Thursday, 3 July 2014

PROJEK KAHWIN & LEPAT PISANG KOPI O

Secara kebetulan sahaja terlibat dengan PROJEK KAHWIN. Terjumpa dengan pengarahnya, seorang nak muda yang bersemangat Muhammad Azri Ali (Ali). Mulanya ringan mulut, saja bertanya tak ada watak ke? Dah rezeki...akhirnya dia panggil. Awalnya gurau-gurau manja, masih ingat lagi berjumpa di Istana Budaya semasa sedang latihan DBLK. Seronok  juga berkerja dengan anak-anak muda. Kemudian jumpa di Sani Char Kuey Tiow ......bincang mas kahwin. Tidak la mewah..tapi bole la...cari duit raya katanya. Minta 'up' .. adalah sedikit naiknya. Tidak  akan dapat banyak pun melainkan....????? Cikgu saya pesan; "kalau bayar harga lakon 300 buat la kerja 3 ratus. Itu saja cara nak ajar".  Yang menghargai saja yang tahun menilaikan sesuatu. Tapi saya ok. Saya lakukan kerana AJI.
Dua performer yang meningkat naik. Sherry Alhadad (Puan Katimah) dan Mak Long (Ketum)
PROJEK KAHWIN mengingatkan saya dengan projek akhir PETA 1998 semasa di ASK. di mana saat itu saya telah mengangkat sebuah karya drama radio LEPAT PISANG KOPI O sebagai naskah pengarahan. Dari drama radio saya kembangkan menjadi naskah pentas dan telah melalui 3 proses preview. Sukar juga. Asalnya memang saya mencari drama yang ringan tapi isunya biasa. Preview pertama hanya untuk 15 minit, menariknya ketika itu adalah konsep yang saya gunakan. Pertembungan budaya Hindu dan Melayu. Pertemuan antara dua budaya ini saya jadikan isu, pertembungan budaya terutamanya dalam pekara yang melibatkan perkahwinan. Watak ibu (Syarul Azlina) memakai Sari, manakala si ayah hanya berseluar dan t shirt dan di sekeliling platform saya gantungkan bunga-bunga malai putih orange sebagai simbol keraian masyarakat India. Saya bayangkan watak ini adalah India-Muslim. Tidak terfikir pada awalnya, namun setelah mendiang Krishen Jit menonton hasil preview pertama, beliau mencadangkan agar saya mengembangkan naskah tersebut menjadi 'full play'. Saya mengalami
masalah besar, apabila pelakon watak mak menarik diri, kerana  ingin meneruskan projek lakonnya dengan pengarah yang lain. Pekara ini meresahkan saya. Alhamdulilah penganti yang hadir telah memunculkan konsep yang berbeza. Wana seorang pelajar penulisan, boleh berlakon dan saya menggunakan kelebihan dialek Kelantannya untuk disuntik ke dalam watak, di sini diperlihatkan pertembungan dialek antara Kelantan dan Perak (Jamal/ayah). Untuk preview ke dua saya munculkan watak anak dan dua jiran Kiah (dialek Kedah) dan Che Som (Negeri Sembilan). Babak tersebut dikembangkan dengan memunculkan watak Kiah, seorang mak andam/perunding imej. Untuk preview ketiga saya tambah monolog mak dan babak perkahwinan. Saya meminjam budaya perkahwinan Johor, upacara tol di pelamin dan sedikit adat istiadat merenjis dan menepung tawar. Setiap preview mempunyai durasi berbeza sehinggalah preview ketiga mencapai kepada 45-60 minit. . LPKO percubaan terakhir saya setelah gagal mencuba drama-drama serius. Kematangan saya belum mencapai untuk mengangkat karya yang berat yang sarat dengan pemikiran.

Kilafairy sebagai Nisa
LPKO dan PK tidak ada bezanya dari sudut cerita. LPKO memberi latar di sebuah desa, lewat tahun 80 an, sebuah kawasan perumahan kampung yang menghimpunkan pelbagai budaya. Sesuatu yang menyeronokkan saya mencampurkan kepelbagaian dialek dalam persembahan. Maka terlihatlah dialek Kelantan, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan di pentas. 

