun adakalnya terkucil.

Ismadian sebagai Raja Besar sangat gagah. Caranya berdiri, lontaran suaranya, pembawakan wataknya cemerlang. Saya seringkali teruja melihat Ismadian atau Yan beraksi di atas pentas. Setiap perlakuannya, ketegasannya, 'posture' badannya teguh menawan di mata saya. Yan benar-benar meletakkan dirinya sebagai Raja Besar. Cuma kelihatan pelik kerna dari raut wajah, nampak anak lebih tua dari bapa. Well....no komen. Pilihan pelakon haruslah tepat, bukan saja kerana tarikan tetapi perletakan wataknya haruslah sejajar.

Rosnan sebagai pakyong (RAJA GONDANG) tidak boleh dinafikan kredibiliti, kesungguhannya dan kebagusannya dalam teater tradisi ini. Alunan suaranya ketika mengalunkan suara dalam nyanyian Mengadap Rebab mengetarkan. Butir bicaranya jelas.

Ada pendapat mengatakan watak pakyong asalnya dibawa oleh lelaki, tetapi apabila seni ini dibawa ke istana, mulanya berlaku perubahan. Watak ini dibawa oleh perempuan. Saya teringin melihat Nan di sisi yang lain. Mencuba yang baru. Aura yang baru dan permainan yang baru

Pendapat saya, lebih chantek kalau sisi 'manly' ditonjolkan lebih sedikit supaya kami tidak terkeliru di antara pakyong dan puteri. Mungkin Rosnan boleh buat, saya percaya, rosnan banyak yang kelebihannya. I cabar u Nan hehehhe....Rosnan boleh!!!! (Jangan marah Nan, kita berkongi-kongsi fat chai)




Asrulfaizal sebagai PERAN TUA bijak mengawal rakan lakonnya Isey Fazlisham yang suka meraban. Ad lib yang adakalanya disengajakan (maklum malam terakhir, pelakon akan merapu meraban) Asrul matang dan tidak terbawa atau terpengaruh dengan peran muda. Asrul sedar akan wataknya, bijak mengawal situasi dan tidak berlebih-lebih. Dia sentiasa membawa cerita kembali pada 'track' dan  berjaga-jaga. (supaya tidak melerat)
 
Che Kem selaku MAK RIMAU BESAR. Permulaan Che Kem sangat bagus, pergerakannya, vokalnya. Saya terganggu dengan visual harimau di skrin. Saya tidak pasti mahu lihat yang mana harimau di pentas atau di skrin. Visual tersebut sudah membunuh kemuculan watak ini di pentas. Che Kem terpaksa berlawan dengan dirinya di belakang (skrin). Membunuh kepercayaan penonton untuk melihat 'nyata'nya harimau di pentas. Aksi dan vokal sudah menjelaskan keberadaan watak tersebut, seolah-olah cuba mengajar penonton..

." ini adalah harimau. cuba tengok harimau di belakang dan di pentas. Samakan adik-adik. Ya.....tepuk tangan. Mari!"

Stamina Che kem adakalanya surut. Macam berat je...macam berat je. Lebih-lebih lagi di saat beliau menghempaskan badan ke pentas setelah terbang. Takut pulak saya. Timbul juga rasa hairan..wah berat ...berapa orang yang tarik Che Kem tu?  Saya tahu dia keletihan tu. Watak-watak supernatural sebegini memerlukan kekuatan badan, kelincahan dan pernafasan yang bagus. Silap haribulan boleh pancit di tengah pentas, lebih-lebih lagi bila dah masuk 4 series ni.  Berat tau....hehhehehhe

Babak 'berhuda' atau berlawan sekiranya dikoreografer, mungkin akan dapat kesan yang lebih bagus. Saya tidak pasti sejauh mana boleh dieksplorasikan. Kalau boleh...lain kali lah. Masalah utama bagi saya ialah naskhah. Cerita dan konflik watak seperti tidak selesai. Mungkin ada bahagian yang sudah dikompres agaknya. Ceritanya bergerak tapi konflik watak hanya di dasar sahaja. Walaubagaimana pun saya terhibur dengan persembahan dan aspek teaterikal di pentas. Usaha yang cukup murni mengangkat karya-karya tradisi di pentas. 

