Thursday 4 July 2013

...kisah PROSES


Pertama kali naskah ini dipentaskan di Blackbox Actor's Studio (bawah dataran) dan kemudian dipersembahkan sekali lagi di Muzium Sultan Alam Shah pada 1 & 2 Januari 2002, anjuran Pejabat Kebudayaan Negeri Selangor dengan kerjasama Akademi Seni Kebangsaan (ASK), Alternative Stage Company (ASC) dan Muzium Sultan Alam Shah. Teater arahan NAMRON dan berkolaborasi dengan JUNE (isterinya) menuntut kreativiti pemainnya dalam menzahirkan kehendak naskah tersebut. Memang benar adakalanya latar seseorang pengkarya mempengaruhi naskah yang akan dihasilkan. PROSES lahir dari pengamatan Namron menerusi kisah hidupnya dan dikembangkan menjadi sebuah naskah. Tentunya ada sedikit tokok tambah dalam memperkuatkan cerita itu sendiri. Ibarat seorang chef yang menghidangkan masakannya dengan ramuan rempah ratus sehingga terbau aromanya. Di sinilah kelebihan Namron dalam berkarya. 
PROSES membawa perjalanan hidup watak Rohana yang mempunyai konflik dengan suaminya. Rohana sebolehnya mahu mengelak terjadinya penceraian  seperti yang dialami oleh ibunya Aisyah. Sejarah hitam ibunya benar-benar menjadikannya wanita yang kuat dalam mengharungi kehidupan. Ibunya Aisyah pernah dihalau sehelai sepinggang, hidup merempat dalam membesarkan lima anak-anaknya. Kepahitan hidup itu menjadikan Rohana tabah dan sabar dalam menangani masalah tersebut.





PROSES boleh dianggap sebagai teater fizikal di mana pergerakan dijalin kemas dengan babak. Hampir 1 jam 30 minit pemainnya melakukan gerakan tanpa berhenti diringi dialog. Setiap babak dijalinkan menerusi gerakan yang dikoreografkan. Setiap motif gerak memberi tafsiran kepada babak tersebut, dan setiap 'form' gerakan membawa cerita berserta perubahan watak yang hanya dimainkan oleh dua pelakon. Pelakon harus mempamerkan 'energy' yang tinggi. Ada ketikanya terlihat pemain berlari sambil memakai kostum, berpusing menghayun kerusi, duduk berjengkit sambil berjalan itik, gerakan melompat yang sungguh dramatik bentuknya, gerakan mengendong yang semestinya memerlukan daya ketahanan serta pernafasan. Ada masanya keseragaman gerakan diperlukan. Gerakan berubah seiring dengan pertukaran watak, dan penonton harus mengikat pancaindera mereka untuk mengetahui jalan cerita. Tiada masa untuk pemain melakukan kesalahan.

Berkerjasama dengan Namron dan June menuntut kesabaran yang tinggi. Kedua-duanya mementingkan kesempurnaan. Namron amat mengambil berat permainan watak, pengarah yang sentiasa mencabar pelakonnya untuk bereksperimentasi dengan badan. June yang juga merupakan seorang graduan tari ASK, seorang yang amat mementingkan kualiti gerakan yang dibuat. Malahan kami diarahkan untuk melakukan sesi 'warm up' fizikal selama 1 jam sebelum latihan untuk mengelak kecederaan. Sesekali terdengar jeritannya " Abg eijat, Kak Ara, jangan minum air banyak sangat, nanti badan makin berat. Basahkan tekak je. Cukup syarat". Saya kadang-kadang 'minta nyawa' kerana keletihan. Namun inilah cabaran bagi saya dan Juhara dalam menguji kredabiliti kami selaku pemain. Kepuasan kami sebagai pemain sukar untuk digambarkan kerana inilah yang kami mahu. Sentiasa tercabar dan dicabar!

Juhara berpengalaman dalam tarian kerana beliau merupakan bekas penari Komplek Budaya Negara. Cuma sifat teater fizikal ini berbeza kerana gerakannya banyak dilakukan menerusi improvisasi gerakan dan gerakan tersebut tiada kesinambungan. Ekspressi June dalam gerakannya mempunyai turun naik dan sukar dijangka. Pemain harus sentiasa bersedia fizikal dan mental. Saya walaupun tiada asas yang kuat dalam tari, tidak menjadikan ini satu kelemahan atau halangan yang besar dalam menterjemahkan kehendak koreografer. June memahami kelebihan dan kekurangan pemainnya. Namun begitu, kami bernasib baik kerana pernah mengikuti kelas Jazz yang dibimbing oleh Joseph Gonzales. Sedikit sebanyak ini membantu dalam mempersiapkan diri. 

Namron suka benar dengan kejutan. Apa yang diterjemahkan ada kalanya tersasar dari pemikiran kami. Namron tidak gemarkan kebiasaan, benda yang meleret-leret dan pekara yang senang dijangka. Segala pekara di atas pentas harus ada momentum untuk menyedarkan khalayak yang sedang asyik menonton. Unsur-unsur 'alienation' seringkali digunakan dalam pementasannya. Inilah pengaruh Bertold Brecht dalam karya-karya beliau. Adakalanya perkara yang dilakukan tidak masuk akal. Tetapi, itulah Namron. Sedang khalayak asyik menonton PROSES, mereka disedarkan bahawa apa yang dilihat dari awal hanyalah PROSES 'WARM UP' seorang aktor untuk pementasan yang sebenar-benarnya. Cerita yang dibawa memberi tafsiran kepada babak terakhir iatu pementasan satu babak bangsawan yang cuma mengambil masa 10 minit. Cerita dalam cerita, pekara yang tidak dijangka. Kisah Tun Teja yang akan diceraikan oleh Sultan Mahmud. Boleh juga dianggap proses awal yang dipertontonkan adalah sedutan  'extra turn'. Ada penonton yang terpinga-pinga melihat bentuk pementasan sedemikian rupa.Itulah Namron!

Sudah lama juga tidak melihat Namron dan Tomoe bertaut kembali bagi merancakkan dunia teater. Akan tibakah amsanya? Tunggu, tunggu dan tunggu! Seandainya saya diajukan untuk melakukannya sekali lagi, insyalah boleh dilakukan. Dengan syarat saya harus mempersiapkan diri dan mengempiskan perut. Sudah lama rasanya tidak bermandi keringat dan berhujankan peluh.  Bak kata seniwati Zaiton dalam Layar Lara "..bolehlah Daud, sekali ni je!"

SALAM TEATER

No comments:

Post a Comment