LPKO membawa khalayak melihat keseronokan seorang ibu menerima menantunya seorang Pegawai Kerajaan. Impian seorang ibu punya menantu kerja tetap. Sekitar tahun 1980 kerja kerajaan itu sudah dikira besar. Bermula angan-angan si ibu untuk mengadakan majlis perkahwinan yang gemilang. Orang dari kehidupan yang sederhana tetapi impiannya besar. Berbeza dengan anaknya Wati dan menantu yang lebih suka kerjakan pekara yang afdal saja. Ayah Wati hanya kerja kampung dan bersederhana dalam segala pekara. Tipikal watak orang kampung. Akhirnya, ketika majlis gemilang sedang berlangsung, hujan ribut memusnahkan semuanya. Pelamin, pengantin, keluarga berserta tetamu yang di bawah khemah, rebah ditimpa khemah yang roboh angkara ribut. Pengakhiran yang trajek.


Azhar Zainal (Tukang Urut) bersama Shah Iskandar (Radhi), Mail dan Rizal.


Hanez Suraya sebagai Nisa
Berbalik kepada PK, Nisa (Hanez Suraya/ Kilafairy) dari keluarga sederhana. Ibunya Puan Katimah Binti Kulup (sherry alhadad) menggelarkan diri mereka ' we are from rich family', kerana sering dicucuk hidungnya oleh Mak Long (Zulin Aziz). Tipikal orang melayu berangan dan berlagak kaya padahal sekadar menumpang kekayaan orang lain. Rizal, teman lelaki Nisa setakat kerja sebagai co ordinator di Lost World Of Tambun. Rizal bekerja keras mengumpul duit demi memuaskan hati keluarga Nisa. Di samping itu, kawan-kawan Rizal iaitu Radhi (Shah Iskandar), Umi (Kaka Azraff, Ayu (Fazleena Hishamuddin dan Mail (Syaiful Bahri) berusaha untuk membantu demi merealisasikan impian perkahwinan Nisan dan Rizal. Hinggakan sampai memberi tips untuk orang yang akan berumah tangga. Mail mencadangkan Rizal berjumpa dengan tukang urut Punjabi/Cina/Jawa (Azhar Zainal), manakala Ayu mendesak Nisa untuk membersihkan diri di SPA kecantikan.

Di akhir cerita, perkahwinan tersebut tetap berlangsung setelah menerima bantuan 'kewangan' ayah Nisa yang memahami dan terharu melihat kesungguhan Rizal untuk bersatu dengan Nisa. Sikap Puan Katimah mencabar keegoan seorang lelaki (Encik Harun). Tindakan isterinya yang sering menghina dan merendah-rendahkan pekerjaan dan latar hidup Rizal, membuatkan dirinya hilang sabar. Hakikatnya, dia sendiri pernah melalui situasi yang sama ketika berkahwin dengan isterinya.

Saya diberitahu, awalnya naskah ringan ini untuk  pentas Lambang Sari namun diangkat ke Panggung Sari. Cerita yang longgar plotnya semestinya akan ada 'kelompongan' apabila diangkat dan cuba disesuaikan di ruang yang lebih besar. 'Kelompongan' inilah yang mempengaruhi latar cerita, latar peristiwa dan transisi babak ke babak.

Mewah atau tidak sesuatu produksi tidak akan dapat membantu sekiranya eksplorasi dan kesatuan pelakon dan penari mahupun set tidak digunakan secara total. Masalah kos yang tinggi dan masa yang suntuk menjadi penyebab utama. Dari segi lakonan, tidak dinafikan mereka semuanya sudah teruji di layar TV dan boleh digilap lagi. Yang penting mereka suka berkongsi, bertanya dan mendengar pendapat. Sesungguhnya, mereka semua amat fokus setelah masuk ke pentas dan amat komited.