Terimakasih
Salam... salam.. salam..



Friday, 29 November 2013

Makyung "Raja Tangkai Hati'

Makyung RAJA TANGKAI HATI
       Teringat akan saya teater Makyung arahan Norzizi Zulkafli. Peringkat awal kami sama-sama membuat pilihan pelakon. Ternyata sukar juga hendak mencari pemegang watak Pakyongnya. Sepatutnya watak ini dilakonkan oleh penyanyi Aishah. Kami bertemu janji dengan Kak Aishah di sebuah restoran di Ampang. Tak ingat namanya. Saya, Zizi dan Toemoe. Saya  kenal dengan Kak Aishah hanya menerusi telefon saja, tapi mesranya macam dah berkawan lama. Hehhe saya belajar untuk berkomunikasi dan memikat untuk produksi. Masa nak berjumpa, Zizi paksa saya temankan sekali sebab malu katanya. Kali pertama berjumpa Kak Aishah kami dah rasakan aura yang kuat, maklumlah ni penyanyi peringkat antarabangsa. Rasa kerdil je duduk semeja.

           Kak Aishah teruja hendak melakonkan watak ini. Walaupun hakikatnya beliau bukanlah orang Kelantan. Bagi kami pengalaman beliau dalam nyanyian akan memudahkan proses latihan terutamanya nyanyian. Kak Aishah tiada masalah dalam lakonan, dan memang teruji dia boleh berlakon. Terbayang lagi sukarnya Kak Aishah hendak bertenggong semasa menari Mengadap Rebab tetapi beliau amat positif.  Namun atas sebab peribadi beliau terpaksa menarik diri walaupun telah melalui proses latihan, lalu digantikan dengan  Zuliana Zainal artis budaya Petronas yang telah termaktub keupayaanya. Maka tiadalah rezeki kami dengan kak  Aishah. 

              Bila dikenang semula seolah-olah ini adalah gabungan pegawai dan graduan ASK, Juhara Ayob, Che kem, Mardiana Ismail, Yuniey Nur Leitey, Shariful Akma juga artis Istana Budaya. Manakala Norzizi bertindak selaku pengarah dibantu oleh Syarul Azlina. Manakala  Toemoe menjadi PENYELAMAT menyelesaikan kerja separuh jalan Jalil Ngah (al fatihah untuk arwah) dan dipertanggunjawabkan untuk membantu dari sudut pencahayaan. Idea Jalil Ngah dari sudut pencahayaan sangat bagus, mungkin masalah bertindak kerja menjadi punca kekalutan. Saya selaku Pengurus Pentas. Mulanya Zizi meminta saya menjadi penolong pengarah, tetapi saya tidak berkeyakinan kerana Makyung terlalu jauh bagi saya. Lain kalilah kot. Zizi selaku pengarah sangat terbuka untuk menerima pendapat dari rakan-rakannya. Kadang-kadang kami luahkan idea yang gila-gila, untuk melihat sejauh mana ianya boleh dicapai. Proses kreativiti ini tidak boleh disekat, buat dulu dan kita akan tahu keputusannya. Maknanya perlu ada plan A, B, C dan sebagainya.

                Kelebihan pentas Istana Budaya dieksploit secara total oleh Zizi. Ketika tarian mengadap rebab,  pentas (stage lif) dinaik dan diturunkan untuk memberi kepelbagaian perspektif visual. Di belakang terpapar skrin besar yang menayangkan visual secara live, kelembutan dan keindahan gerakan jari-jemari si penari. Zizi dengan sengaja ingin penonton turut menjiwai  keunikan gemalai tari klasik ini. Malah imej muka peran turun ditayangkan di atas kain layar kapal, semasa pakyung berinteraksi dengan peran untuk datang mengadapnya di atas kapal. Zizi sangat teruja bermain dengan skrin apatah lagi ketika itu beliau sedang mengikuti pengajian filem di UITM.