Saya terjumpa rakan lama yang menonton, seorang penerbit/pengarah/pelakon drama yang meluahkan pendapat semasa bertemu di Enjoy's Corner;

" Banyak part yang tak penting, dari awal aku dah rasa 'rengsa'. Macam nak minta suruh stop show tu. Buang ni, buang tu. Kau jangan buat ni, kurang ni sikit. Haa..tu tak payah buat. Cerita ni banyak sangat menjerit. Tak ada moment yang relax sedikit, berfikir, tenang. Scene rumah urut tu...fun la, aku boleh terima. Scene dalam rumah pun ok, release sikit.
"Babak pembukaan. dari awal aku tak tahu dia nyanyi apa, tak dengar apa yang budak tu sebut. Transisi babak pun macam tak best, slow." 

Dan dia pulang ketika interval!!!!!!!                                      
Mungkin tidak adil kritikan tersebut kerana menghukum setakat separuh tontonan. Namun itulah kuasa seorang penonton, seperti yang saya nyatakan minggu lepas, mereka bersusah payah membeli tiket dan mengharungi jem di Kuala Lumpur,  kalau tidak pun bersusah payah dapatkan pas percuma. Namun apa yang diperlihatkan tidak dapat memuaskan hatinya. Setiap penonton ada pendapat dan ragamnya. Ada penonton yang datang mahu melihat isinya. Ada yang hadir melihat artis kesayangannya. Ada yang hadir kerana terpaksa. Ada yang hadir kerana minat. Ada yang hadir dapat tiket percuma. Ada juga yang menonton untuk mencari salah orang DAN ada yang menonton kerana mereka memang seorang pembikin/penilai yang benar-benar memahami dan terpelajar.
Pengarah bersama pemain Izzue Islam (Rizal dan Syaiful Bahri (Mail)














Bagi saya sebagai pelakon dan pemerhati dalam teater Projek Kahwin, mereka telah berusaha dengan sebaik mungkin. Menggunakan kelebihan yang ada di Istana Budaya pentas bertaraf antarbangsa. Masalah masa dan budjet adalah pekara yang akan membelenggu produksi  Tapi budjet besar dan bermewahan juga, tidak dapat menjamin kesempurnaan sekiranya kematangan naskah belum diuji. Mungkin naskah tersebut hanya 'ngam' di tempat yang sederhana.

Namun demikian, tahniah dan syabas kerana produksi sanggup 'HARUNGGGGG' dan lakukan yang terbaik. Mungkin berdikit-dikit sebelum naik bukit dan bila sudah berani naik bukit barulah mendaki gunung. Sesekali terus mendaki, elok jugakan. Bak kata orang REDAH SAJA!!

Akhir kata

SALAM RAMADHAN ke 6

4 July 2014



Tuesday, 1 July 2014

JERebu

Sudah lama juga ASWARA tidak mementaskan teater eksperimen setelah ketiadaan NAM RON. Memang selama ini Nam Ron yang aktif dalam persembahan bersifat sebegitu. Malah seecara jujur saya pun terikut gayanya ........ saya PEMINAT dia. Dari zaman belajar lagi.. NAMRON suka bereksperiment. YA memang NAMRON mamat eksperimen.

Kali ini, atas DAYA USAHA pelajar, Ijazah Sarjana Muda Tahun 1 sambil dibantu oleh saya dan saudara Iefiz Putra kami cuba untuk mengembalikan rasa itu. 

Teater Eksperimen adalah subjek wajib dan juga merupakan penilaian akhir  pelajar Ijazah Sarjana Muda Fakulti Teater. Antaranya Shah Hassannul Manzar, Mohammad Faiz Malik, Wan Alia Yuhanis, Afiq Azhar Ali, Nurzaima Husain dan dibantu oleh pelajar Diploma Tahun 2 Mohd Hafizudin Ruslan, Mohd Raziq dan Ashikin Meor. Teater JEREBU tercetus dari pameran ABSURD(C)ITY di BALAI SENI VISUAL NEGARA dan pengamatan kami terhadap situasi sekeliling yang terlihat semuanya kabur....kelam dan merimaskan. Skrip tulisan Shah Hassanul ini adalah garapan idea antara para pelajar.