SEKITAR PERSEMBAHAN 

              Selaku pengurus pentas banyak cabaran dalam mengendalikan produksi. Sebagai kawan rapat, saya memahami kehendak Zizi, ketidakpuasan hatinya akan beberapa pekara bila berkait dengan artistik.  Adakalanya bila ada pekara yang mencuitkan hati semasa berlangsungnya mesyuarat produksi, kami hanya akan bermain mata. Adalah beberapa pekara, biarlah menjadi rahsia.....hmmm OK..Ok ...kalau Zizi baca ni mesti dia tergelak besar..... "...kami akan gunakan kapas atau polisterin untuk buat awan". Idea yang tak masuk akal.... ni sekolah tadika ke apa.... hello Istana Budaya ok!!

                Pernah juga kami bergaduh di dalam studio latihan, meninggi suara kemudian kami tidak bertegur dan bermasam muka. Dua tiga hari kemudian bila bertentang mata, dua-dua senyum dan gelak. Begitu indahnya persahabatan. Tak boleh nak gaduh lama-lama, rasa pelik.  Berbalik kepada persembahan, saya tak ingat malam ke berapa. Dalam satu babak Malim Bisnun (Mardiana Ismail) dan Malim Bongsu (Yunie) telah dicampak ke laut oleh ayahandanya sebab hasutan Puteri Bota (Norsiah Yatim) yang telah menyamar menjadi Puteri Cempaka Emas. Maka beria-ia lah si Pakyong (Zuliana) membuat gerakan dan tercampaklah Malim Bisnun dan Malim Bongsu ke laut yang ditandakan di area stage lif 1. Maka turunlah stage lif 1, ke  level paling bawah menandakan tenggelamnya mereka ke dasar laut. 

              Muncul Dewa Betara Guru, maka kesianlah dewa melihat nasib anak raja  tersebut, diserunya naik ke permukaan laut SAAAAA......maka stage lif  1 pun naiklah dan terus naik dan terus.............dan naiklah ia......WHATTTTTTTTTTTTTTT TAK NAIK.....rupanya stage lif ada masalah teknikal. Saya perhatikan Che Kem dah beria-ia membuat gerak-gerak kontemporarinya......menokok nambah dialog.....sampaikan terkeluar dari mulut dia..." aloh penatnyo ambo...tok naik2. Penonton gelak terhibur.   Inilah untungnya dapat pelakon yang bijak menguasi keadaan. Saya dan Zizi dah bagi que, ada masalah berlaku. Mardiana dan Yunie masih lagi di bawah. Saya ikhtiarkan untuk turunkan stage lif 2, pun sama sangkut di bawah dan last stage lif 3.....subhanallah, pun sama. Apalah MALAPETAKA untuk hari itu. Saya tidak terfikir pun hendak memberhentikan persembahan kerana ianya cuma masalah kecil, dan rupanya ianya semakin merebak. PENYELESAIAN terakhir saya arahkan kedua pelakon untuk naik mengikut tangga....dan mereka terus ke stage lif 4 untuk meneruskan aksi. Memang berpeluh malam tu.... 

                Budak-budak teknikal dah berpeluh peluh untuk selesaikan masalah teknikal....masalah program la. Tapi kalau benda dah nak jadi...memang akan jadi, walaupun kita dah buat teknikal run ke....teko run ke...atau apa-apa run la..... atau buka panggung ke buka punggung ke. Mungkin pekara yang terbaik adalah BERHENTIKAN SHOW. Tapi al maklum, saya ni bukannya belajar pengurusan pentas BERGURU dengan sesiapa. Bezalah mereka yang terdedah dengan  GURU OBERSEA. Cuma saya banggalah sebab dengan tak tahu apa-apa dan tanpa mendapat pendidikan secara formal berkaitan PENGURUSAN PENTAS saya mampu melakukannya ketika produksi teater TUN PERAK. Memang saya terkuntang kanting, cuma semangat saja yang menguatkan saya. Diam tak diam, dah 10 produksi saya uruskan. Tak ada pulak kemalangan, insyallah kalau kita tenang. Tak usahlah nak megah-megah. Allah uruskan cakrawala...tak sombong pun kan!