Dalam keluarga ada cerita jerebu. Kisah khianat, cemburu hingga sanggup menggunakan ilmu hitam angkara dendam yang akhirnya termakan diri sendiri. Isu MH370 yang masih lagi hilang, tiada jalan penyelesaian, semuanya buntu. Semakin banyak spekulasi diperkatakan hingga kita tidak pasti kebenarannya. Hingga kemunculan bomoh buaya...semuanya diparodikan dan bahan gelak di laman sesawang. 

Sangat menghairankan...saat keluarga mangsa masih bersedih, semakin galak mereka membuat andaian. Semakin pandai, semakin jerebu otak manusia.

Begitu juga kisah hubungan bebas remaja. Semakin canggih teknologi, semakin mudah remaja terjebak dalam genjala sosial, semakin terbuka pintu-pintu mencari kenikmatan. Dunia tanpa sempadan...tanpa halangan...tiada kawalan. Hidup yang bebas tanpa kongkongan.

Manusia mula bersifat individualistik, hanya buat hal sendiri. Komunikasi bukan lagi penting. Di mana-mana kita boleh lihat, kita hanya sibuk dengan gajet walaupun bertentang muka dan duduk semeja. Di rumah mungkin juga sebegini. Memang ada dan telah terjadi.

Kita semakin tidak suka bercakap...hanya terperosok dalam dunia dan akhirnya mati dan akan pulang ke arah yang satu juga. Namun dalam kita menuju ke alam mati, kita juga jerebu. Tidak tahu ke manakah arah kita. Itu semuanya urusan NYA. Kita manusia hanya mahu jadi yang terbaik, tetapi tidak semestinya yang terbaik akan dapat yang baik dan yang jahat dibalas jahat. Dalam baik ada jahatnya, dalam jahat ada baiknya.

JEREBU menampilkan 3 cerita yang mempunyai kisahnya tersendiri. Fragmen ini bergerak sendiri dan dijalinkan melalui gerak-gerak fizikal koreografi oleh saudara Iefiz. Pengerjaan produksi turut dibantu oleh pelajar Fakulti Teater tahun 1 & 2 dan pelajar filem. Persembahan berdurasi 1 jam ini diiringi muzik oleh Mohd Hanif dan Faisal Fauzi. Gabungan cerita, gerak fizikal, muzik, visual perlu difahami. Tiada cerita yang kronologi sifatnya. Tidak terlalu sukar untuk difahami. Semua yang digambarkan adalah pekara biasa yang kita lihat di dunia nyata.

Keseluruhan produksi adalah hasil usaha pelajar daripada aspek kostum, tatarias, bunyi,  tatacahaya hinggalah kepada konsep pameran di Front Of House (FOH). Tahniah diucapkan atas komitmen mereka dalam mementaskan JEREBU walaupun terdapat pelbagai kekangan.

Hakikatnya saya sendiri resah dan sering dalam JEREBU. Adakalanya lemah semangat, terkejar-kejar pelbagai pekara yang merimaskan....menjemukan..meyakitkan hati. Hilang punca. Apa yang ada di atas pentas..itulah apa yang terjadi dalam otak saya. OTAK JEREBU...JEREBU OTAK

Beruntungnya saya dapat pelajar yang sangat matang dalam memberi komitmen dan tidak terhingga kepada saudara Iefiz. Tanpa semangat dia mungkin JEREBU tidak akan terjadi. Terima kasih buat semua.

HIDUPLAH tanpa JEREBU di IMAN dan di HATI


Monday, 30 June 2014

Jatt eijat: anTARA Syahdu, sendu, sebu  DI BAWAH LINDUNGAN KAA...