                  Jadinya malam tu memanglah saya pucat habis. Zizi dari bilik solek terus berjumpa saya bertanyalan masalah. Ini lagilah membuat saya panik, banyak pulak soal, tapi saya tahu dia risau. Tapi dia tenangkan saya yang panik....dia mahu membantu. Saya mula rasional dan membuat tindakan. Memang seeloknya pengarah tak dibenarkan ke belakang kerana pentas sudah jadi kepunyaan pengurus pentas. Pengurus pentaslah pengarah sepanjang persembahan. Pengarah cuma boleh bagi breifing dan kemudian harus ke hadapan panggung atau ke mana saja lah dia nak pergi.....tapi bukan di belakang pentas. Tapi terimakasih Zizi kerana menenangkan saya. MAKANYA SM TAK BOLEH PANIK. CEPAT BERTINDAK BILA MASALAH DATANG.  Proses pembelajaran bagi saya. Setiap kali persembahan teater, saya akan belajar sesuatu dan inilah BUKU saya. Makanya bagi anda yang memang tak belajar secara formal, jangan khuatir....gunakan akal yang waras dan bertindak dengan sebaiknya. 

Salam TEATER







Monday, 4 November 2013

BANGSAWAN 'RAJA MUDA HAMLET'

Bangsawan
RAJA MUDA HAMLET
Selesai sudah pengerjaan naskah ini dan sudah berjaya dipentaskan. Awalnya naskah ini untuk pelajar kelas bangsawan, namun terdapat perubahan penjadualan semester dan akhirnya jatuh ke tangan pelajar graduan. Rezeki mereka. Idea untuk mementaskan naskah ini datangnya dari dua orang utama dalam fakulti, Encik Reza Zainal Abidin selaku dekan dan Cik Rosminah Tahir selaku mantan dekan. Merekalah pengerak utama sehingga berjaya dipersembahkan kepada khalayak.

Banyak jugalah komen yang saya dengar. Bak kata Marlenny sahabat rapat yang sering saya ajukan soalan jika ada kekalutan.

"Best tapi something missing" katanya.

Ada juga pendapat lain:

"Best, tak bosan. Tempo laju, fokus pada cerita"
Malahan ada yang kata:

"Set bagus, lakonan bagus. Tapi HANCUR!

Saya tidak tahu apa yang hancur??? Sebab tidak ada lakunan bangsawan atau bait dialognya bukan bangsawan. Tapi saya boleh menerimanya. Sesekali saya harus berpegang pada kata azimat Marlenny Erwan:

" Ada aku kisah!!

Ya, saya mula belajar itu.

Saya faham. Saya akui. Saya sengajakan. Bila terlalu lama dalam membuat pekara rutin, saya juga rimas. Malah ada berdetik dalam hati,...

"dahlah tak payah buat bangsawan. Banyak benda lain yang boleh dikerjakan".

 Saya merasakan ini proses kematangan dalam diri untuk keluar dari 'zon selesa'.  

Sedari awal saya telah terlihat, masalah utama adalah kata-kata ucapan dalam naskah shakespeare ini dan saya amat TERUJA untuk mengekalkan bait-bait ucapan dialognya yang puitis tambahan pula ianya merupakan terjemahan AHMAD YATIM, Sayang kalau diubah, itulah konflik terdalam yang saya alami. Hasilnya memang saya mengekalkannya dan saya bertanggungjawab dengan pilihan itu.

Memecahkan naskah ini menjadi babak-babak amatlah sukar, sementelah banyak adegan menarik dan sekali lagi rasa SAYANG menguasai diri. Hampir setahun proses pengerjaan ini berlaku dan akhirnya terdapat 7 babak penting dan 3 adegan street scene -lakonan kumpulan opera (extra turn), 1 street scene adegan Hamlet bertemu roh bapanya dan 1 nyanyian (extra turn lagu Biarlah Rahsia. Dicadangkan oleh Encik Reza, Lagu ini cuba memberi intrepetasi kepada luahan jiwa antara watak Ophelia dan Gertrudge). 