Jatt eijat: anTARA Syahdu, sendu, sebu  DI BAWAH LINDUNGAN KAA...: anTARA Syahdu, sendu, sebu  DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH Secara jujur keterlibatan saya bersama CTRA dianggap sebagai projek kroni. Ya, kron...

anTARA Syahdu, Sendu, Sebu DI BAWAH LINDUNGAN KAABAH




Secara jujur keterlibatan saya bersama CTRA dianggap sebagai projek kroni. Ya, kroni! Itu juga yang diucapkan oleh PRODUsERnya di saat sidang media..." pelakon kroni". Tidak, bukan kroni! Saya lakukan kerana seronok. Pernah juga saya menolak projek teater kerana ' ANGIN tok MARI '. Awalnya saya seperti sukar hendak terima istilah KRONISME tetapi difikirkan dengan akal yang waras, dah berpuluh tahun dan berbelas atau puluh teater bersama produksi ini. Kalaulah boleh dibuat tesis, tajuk tesis saya yang paling sesuai adalah MEMBESAR BERSAMA CTRA atau ROHAYAH ATAN atau ROSMINAH TAHIR hahha..macam buku mendiang Krishen Jit..Membesar Bersama Teater.

Sepintas lalu, semasa tahun 3 Diploma ASK saya pernah buat praktikal (latihan industri) bersama CTRA untuk projek teater ASSYURA. Buat set dan bertukang ok! Dan kebetulan juga semasa tahun akhir ROSMINAH TAHIR adalah penyelia PETA. Adakah itu kroni? Bukan, itu bukanlah kroni...itu keselesaan. Kalau nak bercakap perihal kroni..semua tempat ada...TV station...dunia politik...institusi pendidikan...peniaga pasar malam..makcik cleaner.....cikgu sekolah....penduduk flat...artis dan wartawan. Mana-manalah.

Bukanlah saya mahu bercakap perihal kronisme. Hanya berkongsi pengalaman dan rasa peritnya bila lakukan beberapa pekara dalam satu-satu masa. Di Bawah Lindungan Kaabah telah berlangsung dari 9 -18 Mei 2014 yang lalu menggabungkan beberapa nama besar dalam industri. Antaranya Nasha Aziz /Elfira Loy(Zainab dewasa/remaja), Adi Putra, Taufiq Izmer (Hamid dewasa/remaja), Fizo Omar, Dafi Ismail (Salleh dewasa/remaja) , Liza Abdullah, Yasmin Hani/Dayana Roza (Rosnah dewasa/remaja) Alina Hassan,  Zahid AF berserta artis-artis Istana Budaya.

Karya hebat Allahyarham Profesor Dr Hamka adapasi dari novel Di Bawah Lindungan Kaabah ini pernah diangkat ke layar filem pada 1978 dan 2011 di Indonesia. Di Malaysia mungkin ini kali kedua ianya dipentaskan. Kali pertama berbentuk monodrama untuk projek akhir PETA ASK 1998, lakonan Azizi Mohd Said. DBLK di Istana Budaya membawa khalayak menyusuri hidup Hamid dari zaman kanak-kanak, remaja hinggalah beliau meninggal di tanah suci Mekah.

Monodrama DBLK arahan Datin Marlia Musa pula, berkongsi cerita menerusi warkah-warkah kiriman Hamid dan Zainab. Dua pekara yang berbeza bentuknya. Ikhlasnya saya masih terkesan dengan persembahan monodrama tersebut. Set yang sederhana, permainan lakon yang sederhana, pelakon yang naif/bersih/ikhlas adakalanya 'blur'  tetapi mengesankan juga konsep persembahannya. Azizi atau Ujang seorang pelakon yang blur di saat itu, sukar mencapai permainan rasa dan emosi, tidak matang, namun dalam ketidakmatangan itu dia berjaya membawa resah, gelora, sedih pilu Hamid. Sukar untuk membandingkan dengan persembahan berskala besar yang mempunyai pelbagai tuntutan memenuhi ruang yang besar. Namun, apa jua sekalipun ianya berbalik pada persembahan lakon. Saya faham sukar menangani teks yang sarat dengan rasa jiwa ini.