Kemunculan kumpulan pelakon Opera menjadi pengikat kepada babak tertentu, penggunaan bahasa yang lebih kolokial. Saya cuba menjadikan kata azimat Hamlet "Bertindak atau Tidak" sebagai lagu yang membawa pergerakan kumpulan ini sehinggalah kepada kemunculan terakhir dan mereka menyanyikannya dengan mood yang berbeza. Liriknya digubah dan adegan tersebut dilakukan secara improvisasi menerusi latihan dalam studio. Seperti kata dekan saya...

" Itulah konsep u! Apa kata u explore dari situ".

Malahan ketika babak lakonan dalam istana, saya cuba menerapkan lakonan bangsawan menerusi lenggok dialog bangsawan  melayu yang stylized, namun didramatarikan. Awalnya pelakon melafazkan kata-kata tersebut tetapi setelah berbincang dengan penolong pengarah Sharful Akma, kami membuat pilihan untuk mengekalkannya dengan lakonan mime sekadar untuk memberi variasi agar idea penceritaan lebih menonjol. Cuma fokus utama ketika adegan racun sahaja. Makanya saya pisahkan antara gerak dan dialog, dan dilakukan oleh orang yang berbeza.

Gurindam telah digantikan dengan prolog, disampaikan merusi lirik lagu dan muzik. Pergerakan penari lebih membawa kepada gelodak jiwa Hamlet, pergerakan yang bersifat kontemporari dan kejiwaan. Hazra Ghazali amat memahami kehendak saya selaku pengarah.

Pergerakan dicipta dahulu dan barulah pengarah muzik iaitu Encik Faizal Fauzi  menghasilkan iramanya mengikut kehendak dan sifat tarian. Faizal hakikatnya memberi mood yang cemerlang sepanjang persembahan. Puas hati mendengar muziknya! Tahniah Faizal walaupun dalam keadaan kalut dia mampu menyempurnakan kerjanya. Adakalanya dalam keadaan terdesak, inspirasi tu mencurah-curah. Saya juga pun adakalanya begitu.

Sememangnya kami produksi cuba untuk lari dari suasana naskah asal dan melahirkan dunia yang lain. Cuba untuk mengelak perulangan dan mencipta dunia yang lebih segar. Maka kami seboleh-bolehnya mengelak dari berpegang pada latar yang asal. Seandainya ada yang mempertikaikan ke bangsawanan kami, kami terima dengan seadanya. Namun bukankah drama  aliran shakespeare itu bersifat Opera dan di situlah klasiknya, dan bangsawan juga adalah opera melayu. Mungkin hanya kerana kami mengekalkan teks tersebut, maka tidak terlihat nada-nada melayunya lalu ianya dikira bukan bangsawan? 

Bagi saya tiada salahnya saya menggabungkan form bangsawan dengan klasik barat. Ini satu eksperimentasi kami. Tambahan pula telah berulang kali kami mementaskan cerita Melayu, Arab, Jawa dan masih berpegang pada paksi yang asal. Jadi, KALI ini kami cuba untuk bereksplorasi. Saya pernah mementaskan Bunga Sakti Cinta Malam ( A Mid Summer Night's Dream adaptasi oleh Marlenny Erwan). Sekali lagi saya jelaskan, saya memang SENGAJA mengekalkannya begitu. Hasilnya satu garapan yang lebih segar di mata saya tanpa adanya extra turn nyanyian yang terasing dari cerita. Namun begitu sedikit sebanyak saya cuba juga menerapkan gaya bangsawan ketika berdialog supaya lebih seimbang.

Malahan adiguru saya PAK RAHMAN sendiri menjelaskan extra turn nyanyian dan tarian hanya ada di pembukaan bangsawan dan sebelum babak terakhir. Selebihnya adalah street scene. Sekitar tahun 60 an barulah penyanyi-penyanyi pop ketika zaman itu diundang untuk menarik khalayak menonton persembahan bangsawan. Ada beberpa pekara yang beliau tegur dan saya terima dengan fikiran yang terbuka.

"Masa zaman cikgu, kami memang pakai baju jubah-jubah, gaun. Mungkin sekarang ni lain caranya" Luahan hatinya. Saya tahu dalam diam cikgu marah, tapi dia tidak kata tidak boleh!

Pilihan pelakon peringkat awalnya sudah terlintas dalam kepala, malahan saya meminta pandangan Ahmad Yatim yang sememangnya orang yang amat dekat dengan teks klasik Shakespearce. Macam kata Profesor Dr Rohani Yousoff..

"Shakespearce teks cik Mat. I tak boleh kacau" Dalam nada gelak dia bergurau.

"Berapa dia bayar kau? 10k? tanya cik Mat.

Saya faham soalan cik mat tu. Saya diam dan tersengeh. Kalau setiap kali buat bangsawan dapat 10K memang dah kaya saya. Yelah, selama dua tiga bulan kita fokuskan diri untuk produksi, orang tak akan faham penat lelah kita, balik tidur pun otak masih berfikir-fikir. Tapi alhamdulilah saya dikelilingi mereka yang amat membantu.


Pelakon yang dipilih memang teruji lakonannya. Kalau ada sedikit kekurangan mohon maaflah. Kalau tidak ada bangsawannya, mohon maaf sekali lagi. Memegang kata azimat Hamlet...




"BERTINDAK ATAU TIDAK, ITULAH SOALNYA"

Saya sudah bertindak, dan itu tidak menjadi SOAL bagi saya.





Sunday, 3 November 2013

Monodrama 'Menunggu Lampu Hijau'

Monodrama
MENUNGGU LAMPU HIJAU

"Eijat, rektor cari awak" kedengaran suara Amy di corong telefon. Saya punyalah ketar tak tahu apa yang prof kehendaki dari saya. Saya ada buat salah ke? Atau ada kena mengena dengan bangsawan? Prestasi saya tidak bagus ke? Adakah saya curi tulang? Risau, punyalah risau!!

"Ada apa Amy? Saya cutilah! jawap saya.

"Entah" balas Amy

Esoknya dengan penuh debaran di dada, saya terus ke opis rektor. Dengan muka yang sembam terus berjalan menuju ke jambatan yang menyambung dua dunia ( Jambatan depan Panggung Eksperimen). Umpama menyeberangi jambatan siratul mustakim. Saya terimbas kembali semasa mula-mula saya dimaklumkan mendiang Krishen Jit mencari saya ketika saya berjumpa mantan dekan Cik Rosminah Tahir, orang yang sangat saya respect, orang yang pernah menangis kerana saya, orang yang pernah menghempas skrip di hadapan mata saya. Indahnya pengalaman itu.

"Asalamualaikum Prof.
"Hah, eijat! Duduklah. Profesor Dr Hatta mengarahkan saya yang masih lagi terkebil-kebil dengan perasaan yang tidak selesa.

"Ke mana awak menghilang ni. Saya dulu tengok kamu ni aktif dengan gang-gang kamu, dengan Tomoe dan Namron. Masa kamu terlibat dengan Alternative Stage. Saya pernah tengok persembahan kamu di DBP. Kenapa kamu dah tidak berlakon? Kamu pelakon yang bagus". Sebenarnya saya tidak berapa ingat dialog Profesor ni, tapi lebih kurang macam inilah.

" Entahlah Prof mungkin saya rasa kehilangan. Lagi pun mungkin juga tidak ada naskah yang bagus" Alasan yang tidak masuk akal saya berikan. Sebenarnya tidak ada idea sebab masih lagi diselubungi rasa ketidak selesaan. Terkedu saya macam muka mak Ahmad Bukhari menerima kedatangan 4 menantu dan 11 cucunya ketika berhari raya.

"Kamu ada apa projek sekarang ni? tanya beliau lagi

"Tak ada prof. Hanya kelas saja". Sebenarnya saya mengarah untuk program semarak bangsawan Raja Muda Hamlet. Bagi saya tidaklah merisaukan sangat kerana sudah pun menyusun jadual latihan, malahan skrip sudah siap. Cuma menunggu untuk sesi baca skrip.

"Nah, kamu ambik skrip ni! Kamu baca dulu. Kalau kamu suka, minggu depan jumpa saya" Profesor Dr Hatta menyerahkan saya senaskah skrip monodrama  yang bertajuk  MENUNGGU LAMPU HIJAU.