Selesai  DBLK menutup tirai banyak komen yang didengari. Kenapa perlu ada Hamid dewasa? Kenapa skripnya begitu? Tak puas lihat Hamid remaja! Mengapa macam lembab aje? Bosanlah, pacing slow. Tarian Sufi tu tak kena konseplah! Zainab dan Rosnah tak nampak macam kawan baik pun! Kenapa remaja Elfira Loy tapi dewasa jadi Nasha, mcam tak kena aja! Macam-macam. Mereka yang menonton ada hak melontarkan pendapat sebagai orang yang keluarkan duit beli tiket, tidak pun  berikhtiar penuh daya untuk dapatkan pas percuma. Tidak kiralah, hak bersuara ada di tangan mereka setelah 2 jam terperangkap punggungnya. Ya, benar, ada babak-babak yang menjerut emosi, meleret-leret, ada juga babak yang seronok ditonton. Ada juga terdengar sedu penonton menahan air mata dan hidung. Ada juga tepukan gembira penonton melihat pelakon kesayangan di saat berdiri di pentas. Ada juga kelihatan penonton terperosok badannya lena tidur di kerusi empuk. Pelbagai ragam. Jawapan selamat..sukar memenuhi kehendak penonton.

Jadinya saya ni sebagai apa? Watak nasi tambah? Watak ciput bak kata orang. Hahahhahah..kehadiran saya sekadar memeriahkan suasana di hari raya sahaja. Terkedu juga bila membaca skrip. Kata hati ..." eh, macam tak banyak aja dialog watak SHEIKH ni!".  "Tak mengapa, biar tak banyak dialog, tapi impaknya itu" pujuk hati saya lagi.  Saya hanya menjadi pendengar kepada watak TUAN (Zahid) si pencerita. Keluar setiap kali watak TUAN beraksi di pentas. Watak SHEIKH...tuan punya milik rumah sewa Hamid. Tapi tidak selalu bersama Hamid, oleh kerana itu Hamid sering luahkan perasaan kepada TUAN. Mungkin sebab SHEIKH sibuk sebab banyak rumah sewanya tu. Jarang jumpa la kot. Hmmm konpius sikit. Mungkin watak SHEIKH ni hanya pentingkan bisnes rumah sewanya, ada aku kisah kisah cinta kau....atau..." Hamid, duit sewanya segera lunasi ya. Jikalau tidak keluar saja dari ini rumah"

Seronok bermain watak sebegini, tidak terikat pada satu latar. Watak perintis masa, seperti korus dalam teater GREEK yang memberi komen pada apa yang berlaku. Rasa Bodoh? Adakalanya rasa juga, namun tanggungjawab dan yang penting anda dibayar untuk beraksi. Maka lakukan sebaiknya! Dalam kebodohan itu, pamirkan kebijaksanaan. Bermain seadanya. Jangan overshadow  la sebab kau tu watak pendamping, bagi warna sikit pada babak. Bersyukur dapat terlibat DBLK dengan babak yang tidak membebankan kerana di saat itu banyak tuntutan kerja yang lain, maka rasanya berbaloi dengan masa yang diperuntukkan. Kenapa tidak tolak saja? Boleh saja tapi dah janji dan sewa dirinya juga menarik. Bak kata FIZO, kerja mudah!!!! Kerja mudah??????? Hmmmmm...watak beginilah yang sukar, kerana tiada tercatat dalam skrip, kena korek otak dalam-dalam untuk cari watak. Terpaksa lakukan improvisasi untuk wujudkan suasananya. Lainlah kalau dalam skrip tu dah tertera segala pekara berkaitan watak pada tiap babak walaupun tidak dinyatakan secara jelas.

Jadi, untuk mereka yang rasa HANYA MENDAPAT WATAK KECIL...jangan KECILKAN KEBOLEHAN ANDA, ya!

SELAMAT BERPUAS......PUASA!!