Saya berfikir-fikir, bertimbang-timbang. Memang saya menunggu. Apa yang saya tunggu sudah di hadapan mata. Perlu tunggu apa lagi? Lampu hijau sudah menyala dan inilah saatnya kata hati saya. Usai membaca naskah ini saya terus jatuh cinta dan membalasnya dengan kata...

YA! SAYA AKAN BUAT. SAYA SUKA!

Inilah detiknya, seingat saya peristiwa ini berlaku di bulan puasa. Makanya sepanjang bercuti raya saya mengambil masa untuk memahami dan menghafal 3 babak terawal. Masih ingat lagi, hari raya kedua saya sudah duduk di Pacific Mall di Batu Pahat. Orang lain sibuk beraya saya hanya beristirehat, al maklum single father hahha.  Lokasi saya di kedai nasi ayam penyek. Tiga hari berturut saya duduk di situ sehingga pekerjanya sudah mengenali saya. Kiranya macam feeling-feeling artislah, duduk di restaurant menelaah skrip. Tapi ada untungnya kerana saya dapat melihat gelagat manusia yang keluar masuk di restoran tersebut. Bermulalah kerja saya selaku pelakon iaitu menelaah telatah manusia. Ada hasilnya juga saya melepak.

Menghadapi lakonan monodrama agak memenat dan mengujakan saya. Saya sangat cintakan lakonan monodrama kerana menguji stamina, daya mengingati dialog, tumpuan yang jitu pada perubahan watak, kepantasan otak berfikir secara spontan. Malah saya pernah terkedu seketika di atas pentas kerana kehilangan dialog ketika beraksi. Hidup mati saya sendirian. SM tidak dapat membantu, prompter juga tidak boleh membantu. Saya berlegar seketika di belakang kerusi (ala-ala nak ambik moment kononnya, padahal lupa). Alhamdulilah tuhan buka jalan. Sebenarnya setiap blocking yang saya buat, akan mengingatkan kembali setiap aksi dan dialog. Maka dapatlah saya kembali ke track yang hilang tadi. Saya bukan yang bagus dan terbaik tetapi kemampuan seorang pelakon memang akan teruji bila mereka bermonodrama. Selama satu jam setengah beraksi di atas pentas. Hanya ada 5 saat untuk keluar minum dan melihat sekali imbas skrip, dan terus ke pentas semula untuk beraksi. 

Memang adakalanya saya terlupa dialog. Benar! Saya buntu! Saya menangis dalam hati! Saya hilang keyakinan seketika! Tapi penonton tidak mahu tahu, saya harus PANDAI di atas pentas. Peringkat awalnya Profesor Dr Hatta mahu membantu saya dengan meletakkan skrin di hadapan pentas. Skrin ini akan memaparkan 'keywords' bagi membantu saya mengingati dialog. Hari pertama run thru, saya cuba utnuk tidak melihat skrin, saya berjaya. Atas dasar itu, pendekatan tersebut diketepikan. Lagi pun saya akan lebih terganggu andainya ada skrin, nampak pulak ketidak profesionalisma saya sebagai pemain. Nanti jadi isu pulak. 

 Berhadapan dengan  13 watak adakalanya tidak ter 'laku' oleh kudrat saya. Tetapi harus diingatkan, daripada 13 watak itu mana yang utama dan perlu diberi fokus lebih. Ada pendapat juga bahawa saya hanya berjaya watak pompuan, lelaki kurang berkesan. Ada benar juga kerana tidaklah terkejar saya untuk pergi lebih detail. Hanya saya mampu membuat sekadar mungkin kerana banyak benda lain saya perlu fikirkan sepanjang 90 beraksi. Saya utamakan TENAGA saya di atas pentas. Tenaga ini yang akan memacu kudrat saya untuk bertahan. Memang saya ada habis nafas dan pancit, tapi saya cuba cari tempat yang bersesuaian untuk saya bertenang dan tidak terlalu gopoh.

Pengalaman mengarah memberi saya kelebihan untuk melihat pergerakan graf lakonan saya. Jalinan babak ke babak perlu ada peningkatan dalam penceritaan. Saya umpama seorang Tok Dalang yang mengerakkan aksi-aksi tersebut. Saya perlu sedar sekiranya ada penonton yang bosan. Seandainya itu berlaku, saya katakan saya gagal. Beraksi dalam LEMBU tidaklah sukar kerana setiap babak adalah monolog yang berdiri sendiri. Malahan saya hanya beraksi dan duduk dalam situasi, penonton hanya memerhati perlakuan saya. MENUNGGU LAMPU HIJAU amat menakutkan saya kerana perlu adanya interaksi dengan penonton, berbicara terus dengan penonton. Saya tidak KUAT. Dalam realiti saya seorang yang sangat 'introvert'.  Ahmad Bukhari ini bukan saya. Tapi saya perlu menjadi Ahmad Bukhari B Yatim, atau Ahamad B. Yatim atau AHMAD YATIM!

Profesor Hatta selaku pengarah amat mementingkan kebersahajaan di atas pentas. Watak itu benar-benar ada dan jujur bercerita. Beliau tidak mahu pelakon terlalu nampak untuk BERLAKON. Perlu lakonan yang relax dan bersahaja. Namun ianya akan berubah apabila ada penegasan pada babak yang ingin disampaikan. Sukar untuk mendapat kebersahajaan yang dikehendaki. Tetapi bukanlah membawa lakonan TV di pentas, tiada impak yang bagus. Jangan berlebihan dan jangan berkurangan itu yang Ahmad Yatim katakan. Kita selaku pelakon kena sukat sendiri. Saya hanya mampu cuba yang terbaik.

Watak Kak Normah, Habibah, Ruzita, Rugayah, saya benar-benar jatuh cinta dengan keletah mereka. Kak Rugayah paling berbisa mulutnya, lantang, tegas tetapi ada kebenaran dalam ucapannya. Kak Habibah seorang yang halus budi pekerti, penenang dalam apa situasi dan sentiasa merendah diri. Kak Ruzita sangat menjaga ketrampilannya apatah lagi dia tuan punya syarikat produk kecantikan ubat-ubatan tradisional. Sentiasa duduk dalam keadaan tegak, maklumlah pakai korset. Ini pun saya jadikan inspirasi daripada Syafinaz Selamat dan Kak Ton. Hehehhe kombinasi dua wanita hebat. Kak Norma, bini pertama yang paling simple, walaupun usianya 26 tetapi pengalaman hidup membuatkan dia sentiasa terbuka dengan perangai madu-madunya.

Ahmad Bukhari, saya umpamakan perakam masa, memerhatikan gelagat keluarganya. Dari segi usia dan fizikal ini tidaklah jauh beza dengan saya. Latar usia dan pekerjaan pun tiada beza. Inilah tunjang utama dalam persembahan. Watak yang sangat fleksible, terbuka dan mudah meresap dengan segala kejadian yang berlaku di sekeklilingnya. Inilah Tok Dalang utama disebalik MENUNGGU LAMPU HIJAU. Profesor Syed Mahfuz, rakan baik Ahmad Bukhari, dianggap sebagai mentor dan abangnya. Tiada rahsia antara mereka, masing-masing saling mengkagumi. Mula saya membaca watak ini sudah tergambar figura watak itu dan siapa bayangan di mata saya. Biarlah rahsia saya dengan pengarahnya. Untuk mengelak fitnah hahahha.

Tidaklah perlu sayang mengupas isu cerita ini kerana MENUNGGU LAMPU HIJAU boleh dilihat dari pelbagai sudut. LAMPU HIJAU itu sahaja boleh diintrepetasikan dengan apa sahaja mengikut situasi orang yang MENUNGGU. Apa yang DITUNGGU? Apa yang MENUNGGU? Siapa yang MENUNGGU? Semuanya terletak kepada situasi anda sendiri. Adakalanya kita sakit hati menunggu akan sesuatu yang tidak pasti sehingga kita penat menunggu. Tetapi kita wajib menunggu atau kita redah aja LAMPU MERAH. Pilihan di atas tangan anda. Seperti saya yang menunggu, dan apa yang ada di hadapan mata adalah senaskah MENUNGGU LAMPU HIJAU. SAYA TIDAK MAHU MENUNGGU. 

Salam.